Bahasa

Yuran rendah UniMAP pikat pelajar, titah Raja Muda

KANGAR, 21 Mac — Yuran rendah, pensyarah berkualiti dan peluang pekerjaan selepas bergraduasi, menjadikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi pilihan para pelajar melanjutkan pengajian, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, walaupun universiti itu hanya berusia 11 tahun, namun pencapaiannya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa adalah memberangsangkan.

Bertitah pada majlis Anugerah Seri Gemilang UniMAP 2012 di Kampus Induk UniMAP Pauh Putra dekat sini malam tadi, baginda bertitah, univeriti itu telah diiktiraf sebagai institusi Tier 5 menerusi penarafan D-Setara bagi disiplin kejuruteraan.

Baginda yang juga Cancelor UniMAP bertitah, universiti itu memiliki lebih 100 makmal untuk kegunaan para pelajar dan semua pelajar tidak menghadapi masalah tempat tinggal kerana kesemuanya ditempatkan di kolej-kolej kediaman.

Mengenai yuran pengajian UniMAP, baginda bertitah yuran pendaftaran semester pertama adalah RM1,868 bagi bidang kejuruteraan dan RM1,718 bagi bidang perniagaan dan yuran itu akan berkurangan pada semester berikutnya.

Bagi pelajar antarabangsa, yuran setiap semester pengajian adalah sebanyak RM3,710.

Sebelum itu, Naib Cancelor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin, dalam ucapannya berkata, pancapaian terbaru universiti itu ialah dua makmalnya mendapat pengiktirafan MS ISO/IEC 17025:2005 untuk bidang pengujian daripada Skim Akreditasi Makmal Malayia (SAMM).

Dua makmal itu ialah makmal Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan makmal Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar.

Sementara itu lebih 200 kakitangan akademik dan pentadbiran menerima anugerah dan penghargaan yang disampaikan Tuanku Syed Faizuddin dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga Pro Canselor universiti itu.

Sempena majlis itu, UniMAP turut menyerahkan sumbangan Tabung Wira Lahad Datu sebanyak RM10,000 kepada syarikat Media Prima untuk disumbangkan kepada wira-wira yang mempertahankan kedaulatan negara.

Sumbangan disampaikan oleh Kamarudin kepada wakil Media Prima, Sharanpal Singh Randhawa, yang juga wartawan New Straits Times di Perlis. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.