Zamil cabar Anwar jawab video kutuk DAP, PAS
TERKINI @ 09:35:42 PM 09-07-2012
PETALING JAYA, 9 Julai – Presiden Parti KITA yang belum disahkan Pendaftar Pertubuhan(ROS), Zamil Ibrahim hari ini mencabar Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sebuah video yang didakwa mengkritik PAS dan DAP secara terbuka dalam satu mesyuarat di Yayasan Aman, Penanti, Pulau Pinang.
Video 5 minit 20 saat yang bertarikh 9 Januari 2008 itu didakwa Zamil memperlihatkan bagaimana Anwar mempertikaikan kewibawaan PAS dalam kerusi-kerusi yang dipertandingkan.
Zamil membacakan teks yang dikatakan dialog Anwar dalam video tersebut – dimana Anwar mengatakan PAS adalah ‘parti kampung’, oleh itu Cina dan India tidak mahu mengundi PAS, jadi tidak punya sebab untuk takut dengan tuntutan kerusi dari PAS.
Menurut beliau lagi, keikhlasan Anwar diragui dengan mempertikaikan kemampuan PAS di kawasan bandar, serta dalam sidang media itu, Zamil berharap PAS sedar mereka tiada tempat di kawasan-kawasan bandar dan kawasan majoriti bukan Melayu.
Beliau akan menyebarkan klip video tersebut kepada pihak media, sekiranya Anwar enggan untuk menjawab dakwaan beliau tentang perkara itu.
“Sebelum saya dedahkan video ini, saya nak Datuk Seri jawab soalan saya tentang video yang bertarikh 9 Januari 2008 ini, sebab saya tahu dia akan terus berdolak-dalih tentang hal ini,” kata bekas ahli PKR itu.
Katanya lagi, kepincangan dalam Pakatan Rakyat (PR) telah ada semasa tahun 2008 lagi, cuma di hadapan rakyat mereka berlakon dalam memastikan sokongan terhadap mereka berkekalan.
Dalam sidang media itu juga, beliau mendakwa sekurang-kurangnya lapan orang ahli Parlimen dari PKR bersedia melompat parti, termasuk seorang yang dikatakan berada di jawatan yang tertinggi di peringkat PKR pusat.
“Sebenarnya ramai yang telah naik jelak dan menyampah dengan lakonan drama Datuk Seri Anwar ini, cuma mereka tidak berani untuk menyatakan.
“Dan dulu beberapa orang ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti Bukit Silambau, Pelabuhan Kelang dan juga Penanti, Arumugam, Badrul Hisham, dan Fairuz, telah dipaksa meletak jawatan kerana mengkritik dasar kepimpinan parti,” kata Zamil lagi.
Tentang dakwaan sebuah blog yang menyatakan bahawa DAP bakal memperoleh 90 kerusi dalam pilihan raya umum akan datang, Zamil menolak dakwaan tersebut sekeras-kerasnya.
“Tak mungkin DAP dapat kerusi yang banyak sebegitu, bagi saya dia akan lebihkan PKR.
“Ada juga kerusi-kerusi yang dimenangi PAS atau DAP yang mahu diambil oleh PKR dalam memastikan mereka ada lebih banyak kerusi,” katanya selepas ditanya soalan tersebut.
Sementara itu Zamil Ibrahim yang merupakan bekas Ketua Cabang PKR Negeri Kedah berkata, dia mencabar Datuk Murad untuk menjawab soalan dimana beliau dan seorang pemimpin atasan semasa penghujung 90an membawa wang-wang kertas RM500 dan RM1000 yang begitu banyak ke luar negara sehinggakan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad membatalkan penggunaan wang kertas RM500 dan RM1000 itu.
“Saya nak bertanya kepada Datuk Murad, dedahkan siapa pemimpin atasan itu dan saya percaya Tun (Mahathir) sendiri mengetahui siapakah pengkhianat negara itu.
“Dalam hal ini saya mengatakan bahawa Tun sangat bijak dalam menilai keputusan membatalkan penggunaan wang kertas RM500 dan RM1000 itu,” kata Zamil.




