Bahasa

Zizan: Maaf, jika kalimah Hantu Bonceng hina Islam

September 21, 2011

KUALA LUMPUR, 21 Sept — Mohd Razizan Abd Razak yang membintangi Hantu Bonceng memohon maaf jika kalimah yang digunakan dalam filem kontroversi itu telah menghina Islam.

Iklan mempromosikan filem Hantu Bonceng.Iklan mempromosikan filem Hantu Bonceng.Mohd Razizan yang turut dikenali sebagai “Zizan RL” dilaporkan berkata, dia tidak mungkin secara sengaja atau tergamak mahu menghina agama sendiri.

“Takkanlah saya hendak hina Rasul saya sendiri. Kan, dalam babak perkataan setan itu diajukan kepada kunyit. Dalam penapisan filem ada empat ulama dan telah diluluskan filem ini.

“Saya faham apa yang salah. Tetapi fasal hina Islam memang jauh dari otak fikiran saya. Tak ada langsung terniat. Ini adalah agama dan Rasul saya. Maaf sekiranya saya silap,” katanya dalam mesej Twitter dipetik Sinar Harian hari ini.

Filem Hantu Bonceng disiarkan sejak awal Syawal sempena sambutan Aidilfitri dan turut mencatat rekod dalam kutipan jualan tiket. Ia diarahkan oleh  Ahmad Idham Ahmad Nazri.

Filem itu yang diterbitkan oleh Excellent Pictures Sdn. Bhd. turut dibintangi oleh Juliana Evans, Jue Aziz, Dottie, Tai dan  Zahid Baharudin.

Kelmarin, Dewan Pemuda PAS berkata pihaknya sangat kesal dengan kelemahan ketara Lembaga Penapisan Filem dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sehingga membenarkan filem-filem berbaur penghinaan kepada Islam diterbitkan dengan yang terbaru Hantu Bonceng.

“Salah satu babak dilakonkan secara jelas menghina Rasulullah s.a.w. apabila Zizan menyebut ‘Asyhadu anna Muhammadar Syaitan’ yang membawa maksud ‘aku naik saksi bahawa Muhammad itu syaitan.

“Kalimah syahadah bukan perkataan yang boleh dijenakakan atau dipersenda sedemikian rupa,” kata Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan.

Dalam kenyataan terbaru hari ini, Nasrudin berkata pihaknya menyambut baik kerana Mohd Razizan memohon maaf di atas “kesilapan atau kesalahan yang dilakukan.”

“Tahniah saya ucapkan kepada Mohd Razizan yang telah mengakui kesilapan lalu memohon maaf secara terbuka,” kata beliau.

“Saya sangat menghormati sikap sedemikian dan telah saya sebutkan sebelum ini dalam kenyataan saya bahawa sewajarnya pihak pengarah dan pelakon Filem Hantu Bonceng iaitu Mohd Idham dan Zizan memohon maaf kerana mencetus kekeliruan kepada masyarakat awam. Sekiranya mereka memohon maaf, mereka akan lebih dihormati,” tambah Nasrudin.

Katanya, Pemuda PAS sentiasa menyokong kerjaya seni dan budaya kerana Islam tidak pernah menghalang umatnya berkarya.

Namun jelas beliau, Islam mempunyai garis panduan yang jelas untuk dipatuhi agar seni dan budaya menghidupkan jiwa dan menyegarkan minda bukan mematikan hati, merosakkan akhlak dan meruntuhkan moral.

Kata beliau, pihaknya percaya bahawa masih terlalu luas ruang untuk seniman dan karyawan menghasilkan karya seni mereka tanpa melanggar batas syariat dan mencacatkan keindahan Islam.

“Malah filem tanpa adegan wanita seksi yang menampakkan aurat sehingga ke paras paha serta mendedahkan sebahagian besar di bahagian dadanya, masih mampu mencapai ‘box office’ dan menerima anugerah di peringkat antarabangsa seperti filem dari Iran ‘Under the Moonlight’, yang memenangi enam anugerah di peringkat antarabangsa pada 2001.

“Begitu juga filem ‘Children of Heaven’ yang dicalonkan sebagai penerima anugerah Oscar dan memenangi 10 lagi anugerah di pelbagai peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

Oleh itu kata beliau, sudah sampai masanya pengarah dan penerbit filem negara menghasilkan filem-filem bermutu tinggi, mendidik minda dan sosiobudaya masyarakat serta mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa.

“Bebaskan industri filem negara dari serkap filem yang rendah mutu, terkepong dalam realiti masyarakat yang tidak sepatutnya dibanggakan dan filem yang mengeksploit batang tubuh wanita, keseksian, kelucahan dan ketahyulan sebagai azimat pelaris tayangan di pawagam,” kata beliau.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi