Bahasa

YPJM cadang SOP polis diperkukuh elak cedera, kematian

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) mencadangkan supaya Prosedur Operasi Standard (SOP) polis ketika menjalankan operasi mencegah jenayah diperkukuh bagi mengelak anggota pasukan itu tercedera atau terbunuh, kata Naib Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye (gambar).

Lee berkata perkara itu dilihat amat penting bagi menjamin keselamatan anggota dan pegawai polis ketika melakukan tugasan berisiko tinggi.

"YPJM turut mencadangkan pihak polis meningkatkan tahap pemantauan dan penguatkuasaan dengan melengkapkan peralatan tambahan dalam kereta peronda polis jenis MPV yang dapat merakamkan segala episod yang berlaku ketika sesuatu operasi dijalankan.

"Ini cuma cadangan tetapi terpulang kepada pihak kerajaan melaksanakannya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan kepada Salmah Nordin, 50, iaitu balu Allahyarham Koperal Raja Aizam Raja Mohid, yang maut selepas diserang hendap sekumpulan warga asing di Taman Sentosa di Klang, Selasa lepas.

Dalam kejadian 5 pagi itu, rakan setugas Allahyarham Raja Aizam, 53, Koperal Mohd Aidil Mustafa, 29, turut cedera.

Terdahulu dalam ucapannya, Lee turut memuji kebijaksanaan anggota polis yang menahan empat suspek termasuk seorang lelaki tidak sampai dua jam selepas insiden itu. 

Beliau berkata YPJM bersetuju menyumbang RM49,750 kepada balu Raja Aizam dan Mohd Aidil atas pengorbanan mereka menjaga keselamatan dan keamanan negara yang mana sumbangan itu akan dibahagikan sama rata.

Sementara itu, Mohd Aidil yang mengalami kecederaan mata sebelah kanan dalam insiden itu berkata beliau akan memberikan separuh daripada sumbangan yang diterimanya itu kepada balu Raja Aizam. - Bernama, 6 Mac, 2014.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.