Breaking Views

Rancangan Malaysia Ke-10 — Mohd Najib Abdul Razak

June 10, 2010

10 JUN — Tuan Yang di-Pertua,  Dengan sukacitanya saya berdiri di Dewan yang mulia ini untuk  mengemukakan satu usul seperti berikut:

“Bahawa Dewan ini,  menyedari akan cabaran pertumbuhan ekonomi serta pencapaian sosioekonomi semasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan dalam menghadapi persekitaran global  yang begitu mencabar;

merestui usaha Kerajaan untuk terus melaksanakan Misi  Nasional dengan disokong oleh Model Baru Ekonomi sebagai  rangka dasar pembangunan bagi mencapai matlamat Wawasan  2020;

meluluskan Rancangan Malaysia Kesepuluh yang akan  dilaksanakan berasaskan hala tuju strategik, program dan  peruntukan yang diperlukan untuk merealisasikan Wawasan 2020  dan membawa negara ke arah mencapai status negara  berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2020 seperti  dibentangkan dalam Kertas Perintah CMD. 3 Tahun 2010;

Bahawa dalam meluluskan Rancangan Malaysia Kesepuluh,  Dewan yang mulia ini menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya  bersatu padu dengan semangat “1 Malaysia: Rakyat Didahulukan  Pencapaian Diutamakan” dan mempunyai iltizam yang teguh bagi  melaksanakan tanggungjawab yang murni untuk menjayakan  pelan transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi dan  maju, berdaya tahan dan berdaya saing, demi untuk  meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.”


Rancangan kemakmuran ekonomi dan  keadilan sosial

Pendahuluan

Tuan Yang Di-Pertua,

3. Alhamdulillah, dipanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu  Wa Ta’ala lantaran izin dan rahmatNya jua, maka pada hari penuh  bermakna ini, 10 Jun 2010 bersamaan 27 Jamadil Akhir 1431, saya  akan membentangkan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10)  bagi tempoh 2011 hingga 2015. Rancangan ini adalah amat kritikal  bagi meneruskan kesinambungan prakarsa nasional ke arah  merealisasikan Wawasan 2020 menjadi sebuah negara maju dan  berpendapatan tinggi.

Tuan Yang di-Pertua,

4. Semenjak mencapai kemerdekaan lebih lima dekad lalu,  Malaysia sebagai sebuah negara majmuk telah meraih kejayaan  demi kejayaan yang menakjubkan. Hakikatnya, ketika banyak pihak  sibuk menulis belasungkawa tentang negara tercinta ini, kita telah  berjaya mengesima ketidakyakinan serta kesinisan mereka.

5. Tidak keterlaluan untuk rakyat Malaysia mendabik dada dan membuktikan bahawa dengan kepimpinan serta persekitaran yang  betul, pelbagai puncak berjaya ditawan, pelbagai pancang berjaya di   capai dan pelbagai tembok telah berjaya didaki. Hasilnya, dari  sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang bergantung  kepada getah dan bijih timah, Malaysia hari ini telah muncul menjadi  sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi  dengan asas ekonomi yang mantap.

6. Kejayaan yang digarap ini bukan datang bergolek dalam  angan-angan tanpa perancangan mahupun tanpa usaha, sebaliknya  ia hasil gigih kepimpinan Kerajaan berwawasan dengan sokongan  padu rakyat semenjak merdeka. Dalam hal ini, kita amat terhutang  budi kepada kepimpinan negara dan generasi terdahulu kerana  faktanya kita hari ini membuat lonjakan di atas tapak yang telah  mereka bina dengan segala jerih payah dan pengorbanan begitu  besar. Secara sedar ataupun tidak, Dua Rancangan Malaya,  Sembilan Rancangan Malaysia, Tiga Rangka Rancangan Jangka  Panjang serta satu Misi Nasional telah dan sedang dilalui sehingga  kita ke pusingan pada hari ini.

7. Pada titik ini, bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin merakamkan rasa penghargaan tulus dan ucapan terima kasih  tidak terhingga kepada kelima-lima mantan Perdana Menteri  sebermula daripada Tunku Abdul Rahman Putra sehinggalah Tun  Abdul Razak Datuk Hussein, Tun Hussein Datuk Onn, Tun Mahathir  Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kesemuanya adalah  wirawan nasional yang mana jasanya akan tertulis dan tersepuh dek  tinta emas dalam lebaran tawarikh negara. Kepada yang telah  kembali menemui pencipta, kita menadah kedua tangan memohon   doa agar roh mereka dirahmati dan mendapat balasan yang  sewajarnya di sisi Rabbul Jalil.

8. Tidak dapat dinafikan, rehlah negara ini meniti dan menongkah himpunan peristiwa serta pelbagai saat suka duka. Sejarah yang dilewati itu wajar dianggap sebagai teladan berguna kepada kita  namun janganlah menjadikan alasan sejarah sebagai sempadan  yang memenjarakan pemikiran. Untuk berjaya, rakyat Malaysia perlu  berani berfikir di luar dari kotak pena’kulan yang lazim. Sehubungan  dengan itu, sekalipun kerajaan menjadikan detik-detik lalu sebagai  panduan dan sempadan, kita tidak boleh terperangkap dengan  sindrom penjara sejarah supaya tidak menyebabkan berlakunya  paralisis dari segi tindakan yang dirancang dan ingin dilaksanakan.

9. Bagi tempoh RMKe-9, ekonomi Malaysia dianggar berkembang  pada kadar 4.2 peratus setahun dan pendapatan negara kasar per  kapita akan mencecah 26,420 ringgit atau 8,260 dolar Amerika pada  tahun 2010. Tambahan lagi, ianya dicapai dalam suasana kadar  inflasi yang rendah manakala kadar pengangguran dijangka pada  paras 3.6 peratus pada tahun 2010. Defisit fiskal Kerajaan  Persekutuan pula diunjur mengecil kepada 5.3 peratus pada tahun  ini berbanding 7 peratus kepada KDNK pada tahun 2009.

10. Pelaksanaan program pembasmian kemiskinan untuk golongan  sasar pula telah berjaya mengurangkan kadarnya kepada 3.8 peratus  tahun 2009, berbanding 5.7 peratus tahun 2005. Peratusan miskin   tegar juga telah menurun daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus  dalam tempoh yang sama.

11. Bagi menangani cabaran kemelesetan ekonomi dunia pada  tahun 2008 dan 2009, Kerajaan telah memperkenalkan pula dua  pakej rangsangan ekonomi bernilai 67 bilion ringgit. Dengan izin Allah  SWT, ekonomi negara telah semakin pulih dan mencatatkan  pertumbuhan amat membanggakan pada kadar 10.1 peratus bagi  suku pertama 2010. Ini merupakan kadar pertumbuhan tertinggi sejak  10 tahun yang lalu. Mudah-mudahan, bagi tahun 2010 ekonomi  Malaysia akan kembali cergas dengan mencatatkan pertumbuhan  sebanyak 6 peratus.

Tuan Yang di-Pertua,

12. Di persada global, perjalanan kita ke arah Wawasan 2020  penuh dengan cabaran getir dan tidak menentu. Hari ini, pentas  ekonomi dunia telah banyak berubah dan Malaysia tidak lagi boleh  bergantung kepada struktur kos yang rendah untuk terus berdaya  saing di peringkat antarabangsa. Arus globalisasi, liberalisasi dan negara-negara seperti China, India, Brazil, Russia, Timur Tengah dan juga negara-negara jiran telah mewujudkan persaingan sengit  kepada usaha untuk menarik lebih banyak peluang perdagangan dan  pelaburan.

