Bahasa

Zahid: Skim gaji baru tentera dikaji

BESUT, 26 April — Kementerian Pertahanan sedang meneliti skim gaji baru anggota tentera untuk semua peringkat sesuai dengan transformasi yang sedang dilaksanakan kepada bidang ketenteraan secara menyeluruh.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata skim baru itu dirangka sebagai pengiktirafan kepada bidang ketenteraan yang sekurang-kurangnya diharapkan dapat menyamai skim gaji penjawat awam di lain-lain kementerian.

Laporan Berita Online memetik beliau berkata, oleh kerana terdapat pegawai bertaraf profesional dalam angkatan tentera seperti juruterbang, jurutera, pegawai perubatan dan pelbagai bidang lain maka sewajarnya skim gaji baru dirangka sebagai pengiktirafan kepada golongan ini.

“Hampir separuh daripada anggota tentera terbabit dalam bidang profesional dan teknikal, jadi patutlah gaji anggota tentera tidak dibiarkan ketinggalan jauh berbanding profesional yang berada di luar kerajaan,” katanya di sini.

Zahid berkata langkah untuk memperkenalkan skim gaji baru itu juga adalah bagi memastikan golongan profesional dalam angkatan tentera tidak mudah mengambil tindakan meninggalkan bidang kerja mereka semata-mata untuk mengejar gaji yang lebih baik di luar.

“Sekiranya berlaku sedemikian, ia akan merugikan kerajaan bagi mendapatkan pengganti yang berpengalaman untuk angkatan tentera kita,” katanya.

Menurutnya, satu draf mengenai skim itu akan dikemukakan kepada kerajaan tahun ini yang ia turut tidak mengecualikan pegawai peringkat bawahan.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website . We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments