Bahana jahil, sikap perkauman — Kunta Kinte
21 JAN — Cerita peguam Cina yang pindah duduk dalam kampung Melayu, lepas tu tulis surat kepada Jabatan Perdana Menteri mengadu bunyi pembesar suara masjid adalah tanda masyarakat kita yang semakin tidak toleransi.
Bukan saja tak tolak ansur pasal mereka daripada jenis perkauman, tapi juga sebab mereka tak faham hidup bermasyarakat dalam suasana kepelbagaian agama, bangsa, bahasa dan budaya.
Kunta Kinte rasa manusia jenis perkauman atau bigot ini tak ramai di negara kita kalau dibandingkan dengan jenis sama di negara maju macam Belanda, Perancis, England dan Australia.
Di negara kita, jenis yang benci bangsa orang lain ni tak ramai sebab macam mana busuk pun, kita sikit sebanyak bergaul. Cuma ramai yang tak peduli nak belajar atau ambil tahu amalan agama dan budaya satu sama lain.
Kunta Kinte takut bilangan atau nisbah kumpulan kedua ini semakin hari semakin besar akibat sistem pelajaran yang tak sepadu dan jurang ekonomi yang seluas semula.
Kalau zaman Kunta Kinte dulu, kita tak ada politik yang nak laga-lagakan atau pisah-pisahkan rakyat jelata. Macam Kunta Kinte dah banyak kali kata, Kunta Kinte membesar dan dewasa dalam tempoh peralihan daripada sistem penjajah dengan sistem kebangsaan.
Kunta Kinte mula sekolah di sekolah Melayu di kampung. Boleh kata semua murid Melayu kecuali dua tiga orang budak-budak Siam. Lepas Darjah Lima, Kunta Kinte pergi sekolah orang putih. Pasal sekolah itu sekolah Kristian dan dalam bandar pula, jadi tak ramai sangatlah budak Melayu, yang ramai budak Cina dan India.
Kita belajar dalam bahasa Inggeris, tapi kita utamakan bahasa Melayu dan sastera Melayu. Kita ambil bahagian cergas dalam Bulan Bahasa Kebangsaan. Kunta Kinte wakili negeri pada peringkat kebangsaan dalam pidato pelajar dan dapat nombor tiga. Bahasa Melayu mula digunakan sebagai bahasa pengantar utama.
Dalam keluarga pun kita berlainan pandangan antara yang belajar di sekolah orang putih dengan yang belajar di sekolah kebangsaan.
Apatah lagilah sekarang bila ada sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Lepas itu ditambah pula sekolah Cina bebas yang guna bahasa Cina dan sekolah swasta yang guna bahasa Inggeris.
Bila masuk universiti pun budak daripada aliran yang berlainan ni tak mampu bergaul mesra antara satu sama lain. Maka Melayu dengan Melayu dan Cina dengan Cina. Pasal India tak cukup ramai, jadi kenalah mereka pilih bergaul dengan Melayu atau Cina.
Itu tak kira lagi keadaan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang dikhaskan untuk satu-satu bangsa saja atau menjadi pilihan bangsa tertentu saja macam IPTS yang ditaja oleh parti politik.
Jadi, walaupun mereka lulus universiti jadi peguam, jurutera dan akauntan, dunia mereka tetap dunia Melayu, dunia Cina dan dunia India.
Zaman Kunta Kinte dulu, kita kawan sungguh-sungguh dengan semua bangsa sampai kita boleh panggil Cina “makan babi”, Melayu “otak belacan” dan India “minum todi”. Tak ada siapa ambil hal. Sebaliknya kita gelak dan ketawa dengan gelaran macam itu.
Kita pergi rumah kawan Cina kita. Kita tak peduli kepala anak babi menyusu (suckling pig) panggang atas meja mereka. Kita makan kacang goreng, biskut merry dan minum air menet (lemonade).
Tapi apa nak buat. Kita yang pilih sistem pendidikan yang ada sekarang. Kita amal sistem yang bagi pilihan kepada orang kita sama ada hendak belajar bersama-sama di sekolah kebangsaan atau di sekolah kaum masing-masing macam sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.
Kita cakap mengenai membentuk buluh masa rebung, tapi kita tak amalkan dalam sistem pelajaran kita. Jadi bila masa anak kita berpeluang bergaul dalam persekitaran pelbagai kaum, sama ada di IPT atau di tempat kerja, mereka kekok sebab rebung dah jadi buluh dan tak boleh dibentuk lagi.
Lain halnya dengan Lee Kuan Yew di Singapura. Walaupun majoriti rakyat Singapura Cina, daripada awal-awal lagi dia hapus sekolah Cina, sekolah Melayu dan sekolah Tamil. Universiti Cina pun dia tutup.
Jadi kita kenalah terima akibat daripada sistem yang kita pilih dan kita kenalah tanggung bahana orang cabar bangsa, pertikai agama, tak boleh tengok lambang salib atau tak boleh dengar bunyi azan. Bila kita menabur angin, kita kena bersedia menuai badai. Nasib baiklah ada lagi orang kita daripada generasi lama dan daripada aliran kebangsaan yang masih ada kebolehan untuk atasi masalah macam terjadi di Pantai Dalam tu.
Kunta Kinte harap kerana pengaruh positif generasi dan kelompok inilah, maka si peguam Cina yang jadi anggota MCA itu akhirnya sedar kejahilan dia dan orang Islam kampung itu pula berfikiran terbuka untuk terima permintaan maaf dia.
Inilah juga bahana bila kampung Melayu di bandar besar dimajukan dan dibuka kepada orang bukan Melayu dan bukan Islam. Pantai Dalam dan Kampung Kerinchi dulu kawasan Melayu. Penuh rumah haram, rumah setinggan dan rumah panjang. Hanya Melayu dan India miskin tinggal di situ.
Tapi bila jadi Pantai Hill Park dan Bangsar South, ramailah orang Cina dan orang asing terpa masuk. Yang dulu tak jadi masalah, tiba-tiba sekarang jadi masalah. Kalau dulu orang Melayu dan orang Islam boleh buat apa yang mereka selalu buat, sekarang kerana mereka buat apa yang mereka dah buat turun-temurun, mereka kena komplen.
Kunta Kinte minta kepada orang bukan Melayu dan bukan Islam yang tak suka cara kehidupan orang Melayu dan amalan Islam, janganlah beli rumah atau berniaga dalam kawasan Melayu. Tak siapa paksa.
Janganlah kerana sekarang kita konon-kononnya dalam era terbuka, sama rata dan terangkum, kita nak ubah konvensyen dan nak paksakan selera kita ke atas orang lain, lebih-lebih lagi dalam hal agama dan adat resam.
Kunta Kinte ucap tahniah kepada penduduk Pantai Dalam yang bangkit pertahankan hak mereka dan kesucian Islam. Tapi tak salah kalau kita juga sensitif kepada perasaan orang lain. Janganlah kerana orang lain jahil kita nak jadi bodoh pula. Barang dijauhkan Allah. — Berita Harian
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.