13. Selain daripada faktor persekitaran ekonomi dunia, Malaysia  juga menghadapi pelbagai cabaran domestik dalam usaha   melonjakkan pertumbuhan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi, dan  pada masa yang sama bertujuan melaksanakan dasar fiskal yang  berhemah. Antara cabaran utama adalah untuk menyediakan  persekitaran pelaburan yang kondusif dan membentuk gagasan  modal insan berkualiti tinggi, bagi membolehkan anjakan ke tahap  nilai ditambah dan produktiviti yang mantap.

Tuan Yang Di-Pertua,


Rancangan Malaysia Kesepuluh — melangkah ke  hadapan

14. RMKe-10 telah dirangka dengan pelbagai pendekatan baru  dalam perjalanan menuju ekonomi berpendapatan dan berproduktiviti  tinggi sesuai dengan Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan.  Dalam rancangan ini, Pendapatan Negara Kasar per kapita telah  disasar untuk meningkat kepada 38,850 ringgit, atau 12,140 dolar  Amerika, pada tahun 2015. Ini memerlukan KDNK sebenar  berkembang pada kadar 6 peratus setahun. Pertumbuhan akan  diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, di samping  menggiatkan semula sektor pertanian yang bernilai tambah tinggi  serta penyerapan kaedah ICT, bioteknologi serta pelantar teknologi  yang berkaitan

15. Cabaran besar Rancangan ini adalah untuk memangkin  pelaburan swasta ke tahap yang lebih cergas, di mana ianya disasar  berkembang 12.8 peratus atau 115 bilion ringgit setahun. Pada masa   yang sama, Kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fiskal  daripada 5.3 peratus KDNK dalam tahun 2010 kepada kurang  daripada 3 peratus pada tahun 2015. Selain itu, Kerajaan akan  berusaha tanpa jemu memastikan bahawa taraf serta kualiti hidup  rakyat bertambah baik, terutamanya bagi golongan isi rumah  berpendapatan 40 peratus terendah.


Tuan Yang Di-Pertua,

RMKe-10 – 10 Premis Utama

16. Sesungguhnya tumpuan mentransformasi negara ke arah  mencapai Wawasan 2020 memerlukan penekanan yang khusus dan  menyeluruh. Seluruh tenaga dan fikiran perlu digembleng ke arah  mencapai objektif ini. Rancangan ini digagaskan daripada 10 idea  yang kini diterjemahkan sebagai 10 premis utama seperti berikut:  Pertama: Memacu ekonomi domestik dengan kepekaan  persekitaran luar negara.  Kedua: Memanfaatkan dan menuas faktor kepelbagaian  etnik sebagai satu elemen kejayaan di arena  antarabangsa.  Ketiga: Mentransformasi negara ke arah pendapatan tinggi  menerusi pengkhususan.   Keempat: Menjayakan pertumbuhan diterajui oleh produktiviti  dan inovasi.  Kelima: Memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan  unggul.  Keenam: Memastikan peluang yang saksama dan  melindungi golongan mudah terjejas.  Ketujuh: Pertumbuhan bertumpu, pembangunan inklusif. Kelapan: Menyokong perkongsian pintar yang efektif.  Kesembilan: Menghargai khazanah alam sekitar.  Kesepuluh: Kerajaan umpama syarikat yang berdaya saing.


RMKe-10 – Lima Teras Strategik

17. Dalam menerajui hala tuju bagi mencapai aspirasi RMKe-10,  lima teras strategik utama telah dikenalpasti ke arah mencapai  objektif serta sasaran yang telah ditetapkan dalam rancangan ini.  Lima teras tersebut adalah seperti berikut:  Pertama: Menggubah falsafah dan pendekatan Kerajaan ke  arah mentransformasikan Malaysia dengan metodologi NKRA;   Kedua: Mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi;  Ketiga: Menuju ke arah pembangunan sosioekonomi  secara inklusif;  Keempat: Membangun dan mengekalkan modal insan  bertaraf dunia; dan  Kelima: Mewujudkan persekitaran kondusif ke arah  mempertingkatkan kualiti hidup;  Tuan Yang Di-Pertua,  Teras Strategik Pertama : Menggubah falsafah dan pendekatan  Kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia dengan metodologi NKRA

18. Proses transformasi negara menuntut kepada transformasi  jentera Kerajaan bagi menyokong peralihan ekonomi. Untuk muncul  sebagai negara berdaya saing di peringkat global, Kerajaan perlu  berubah seumpama syarikat yang berdaya saing. Untuk meneruskan  aspirasi kita bagi menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan  tinggi, kita tidak boleh lagi mengambil langkah berdikit-dikit malahan  Kerajaan telah mula mengambil langkah transformational, pada masa  yang sama mempertahankan agenda keadilan sosial. Bagi maksud   ini, Kerajaan akan berpegang kepada 4 tiang utama yakni formula  empat campur empat.

19. Dua komponen ini boleh dibahagikan kepada 4 Tiang Utama,  terdiri daripada Pertama: Falsafah induk 1 Malaysia, Rakyat  Didahulukan Pencapaian Diutamakan; Kedua: Program  Transformasi Kerajaan atau GTP; Ketiga: Program Transformasi  Ekonomi atau ETP yang bersandarkan Model Baru Ekonomi dan  Keempat: Dua rancangan pembangunan lima tahun yakni Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh dan Rancangan Malaysia Ke- Sebelas. Empat tiang utama ini pula didokong oleh empat nilai asas  pelengkap. Pertama: Membudayakan Kreativiti dan Inovasi. Kedua:  Mementingkan kepantasan bertindak dan membuat keputusan.  Ketiga: Nilai untuk wang atau “Value for money’’ dan Keempat: Nilai  Integriti. Jika diibaratkan seumpama rumah, bumbungnya adalah  falsafah induk 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian  Diutamakan, dindingnya adalah GTP dan ETP serta lantainya yang  sedang kita bina adalah RMKe10 dan RMKe-11. Manakala ibaratnya  lagi tangga menaiki rumah 1 Malaysia ini adalah dasar-dasar keadilan  sosial dan budaya pencapaian tinggi.

20. Selanjutnya, langkah transformasi Kerajaan yang sedang  dilaksana dimulakan dengan pelaksanaan enam bidang keutamaan  nasional atau yang lebih dikenali sebagai NKRA. Dengan NKRA  tersebut, Kerajaan bertekad untuk mengurangkan jenayah,  membanteras rasuah, mempertingkat pencapaian pelajar,  meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah,   mempertingkat infrastruktur asas luar bandar dan menambah baik  sistem pengangkutan awam bandar. Bagi memastikan kehendak dan  keperluan rakyat diambil kira, pendekatan rundingan dengan  pelbagai pihak termasuk sektor awam dan swasta serta badan bukan  kerajaan (NGO) telah diguna pakai.

21. Sehingga kini, Alhamdulillah, kebanyakan inisiatif di bawah  NKRA telah membuahkan hasil. Sebagai contoh, bagi NKRA  jenayah, kadarnya telah dikurangkan sebanyak 15 peratus pada suku  tahun pertama berbanding sasaran sebanyak 5 peratus bagi tahun  2010. Dalam usaha untuk membanteras rasuah, Akta Perlindungan  Pemberi Maklumat telah diluluskan oleh Dewan Yang Mulia ini pada  bulan April lalu. Bagi NKRA pengangkutan awam bandar, usaha  penyelarasan laluan bas awam di bandar-bandar utama telah berjaya  menghasilkan peningkatan kadar pengguna bas awam bandar  kepada 13 peratus. Bagi NKRA pendidikan pula, seramai 18,000  kanak-kanak telah menerima manfaat daripada 929 kelas  prasekolah.

22. Inisiatif yang berterusan telah dikenal pasti oleh PEMUDAH  dalam usaha meningkatkan kecekapan dan menambahbaik prosedur  Kerajaan. Ini telah membuahkan hasil yang ketara dalam beberapa  bidang. Misalannya, bermula 1 April 2010, tempoh masa yang  diperlukan untuk memulakan perniagaan telah dikurangkan kepada 3  hari berbanding 11 hari. Kini, pendaftaran pindah milik tanah boleh  diselesaikan dalam tempoh satu hari berbanding 30 hari sebelum ini.  Bermula 11 Mei 2010 pula, terdapat 26 lokasi di seluruh negara yang   menawarkan kemudahan pemprosesan pasport antarabangsa  Malaysia dalam tempoh satu jam.


TS1.1 Peralihan tumpuan kepada infrastruktur bukan fizikal

23. Mara ke depan, Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan infrastruktur bukan fizikal, termasuk pembangunan  modal insan seperti pembangunan kemahiran, serta keupayaan  inovasi yang lebih mantap. Dalam pada itu, peruntukan RMKe-10 bagi  infrastruktur bukan fizikal telah meningkat kepada 40 peratus,  berbanding 21.8 peratus dalam RMKe-9. Tumpuan akan diberikan  kepada program pembangunan kemahiran dan juga aktiviti R&D dan  modal teroka, ke arah memupuk tahap inovasi negara yang lebih  memberangsangkan.

24. Pendekatan ini juga adalah selaras dengan usaha  menggalakkan sektor swasta untuk turut serta melabur dalam  infrastruktur fizikal dan juga menyediakan perkhidmatan seperti  latihan kemahiran. Menyokong hasrat ini, Kerajaan akan menyumbar  pelaksanaan perolehan perkhidmatan daripada sektor swasta.  Maksudnya, sektor swasta akan bersaing untuk menawarkan  perkhidmatan latihan kemahiran pada kos yang kompetitif.


TS1.2 Menambah baik usaha pembangunan modal insan dalam  sektor awam

25. Kita maklum bahawa, penyampaian perkhidmatan Kerajaan  yang cekap dan berkesan berkait rapat dengan kecemerlangan  sumber manusia. Bagi mengekalkan bakat berkualiti dalam  perkhidmatan awam, rangka kerja pengurusan sumber manusia dan  pembangunan kerjaya akan ditambah baik. Peluang kepada  penjawat awam untuk menambah ilmu dan kepakaran masing- masing juga akan diperluaskan. Dalam hal ini, sebuah institusi perkhidmatan awam bertaraf dunia akan diwujudkan untuk  meningkatkan kompetensi mereka.


Tuan Yang DiPertua,

Teras Strategik Kedua : Mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi 

TS2.1 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA)

26. Satu pendekatan utama dalam peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi adalah mengamalkan strategi berteraskan pengkhususan. Rancangan ini akan memberi tumpuan kepada 12  bidang ekonomi utama negara atau NKEA yang berpotensi untuk  menjana pendapatan tinggi. Selain daripada 11 sektor ekonomi,  Lingkungan besar atau “Greater” Kuala Lumpur juga telah dipilih  kerana ianya berpotensi menjadi bandar bertaraf dunia yang boleh  menjadi penggerak utama pertumbuhan ekonomi negara. Butiran  terperinci NKEA bakal dimuktamadkan dengan Program   Transformasi Ekonomi akan diumumkan pada bulan Oktober nanti.  Berikut adalah NKEA yang telah dikenalpasti:  (i) Minyak dan gas;  (ii) Minyak sawit dan produk berkaitan;  (iii) Perkhidmatan kewangan;  (iv) Pemborongan dan peruncitan;  (v) Pelancongan;  (vi) Teknologi Maklumat dan Komunikasi

(ICT);  (vii) Perkhidmatan Pendidikan;  (viii) Elektrik dan elektronik;  (ix) Perkhidmatan perniagaan;  (x) Penjagaan kesihatan swasta;  (xi) Pertanian; dan  (xii) Greater Kuala Lumpur.  Satu unit khas, iaitu Unit Transformasi Ekonomi, akan ditubuhkan untuk merancang, menyelaras pelaksanaan dan pembangunan NKEA.

27. Selain daripada itu, penyerapan penggunaan kaedah yang  berasaskan teknologi tinggi akan juga diberi tumpuan dalam  perancangan dan penyelarasan perlaksanaan NKEA. Pelantar  teknologi seperti bioteknologi, nanoteknologi, dan kejuruteraan tinggi  bakal melonjakkan impak pertumbuhan dari NKEA yang dikenal  pasti.

28. Bagi sektor-sektor ekonomi yang tidak tersenarai di dalam  NKEA pula, antaranya seperti teknologi hijau, automotif, aeroangkasa  dan logistik, usaha memajukan sektor-sektor ini akan terus dipandu  oleh kementerian, agensi dan majlis-majlis yang berkaitan.


TS2.2 Mewujudkan Ekonomi Diterajui Sektor Swasta

29. Sememangnya, sasaran pertumbuhan enam peratus setahun  bagi tempoh Rancangan ini memerlukan lonjakan ketara dalam  kerancakan aktiviti pelaburan dengan diterajui oleh pelaburan swasta  yang lebih cergas. Bagi mencapai maksud ini, Malaysian Investment  Development Authority (MIDA) telah dikorporat dan dijenama semula.  Di samping itu, peraturan perniagaan yang lapuk akan dilupuskan.  Perbadanan Produktivti Malaysia (MPC) pula akan disusun kembali  untuk menerajui kajian peraturan perniagaan secara menyeluruh bagi  meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor-sektor utama  ekonomi.

30. Adalah lazim, persaingan sihat pasaran diperlukan untuk menjadikan ekonomi lebih efisien dan dinamik. Sehubungan dengan  ini, Undang-undang Persaingan sedang diberi penelitian untuk  menyediakan rangka kawalan terhadap manipulasi pasaran dan  kewujudan amalan kartel yang boleh menjejas kecekapan pasaran.  Suruhanjaya Persaingan dan Tribunal Rayuan akan ditubuhkan untuk memastikan pelaksanaan undang-undang lebih teratur dan berkesan.

31. Di sudut lain, negara China, India dan Timur Tengah adalah merupakan antara negara yang pesat membangun. Malaysia yang mempunyai hubungan sejarah, perdagangan dan kedudukan geografi strategik perlu mempereratkan lagi hubungan dengan negara-negara ini termasuklah Asia Timur. Oleh itu, Malaysia akan memberi tumpuan yang lebih untuk membangunkan pasaran serantau melalui promosi dan perjanjian perdagangan. Di samping itu, kita akan terus mengukuhkan hubungan ekonomi sedia ada  seperti di benua Eropah dan Amerika Syarikat.

32. Saya yakin dengan usaha yang dibuat ini, akan menjadikan Malaysia antara destinasi terbaik untuk menjalankan perniagaan,  terutamanya di rantau Asia. Mengikut laporan Bank Dunia, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-23 teratas antara 183 negara di  dunia dalam kecekapan urusan menjalankan perniagaan. Kerajaan percaya, negara mampu berada di kedudukan antara negara ke-10  teratas menjelang 2015.

33. Hal tersebut tadi bukanlah perkara yang mustahil kerana dalam tempoh satu tahun sahaja, kita telah berjaya berada antara sepuluh negara paling kompetitif di dunia seperti dilaporkan oleh Institute for  Management Development. Malaysia adalah satu-satunya negara OIC dan NAM yang tergolong dalam senarai ini. Namun begitu, Kerajaan tidak akan berpeluk tubuh dan akan terus berusaha untuk meletakkan Malaysia di lima tangga terbaik dunia pada masa mendatang.


TS2.3 Perkongsian Awam-Swasta

34. Seterusnya, perkongsian pintar dan berkesan antara sektor  awam dan swasta akan diamalkan sebagai mekanisma penggerak  agenda transformasi ekonomi. Fasa baru perkongsian awam-swasta  (PPP) akan dilangsungkan dengan memastikan perkongsian risiko  dan pulangan saksama yang berimpak besar.

35. Setakat ini, 52 projek berimpak tinggi telah dikenalpasti untuk dilaksanakan yang bernilai 63 bilion ringgit. Ini termasuk:  Pertama: Tujuh buah lebuhraya dengan anggaran kos sebanyak 19  bilion ringgit. Projek termasuk Lebuhraya Pantai Barat,  Lebuhraya Guthrie - Damansara, Lebuhraya Sungai Juru  dan Lebuhraya Paroi - Senawang- KLIA;  Kedua: Dua buah Projek Loji Jana Kuasa Elektrik Arang Batu dengan anggaran kos sebanyak 7 bilion ringgit; dan  Ketiga: Pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai  Buloh, Selangor seluas lebih kurang 3,300 ekar dengan  anggaran kos sebanyak 10 bilion ringgit.

36. Pihak swasta juga akan berpeluang menyertai pembangunan  beberapa projek lain yang dipimpin syarikat berkaitan Kerajaan  (GLC). Ini termasuk projek-projek, seperti Projek Pembangunan  Strategik Kuala Lumpur oleh 1 Malaysia Development Berhad (1MDB)   meliputi kawasan Lapangan Terbang Sungai Besi, dan KL  International Financial District di Kuala Lumpur, pembinaan Loji Re- gasification Gas Asli Cecair (LNG) oleh PETRONAS di Melaka  dengan anggaran kos 3 bilion ringgit serta pelaburan dua relau  pelebur aluminium di SCORE Sarawak berjumlah 18 bilion ringgit.

37. Bagi memudahkan sektor swasta membiayai projek-projek ini,  dana berjumlah 20 bilion ringgit akan disediakan melalui Dana  Mudahcara atau “Facilitation Fund”. Dana ini bertujuan membantu  merapatkan jurang daya maju pelaburan swasta dalam  melaksanakan projek bernilai tinggi dan mempunyai kesan limpahan  ekonomi besar, dengan syarat projek tersebut mempunyai impak  strategik tinggi dalam pembangunan ekonomi negara. Melalui dana  ini, adalah dijangkakan Kerajaan dapat menarik pelaburan swasta  berjumlah sekurang-kurangnya 200 bilion ringgit dalam tempoh  Rancangan. Projek yang sedang dipertimbangkan untuk dibiayai di  bawah Dana ini termasuklah Penambakan Tanah di Westport,  Pelabuhan Kelang, Pembangunan Malaysia Truly Asia Centre di Kuala Lumpur, Taman Teknologi Tinggi Senai di Iskandar Malaysia, Johor.


TS 2.4 Pertumbuhan Dipacu Inovasi

38. Seperti yang diketahui, pertumbuhan ekonomi negara sudah sekian lama didorong oleh pertambahan faktor pengeluaran, dengan sumbangan besar pelaburan, tenaga dan pekerja. Kita, kini perlu beralih kepada pertumbuhan berasaskan produktiviti yang dipacu   inovasi. Untuk maksud itu, Kerajaan akan menubuhkan sebuah unit khas di bawah Jabatan Perdana Menteri yang akan memandu dan mengarah keberkesanan sistem inovasi negara serta program pembangunan inovasi sedia ada.

39. Satu langkah penting dalam Rancangan ini ialah menambahbaik kaedah pembiayaan bagi syarikat modal teroka awam. Pada masa ini, pembiayaan Kerajaan kepada syarikat modal  teroka awam, seperti Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia  (MTDC) dan Malaysian Venture Capital (MAVCAP), disediakan  melalui pinjaman jangka panjang. Dalam Rancangan ini, pembiayaan akan berbentuk ekuiti dan bukan pinjaman. Pembiayaan ekuiti ini akan disepadan dengan profil risiko pelaburan modal teroka. Ke arah ini, Dana Inovasi Mudharabah (MIF) dengan peruntukan sebanyak  500 juta ringgit akan diperkenal bagi menyediakan modal berisiko  kepada syarikat modal teroka Kerajaan. Bagi merapatkan jurang  pembiayaan antara pengkomersilan peringkat awal dan pembiayaan  modal teroka bagi produk berteknologi tinggi, Kerajaan akan  menubuhkan Dana Perkembangan Perniagaan dengan peruntukan  permulaan sebanyak 150 juta ringgit. Matlamat Dana ini, bertujuan  menyokong syarikat sehingga mereka dapat menjana nilai komersil  yang cukup bagi menarik pembiayaan modal teroka dan sumber pembiayaan lain.

40. Kita sedar, ramai usahawan telah gagal dek kerana terkesan  oleh risiko perniagaan di luar jangkaan. Adalah merupakan satu  tragedi jika seorang usahawan yang berkaliber dan berwibawa tidak   diberi peluang kedua untuk bangkit semula dan menjadi usahawan  yang berjaya. Kita juga sedar banyak individu, perniagaan dan  inisiatif inovasi yang telah gagal kali pertama, tetapi mampu berjaya  kemudiannya. Justeru, undang-undang kebankrapan akan  dipermudah untuk menyokong budaya mengambil risiko terhitung,  menghapuskan stigma kegagalan dan membenarkan usahawan  berkaliber lagi wibawa yang gagal untuk kembali aktif.


TS2.5 Membina Infrastruktur Bertaraf Dunia

41. RMKe-10 akan terus memberi tumpuan kepada penyediaan  prasarana untuk menyokong pertumbuhan negara, di samping  memastikan kesejahteraan segenap lapisan rakyat. Pelaksanaan  projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi akan meliputi bandar-bandar  besar, kawasan pertumbuhan ekonomi utama dan kawasan industri.  Usaha ini akan dilengkapi dengan Jalur Lebar untuk orang awam  yang akan memberi liputan ke kawasan pinggiran bandar dan luar  bandar. Bagi penduduk di luar bandar, perkhidmatan rangkaian  akses kepada jalur lebar akan disediakan melalui prasarana tanpa  wayar dengan pakej mampu langgan yang pelbagai.

42. Pembangunan rangkaian pengangkutan multimodal yang lebih  luas dan efisien juga diperlukan untuk menyokong pertumbuhan  negara. Antara projek utama yang sedang dilaksanakan, termasuk  Lebuhraya Pantai Timur dari Kuantan ke Kuala Terengganu dalam  Fasa 2, yang akan disiapkan dalam tempoh Rancangan ini, dengan  kos keseluruhan sebanyak

3.7 bilion ringgit. Lebuhraya tersebut juga akan dihubungkan ke Pelabuhan Kuantan yang akan dinaik taraf. Ini akan menyumbang kepada pertumbuhan di pantai timur di samping  meningkatkan jalan raya ke pedalaman, seperti jalan raya  menghubungkan Kuala Lipis ke Cameron Highland dan dari Jerantut  ke Sungai Lembing. Selain daripada itu, projek membina landasan  elektrik berkembar dari Gemas ke Johor Bahru, dengan kos  anggaran sebanyak 8 bilion ringgit, akan dilaksanakan sebagai  pelengkap kepada sistem landasan elektrik berkembar dari Padang  Besar di utara ke Johor Bahru di selatan. Projek lain pula melibatkan  loji rawatan kumbahan (Sewerage Treatment Plant) yang menggunakan teknologi hijau di Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan kemudiannya akan diperluaskan ke seluruh negara.


TS2.6 Dasar Baru Tenaga

43. Dalam Rancangan ini, bekalan tenaga juga akan terus  diperkukuh ke arah mewujudkan pasaran yang lebih kompetitif dan  mengurangkan tanggungan subsidi tenaga secara berperingkat.  Dasar Baru Tenaga telah mengenal pasti lima pendekatan yakni:  Pertama: merasionalkan harga tenaga mengambil kira faktor  pasaran secara berperingkat selaras dengan kedudukan  ekonomi semasa negara serta kemampuan rakyat;  Kedua: pembangunan bekalan tenaga secara lebih strategik dengan mempelbagaikan sumber tenaga, termasuk   sumber tenaga boleh diperbaharu. Tenaga nuklear juga  akan dipertimbangkan sebagai tenaga alternatif;  Ketiga: meningkatkan pelaksanaan inisiatif kecekapan tenaga di  sektor industri, komersil, kediaman dan pengangkutan; Keempat: menambahbaik tadbir urus bagi menyokong peralihan  kepada prinsip pasaran serta mewujudkan mekanisme  penyaluran bantuan sosial kepada golongan  berpendapatan rendah; dan  Kelima: memastikan Dasar Baru Tenaga dilaksana berdasarkan  pendekatan bersepadu dalam tempoh yang ditetapkan  supaya matlamat jaminan bekalan tenaga akan dapat dicapai.


TS2.7 Pembangunan Kluster

44. Pembangunan ekonomi wilayah akan memberi tumpuan  kepada sebilangan kluster perbandaran berdensiti yang berteraskan  industri bernilai tinggi untuk menarik pelaburan dan tenaga kerja  mahir. Langkah ini bertujuan menjadikan beberapa bandar raya di  Malaysia sebagai destinasi tarikan baru kepada pelabur dalam  industri berteknologi tinggi serta tenaga kerja berbakat dan  berpengetahuan.

45. Pendekatan pembangunan berasaskan kluster dalam koridor  akan memanfaatkan potensi dan sumber yang ada bagi menjadi  pemangkin kepada pertumbuhan koridor berkenaan. Pembangunan  kluster akan ditumpukan kepada sektor-sektor terpilih dengan  mengenalpasti aktiviti dan pelabur utama, termasuk GLC dan syarikat  swasta, untuk menerajui pembangunannya dalam pembangunan  koridor berkenaan. Kemudiannya, pembangunan kelompok-kelompok  ini di seluruh bandar di Malaysia dijangka akan diintegrasikan supaya  kawasan-kawasan pinggir bandar dan luar bandar yang mengelilingi  bandar-bandar besar ini akan mendapat manfaat secara langsung.


TS2.8 Membangunkan SME Sebagai Jentera Pertumbuhan dan  Inovasi

46. Enterpris Kecil dan Sederhana (SME) memainkan peranan penting dalam menerajui pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan  akan terus menyokong pembangunan SME, termasuk syarikat- syarikat kecil yang masih di peringkat awal untuk bekembang  sehingga ke tahap global. Di samping itu, kita juga perlu  menggalakkan SME asing untuk bekerjasama dengan SME tempatan  supaya sama-sama mendapat manfaat daripada peralihan teknologi  dan membuka pasaran yang lebih luas, khususnya dalam sektor  teknologi moden.

47. Untuk memastikan SME mendapat akses yang mudah kepada  kemudahan pembiayaan, Kerajaan telah menyediakan Skim Jaminan   Modal Kerja berjumlah 7 bilion ringgit dan Skim Jaminan  Pengstrukturan Semula Industri berjumlah 3 bilion ringgit. Hal ini  telah saya umumkan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Kedua.  Keseluruhan 7 bilion ringgit di bawah Skim Jaminan Modal Kerja  telah pun diluluskan. Memandangkan sambutan kepada Skim  Jaminan Modal Kerja amat menggalakkan, Kerajaan akan  menambah tiga billion ringgit lagi, menjadikan jumlah semuanya kepada 10 bilion ringgit.

48. Di sudut ini, kerajaan sedar bahawa terdapat SME tempatan  yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa tetapi  menghadapi masalah untuk bertapak di pasaran domestik. Terdapat  juga SME yang telah memperolehi pengiktirafan tempatan atau  anugerah antarabangsa dari segi kualiti dan inovasi. Sehubungan itu,  SME tersebut akan diberi akses green lane atau keutamaan dalam  proses bidaan perolehan Kerajaan mahupun syarikat berkaitan  Kerajaan.

49. Di samping itu, Kerajaan juga memandang serius terhadap  kesediaan kemudahan kredit supaya para usahawan dapat lebih giat  lagi menceburi bidang SME. Sehubungan dengan ini, Kerajaan  sedang mengkaji untuk mempertingkatkan lagi sumber kewangan  SME dan Agro Bank supaya ia dapat memberikan perkhidmatan  yang efektif kepada para usahawan SME kelaknya nanti. Selain itu,  SME Corp pula akan diberi peruntukan yang secukupnya bagi  memastikan SME yang berpotensi untuk berjaya dapat dibantu  dengan sewajarnya.


Tuan Yang Di-Pertua, 

Teras Strategik Ketiga : Pembangunan Sosio-Ekonomi Secara  Inklusif

50. Keterangkuman atau inclusiveness merupakan pra-syarat bagi memastikan setiap rakyat dapat menikmati kemakmuran hasil  pembangunan negara. Pendekatan ini akan menjamin keadilan  sosial kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan dan  tidak akan ada sesiapa pun yang berasa terpinggir.

51. Kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah yang perlu  bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat  Malaysia. Prinsip progresif dan pragmatisme akan memandu dasar- dasar negara demi kepentingan rakyat. Namun kita akan tetap akur  kepada peruntukan-peruntukan perlembagaan persekutuan yang  akan sentiasa dijunjung dan dihormati.


TS3.1: Penyertaan Masyarakat Bumiputera dalam ekonomi  negara

52. Agenda pembangunan Bumiputera akan terus diberi  penekanan selaras dengan konsep pertumbuhan dengan  pengagihan. Memandangkan persekitaran ekonomi global dan  domestik yang lebih mencabar, tibalah masanya untuk kita  melaksanakan transformasi di dalam agenda pembangunan   Bumiputera bagi mewujudkan penyertaan syarikat Bumiputera yang  berdaya saing dan berdaya maju. Pendekatan baru ini akan berasaskan kepada empat prinsip utama, iaitu mesra pasaran, berdasarkan keperluan, merit dan ketelusan.

53. Keutamaan akan diberikan kepada aspek meningkatkan  keupayaan syarikat Bumiputera. Dalam hal ini, tumpuan akan  diberikan kepada usaha meningkatkan nilai ditambah dan membina  ke atas kejayaan yang telah dicapai sebelum ini. Syarikat Bumiputera  berpotensi yang telah membuktikan kebolehan serta kewibawaan  mereka akan disokong untuk maju ke tahap yang lebih tinggi selaras  dengan hasrat Kerajaan supaya syarikat-syarikat ini dapat  merealisasikan kemampuan mereka secara optimum.

54. Matlamat penstrukturan penyertaan syarikat Bumiputera pada  awal tahun 1970-an telah memberi tumpuan kepada hakmilik ekuiti. Pengukuran penyertaan Bumiputera akan diperluaskan kepada aset kewangan dan bukan kewangan, seperti hartanah dan premis  perniagaan, termasuk juga guna tenaga profesional. Kaedah yang  lebih holistik dan komprehensif ini memberi penekanan bukan sahaja  kepada aspek pemilikan kekayaan, tetapi juga aspek peningkatan  pendapatan selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mencapai tahap  negara berpendapatan tinggi. Pada masa yang sama, sasaran untuk  mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat  Bumiputera dan ekonomi di peringkat makro masih kekal.

55. Sehubungan itu, untuk memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera, lima inisiatif strategik telah dikenalpasti untuk dilaksanakan seperti berikut:

Pertama: Meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera melalui penginstitusian. Dalam hal ini, program ekuiti swasta  dalam syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan seperti PNB,  Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Tabung Haji  akan diperbaharui, diperkukuh dan diperluas bagi  menggembleng pelbagai dana dalam usaha memperluas  pemilikan dan kawalan ekuiti Bumiputera.

Dalam konteks ini, Kerajaan telah menubuhkan EKUINAS  sebagai institusi pelaburan ekuiti swasta Bumiputera.  Fungsi EKUINAS adalah mirip kepada Permodalan  Nasional Berhad, dengan penekanan khusus untuk  melabur ke dalam syarikat sederhana besar yang  berpotensi tinggi, agar dapat disokong sehingga menjadi  jaguh serta peneraju utama dalam sektor masing-masing.  EKUINAS membawa pendekatan baru yang lebih mesra  pasaran dan berdasarkan merit.

Sehubungan itu,  Kerajaan akan menyokong usahawan Bumiputera berwibawa dan golongan profesional Bumiputera  berkeupayaan untuk mengembangkan syarikat masing- masing ke tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja di   peringkat domestik tetapi juga di arena serantau dan peringkat antarabangsa.

Kedua: Mempertingkatkan pemilikan hartanah Bumiputera.  Dalam konteks ini, Pelaburan Hartanah Berhad akan  menubuhkan Tabung Pelaburan Amanah Hartanah untuk  mengurangkan kekangan kepada Bumiputera untuk melabur dalam sektor hartanah komersial dan industri,  serta mendapat faedah daripada peningkatan nilai  hartanah tersebut. Selain itu, Kampong Bharu merupakan  aset Bumiputera yang berharga di tengah-tengah pusat  Bandaraya Kuala Lumpur. Kampong Bharu perlu dibangunkan semula supaya pemilik tanah dapat  merealisasikan nilai sebenar hartanah mereka tanpa  menjejaskan kedudukan orang Melayu sebagai  pemegang asal tanah-tanah di kawasan ini.

Ketiga: Menambahbaik program pembangunan kemahiran  dan keusahawanan serta pembiayaan melalui  pelbagai agensi pembangunan Bumiputera. Dalam hal  ini, pakej secara bersepadu akan dilaksanakan bagi meningkatkan daya saing dan daya maju Masyarakat  Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB),  termasuk latihan keusahawanan, bantuan teknikal,  pembiayaan, khidmat rundingan serta promosi dan pemasaran.

Bagi meningkatkan akses kepada  kemudahan pembiayaan, sebanyak 1.5 bilion ringgit atau   separuh daripada tambahan dana Skim Jaminan Modal  Kerja sebanyak tiga billion ringgit, yang saya umumkan  tadi, akan diperuntukkan kepada usahawan Bumiputera.  Di samping itu, organisasi pembangunan keusahawanan  seperti MARA dan Perbadanan Usahawan Nasional  Berhad (PUNB) akan diperkukuhkan. Untuk itu, peruntukan sebanyak tiga bilion ringgit akan disediakan;

Keempat: Membangunkan guna tenaga profesional Bumiputera  secara lebih tuntas. Dari segi pembangunan guna tenaga, kita telah  berjaya melahirkan banyak profesional Bumiputera, termasuk ahli  korporat, akauntan, jurutera, doktor pakar dan peguam. Kini, tiada  profesion di Malaysia yang tidak diceburi oleh Bumiputera. Malahan  profesional Bumiputera telah menerajui profesion kejuruteraan,  perubatan, guaman, juru ukur dan seni bina. Dalam tempoh tahun  2000 hingga 2008, guna tenaga profesional Bumiputera telah  meningkat daripada 56 peratus kepada 63 peratus, sementara di  bidang pentadbiran dan pengurusan pula, daripada 46 peratus  kepada 51 peratus; dan

Kelima: Menubuhkan satu Majlis peringkat tertinggi untuk  merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan  agenda pembangunan Bumiputera. Majlis ini akan  diketuai oleh saya sendiri, dan dianggotai oleh beberapa  menteri kabinet, pegawai kanan kerajaan serta pihak  swasta. Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana  Menteri, akan menjadi urusetia kepada Majlis ini   manakala Unit Pengurusan Projek, Kementerian  Kewangan akan memantau program yang berkaitan untuk memastikan pelaksanaan yang efisien dan efektif.


TS3.2: Meneruskan Dasar Keadilan sosial

56. Kerajaan menyedari tanggungjawab dan komitmen dari kuasa  politik yang diberikan oleh rakyat terhadap matlamat keadilan sosial.  Oleh itu, Kerajaan bertekad akan memperhebat dasar-dasar yang  mengutamakan keadilan sosial. Saya percaya masalah yang  dihadapi oleh rakyat, sama ada di kampung pedalaman, estet atau  kampung baru Cina, boleh diatasi sekiranya perhatian yang khusus  diberikan untuk menanganinya. Oleh kerana itulah, melalui tinjauan  mesra, saya inginkan maklum balas tentang kesulitan yang dihadapi  oleh rakyat.  57. Rancangan Malaysia Ke-10 ini juga akan memberi fokus  kepada usaha meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup bagi  kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah di mana  Bumiputera merupakan bilangan terbesar, iaitu 73 peratus daripada  2.4 juta isi rumah dalam kumpulan ini.

58. Sebagai langkah meningkatkan daya saing dan kecekapan  pasaran serta memastikan penggunaan sumber yang lebih optimal,  kawalan harga dan subsidi perlu dirasionalkan secara berperingkat  untuk menghapuskan market distortions dan penyelewengan. Walau bagaimanapun, keputusan berhubung pengurangan subsidi akan dilaksanakan setelah mengambil kira maklum balas dan merundingi rakyat. Di atas segalanya saya memberi jaminan, dalam usaha mengurangkan subsidi, golongan berpendapatan rendah dan mereka  yang paling memerlukan akan terus diberi bantuan untuk meringankan  impak pengurangan subsidi ke atas kos sara hidup masing-masing.

59. Fokus khusus akan diberi kepada golongan terpinggir yang  tinggal di kawasan pedalaman, terutamanya yang mendiami di rumah  panjang di Sabah dan Sarawak, serta Orang Asli dan pekerja di estet di Semenanjung Malaysia. Masih terdapat mereka yang hidup tanpa  bekalan elektrik dan air, dan jauh daripada kemudahan kesihatan.  Anak-anak bersekolah terpaksa berjalan jauh, merentasi jalan yang  kadang kala berdebu atau lecak berlumpur dan terdapat juga antara  mereka terpaksa merentas sungai untuk menimba ilmu di sekolah.  Kerajaan akan membela mereka yang kurang bernasib baik ini untuk  keluar daripada cengkaman kemiskinan. Saya ingin memastikan  bahawa kemakmuran pembangunan negara turut dinikmati oleh semua  rakyat Malaysia, sekadar memberi contoh, dari perkampungan Melayu  di Grik, Perak; perkampungan Orang Asli di Pos Titom di Cameron  Highlands; pekerja India di estet Ladang Mary, Kuala Selangor;  masyarakat Kampung Baru Cina di Pasir Hitam, Perak; masyarakat  Iban di Mujong Balleh, Sarawak; dan masyarakat Rungus di Kudat,  Sabah.

60. Untuk ini, Kerajaan akan mempergiatkan pelaksanaan pelbagai program ekonomi dan penyediaan kemudahan asas. Kerajaan juga   sedang mempertimbangkan kaedah untuk memberi hak milik tanah  kepada masyarakat Orang Asli dan Bumiputera di Sabah dan  Sarawak. Ini akan membolehkan mereka mendapat manfaat  daripada program pembangunan pertanian secara bersepadu  menggunakan pendekatan agropolitan dan contract farming. Mereka juga akan diberi akses yang lebih baik kepada infrastruktur dan  kemudahan awam seperti jalan, pendidikan dan latihan kemahiran.

61. Tumpuan juga akan diberi untuk memperbaiki kualiti hidup  pekerja ladang dan displaced estate workers. Sambungan bekalan  air ke 182 estet yang mempunyai keluasan 1,000 ekar atau kurang  dan terletak tidak melebihi 5 kilometer daripada paip utama akan  dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak 109 juta ringgit. Program  latihan kemahiran pula akan disediakan, terutamanya kepada  golongan muda pelbagai kaum yang tercicir daripada persekolahan,  bagi membolehkan mereka mendapat peluang pekerjaan yang lebih  baik. Bagi mereka yang berminat menjalankan perniagaan kecil- kecilan, akses kepada kemudahan mikro kredit AIM dan TEKUN  akan disediakan dalam usaha menangani kemiskinan bandar.  Kemudahan pinjaman ini akan dipakej bersama dengan latihan  keusahawanan bagi membina keupayaan mereka dalam bidang seperti  pengurusan kewangan, penyediaan rancangan perniagaan, pemasaran  dan promosi. Latihan ini akan dijalankan di Institut Keusahawanan  Negara (INSKEN), Pusat GiatMara dan Institut Kemajuan Desa  (INFRA).

62. Penduduk yang tinggal di kawasan kampung baru Cina akan  juga diberi bantuan. Kini, terdapat 280,000 isi rumah yang tinggal di kawasan kampung baru Cina. Untuk membantu mereka membuat  pembayaran premium tanah bagi perlanjutan tempoh pajakan,  mereka akan disediakan pinjaman mudah yang akan disalurkan  melalui Bank Simpanan Nasional. Untuk ini, sebagai permulaan dana  pembiayaan sebanyak 100 juta ringgit akan disediakan. Selain  daripada itu, untuk menangani isu-isu masyarakat yang lain,  Jawatankuasa-jawatankuasa Kabinet mengenai Hal Ehwal Kaum  India dan Bumiputera Sabah dan Sarawak akan diteruskan.


Tuan Yang Di-Pertua, 

Teras Strategik Keempat : Membangun Dan Mengekalkan Modal  Insan Bertaraf Dunia

63. Persaingan untuk modal insan juga semakin meningkat, di  mana banyak negara, terutamanya negara maju, mengamalkan  dasar keterbukaan yang komprehensif dalam usaha menarik modal  insan yang cemerlang termasuk di kalangan rakyat Malaysia. Tenaga  kerja mahir dan berpengetahuan tinggi merupakan cutting edge  kepada daya saing negara. Dalam hal ini, Kerajaan akan mengambil  langkah holistik bagi memperkukuh sistem pendidikan dan latihan,  bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak sehingga peringkat  pengajian tinggi. Di samping menyediakan infrastruktur pengajaran  dan pembelajaran yang terbaik, kerajaan juga akan pastikan kualiti  guru dan tenaga pengajar mencapai tahap yang sewajarnya.


TS4.1 Peningkatan Kualiti Pelajar

64. Untuk meningkatkan lagi kualiti pelajar, nisbah guru siswazah  di sekolah rendah akan ditingkatkan daripada 28 peratus kepada 60 peratus. Prestasi pelajar dalam mata pelajaran kritikal, terutamanya bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, akan  juga dipertingkatkan dengan menambah bilangan guru berkualiti.  Bagi mencapai matlamat ini, program pensiswazahan guru akan  dipergiatkan. Bagi memperhebat kualiti guru prasekolah pula, syarat  kelayakan pelantikan guru prasekolah akan ditingkatkan kepada  Diploma dan Sarjana Muda. Kerajaan berhasrat menjadikan  profesion keguruan sebagai kerjaya pilihan kepada calon yang  cemerlang.

65. Bagi memenuhi keperluan guru bahasa Mandarin di Sekolah  Jenis Kebangsaan Cina serta Sekolah Kebangsaan, lulusan Unified  Examination Certificate (UEC) yang telah memiliki sijil SPM akan  diberi pertimbangan untuk mengikuti pengajian di institut pendidikan  guru bagi program bahasa Cina. Pertimbangan yang sama juga  akan diberi kepada lepasan Sijil Menengah Agama atau Sijil Tinggi  Agama kelolaan Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam  Negeri-negeri yang telah memiliki SPM untuk menjadi guru program  pendidikan agama Islam dan J-Qaf.

66. Dalam aspek ini juga, Kerajaan telah menubuhkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) untuk membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan. Sejumlah 20 buah  sekolah telah diberi status SBT berdasarkan pencapaian dan  prestasi mereka. Bilangan SBT akan ditambah kepada 100 buah  pada akhir tahun 2012. Sekolah-sekolah ini terdiri daripada sekolah  rendah, sekolah menengah, sekolah harian dan sekolah berasrama  penuh.

67. Sekolah Amanah, atau Trust Schools, akan diperkenalkan  untuk memudah cara perkongsian awam swasta dalam pengurusan  sekolah-sekolah Kerajaan yang terpilih. Sekolah-sekolah tersebut  akan diberi autonomi oleh Kerajaan dan dengan itu  dipertanggungjawabkan bagi meningkatkan prestasi pelajar.  Autonomi yang akan diberikan termasuk keanjalan untuk mengubah  suai kurikulum pembelajaran, menggunakan peruntukan mengikut  keperluan, memberi insentif kepada guru mengikut tahap prestasi  serta memilih guru dan staf sokongan.

68. Kerajaan akan terus membantu sekolah bantuan modal bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pihak pengurusan  sekolah. Bagi tujuan mengubah suai dan menaik taraf sekolah  bantuan modal, peruntukan sebanyak 280 juta ringgit akan disalurkan  bagi tempoh 2011 dan 2012. Dengan ini, setiap satu kategori sekolah  bantuan modal, iaitu sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis  kebangssan Tamil, sekolah agama dan sekolah mubaligh (mission  schools) akan memperolehi peruntukan tambahan sebanyak 70 juta   ringgit setiap satu dalam tempoh 2011 dan 2012. Tambahan lagi,  bagi membiayai pembayaran utiliti, Kerajaan akan memberi bantuan  berdasarkan bil elektrik dan air sebenar sehingga dua ribu ringgit  sebulan bagi setiap sekolah bantuan modal. Peruntukan ini akan  melibatkan hampir 1,900 buah sekolah bantuan modal.

69. Anak-anak adalah harta dan warisan paling berharga kepada manusia. Merekalah masa depan kita. Adalah menjadi komitmen  kerajaan untuk memberikan aset negara ini segala kelebihan untuk  mereka berjaya dalam hidup kemudian hari yang penuh persaingan  dan cabaran. Pelaburan terhadap mereka adalah pelaburan terhadap  masa depan negara. Untuk itu, kita telah pun menjadikan pendidikan  awal kanak-kanak sebagai agenda penting nasional melalui program  PERMATA.

70. Mengikut kajian pakar tentang kanak-kanak, secara amnya  akan terdapat seorang yang pintar cerdas dari kalangan 10,000  kanak-kanak. Mengikut statistik 2007, jumlah kanak-kanak di bawah  umur 14 tahun di Malaysia adalah seramai 8.9 juta. Dari itu,  berasaskan rasional ini, kita boleh menganggarkan terdapat  sekurang-kurangnya 900 orang pintar cerdas dari kalangan kanak- kanak di Malaysia.

71. Penyertaan kanak-kanak yang berumur antara empat hingga  lima tahun di peringkat prasekolah akan dipertingkatkan daripada 67 peratus pada tahun 2010 kepada 87 peratus pada tahun 2012.   Sasaran ini akan dicapai melalui penambahan kelas prasekolah di  sekolah rendah Kerajaan dan menggalakkan sektor swasta  menyediakan pendidikan prasekolah. Insentif sebanyak 10 ribu  ringgit akan diberi kepada sektor swasta yang menubuhkan institusi  prasekolah swasta.

72. Selain daripada memperkukuhkan program prasekolah,  Kerajaan sedang menimbang untuk mengurangkan umur  persekolahan formal daripada 6 tahun kepada 5 tahun pada akhir  tempoh Rancangan tertakluk kepada kemampuan kerajaan. Langkah  ini akan meningkatkan akses kepada pendidikan formal ke arah  memperkasakan pembangunan awal kanak-kanak.


TS4.2 Mengarusperdanakan Pendidikan Teknikal dan Latihan  Vokasional

73. Di negara maju, pendidikan teknikal dan latihan vokasional menjadi antara pilihan utama pelajar kerana ianya menyediakan  prospek kerjaya yang baik. Sebaliknya di negara kita, ianya dilihat  sebagai pilihan terakhir kerana persepsi prospek kerjaya yang terhad.  Andaian negatif ini harus disangkal. Pendidikan teknikal dan latihan vokasional sebenarnya menyediakan landasan alternatif yang baik  bagi para pelajar merealisasikan potensi mereka. Seramai 100,000  lepasan SPM atau 22 peratus memasuki pasaran pekerjaan setiap  tahun tanpa latihan kemahiran. Bagi membolehkan mereka  mendapat pendidikan teknikal dan latihan vokasional, kemudahan   pendidikan teknikal dan latihan vokasional akan dipertingkatkan.  Dalam hal ini, Jabatan Pembangunan Kemahiran akan dijadikan  agensi tunggal dalam pembangunan dan pengesahan kualiti  kurikulum pendidikan teknikal dan latihan vokasional. Sijil Kemahiran  Malaysia pula akan dijadikan persijilan kebangsaan yang diiktiraf bagi  kemasukan dalam perkhidmatan awam dan institusi pengajian tinggi.  Saya percaya bahawa ini akan meningkatkan keyakinan dan  mendorong lebih ramai lepasan sekolah melanjutkan pengajian  dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional.

74. Kini, hanya 23 peratus sahaja daripada tenaga kerja kita merupakan tenaga kerja berkemahiran tinggi. Peratusan ini jauh  lebih rendah berbanding dengan negara-negara maju yang lain. Kita  perlu meningkatkan komposisi pekerja berkemahiran tinggi kepada sekurang-kurangnya 37 peratus menjelang tahun 2015 untuk menjadi sebuah negara maju. Bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta  dalam melatih pekerja berkemahiran tinggi, Kerajaan akan  mengambil langkah berikut:

Pertama: memperluas liputan geran sepadan Tabung  Pembangunan Sumber Manusia serta Perbadanan  Perusahaan Kecil dan Sederhana untuk membantu  majikan industri kecil juga sederhana melatih pekerja mereka;

Kedua: menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman  kepada pekerja bagi mengikuti latihan untuk peningkatan  kelayakan. Sejumlah 500 juta ringgit akan disediakan di   bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran  dan dianggar memberi manfaat kepada sekurang- kurangnya 38,000 pekerja;

Ketiga: menubuhkan tabung untuk pembiayaan bersama, iaitu  Kerajaan dan majikan sama-sama membiayai pekerja  melanjutkan pengajian di peringkat PhD dalam bidang  yang berkaitan dengan industri di mana pekerja itu  bekerja;

Keempat: memperluas pelaksanaan Program Sistem Latihan Dual  Nasional (SLDN) yang melibatkan kandungan latihan  sebanyak 70 peratus secara hands on di tempat kerja  dan 30 peratus latihan teori di institusi latihan. Pada masa  ini, SLDN disediakan kepada pekerja dan lepasan Sijil  Pelajaran Malaysia sahaja. Melangkah ke hadapan,  program ini akan juga merangkumi pelajar yang tidak  menamatkan 11 tahun persekolahan;

Kelima: mempergiat pelaksanaan pengiktirafan pencapaian  terdahulu atau Recognition of Prior Learning, iaitu  menganugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia kepada  60,000 pekerja setahun dengan mengiktiraf pengetahuan,  pengalaman dan kemahiran pekerja yang diperoleh di tempat kerja; dan

Keenam: Menggalakkan sektor swasta dalam menyediakan latihan kemahiran dan vokasional menerusi kaedah PPP.


TS4.3 Peningkatan Kompetensi Graduan

75. Untuk meningkatkan kompetensi graduan, employability atau  boleh upaya diambil kerja graduan akan dijadikan satu daripada KPI universiti. Penyediaan peruntukan kewangan kepada universiti akan bergantung kepada sejauh mana universiti mencapai KPI yang ditetapkan. Di samping itu, Kerajaan akan memberi autonomi kepada universiti secara berperingkat bagi mengukuhkan peranan dan  prestasi universiti.

76. Kualiti staf akademik akan dipertingkatkan dengan menambah peratusan staf akademik berkelulusan PhD, iaitu 75 peratus bagi Universiti Penyelidikan atau Research University, dan 60 peratus  bagi universiti awam lain. Bagi mencapai sasaran ini, pelaksanaan  program MyBrain15, iaitu program pembiayaan pengajian di  peringkat ijazah kedoktoran dengan matlamat meningkatkan jumlah  pemegang PhD kepada 18,000 pada tahun 2015, akan dipergiatkan.  Di samping itu, pakej penggajian akan dikaji semula untuk menarik  minat pensyarah asing dan staf akademik yang telah bersara.

77. IPT memainkan peranan utama dalam menggerakkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) di negara  ini. Ahli akademik dalam pelbagai bidang kepakaran merupakan   peneraju kepada penerokaan idea, konsep atau teori baru yang menjadi  tunjang kepada penemuan baru, perkembangan ilmu dan ciptaan yang  canggih lagi terkini. Terdapat hubungan yang signifikan di antara  pertumbuhan ekonomi dan kegiatan R&D pengajian tinggi. Justeru, bagi  menggalakkan kegiatan R&D, Kerajaan telah mengiktiraf UM, UKM,  UPM dan USM sebagai universiti penyelidikan. Bagi melonjakkan lagi  R&D dalam tempoh Rancangan ini terutamanya dalam bidang teknologi  dengan sukacitanya saya ingin mengumumkan secara rasmi bahawa  sebuah lagi IPTA sudah diiktiraf sebagai universiti penyelidikan.  Universiti tersebut ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM).


TS4.4 Meningkat Kecekapan Pasaran Tenaga Kerja

78. Kecekapan pasaran buruh negara perlu dipertingkatkan.  Sehubungan dengan ini, undang-undang perburuhan yang berkaitan  akan dikaji semula bagi memastikan keseimbangan antara  kelenturan pasaran buruh dan jaminan pekerjaan.

79. Pada masa ini, negara mempunyai seramai lebih kurang 1.9  juta pekerja asing. Memang tidak dinafikan, kita masih memerlukan  mereka, khususnya dalam pekerjaan yang tidak diminati oleh pekerja  tempatan. Walau bagaimanapun, kebergantungan secara terusan  terhadap pekerja asing tidak mahir akan menghalang hasrat kita  untuk beralih kepada aktiviti ekonomi bernilai tambah tinggi. Oleh itu,  dasar penggajian pekerja asing akan diperkemas dengan  memperkenal kadar levi berbeza mengikut nisbah pekerja asing  kepada jumlah pekerja dalam syarikat, dan berbeza mengikut tahap   kemahiran pekerja asing. Kadar yang lebih tinggi akan dikenakan  bagi pekerja kurang mahir. Kadar tersebut akan ditingkatkan setiap  tahun.

80. Dalam konteks ini juga, untuk menarik lebih ramai tenaga  kerja mahir ke negara ini, Kerajaan akan menubuhkan Talent  Corporation yang akan mengenal pasti kekurangan kemahiran di  sektor-sektor utama, serta menarik dan mengekal modal insan  berkemahiran yang diperlukan. Dalam kita berhadapan dengan  masalah kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi, terdapat lebih  700,000 rakyat Malaysia yang berkemahiran masih berkerja di luar  negara. Oleh itu, Talent Corporation juga akan meneraju inisiatif  menarik rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi untuk  menyumbang kepada keperluan tenaga kerja mahir negara.

81. Untuk ini, Talent Corporation akan menyediakan Rangka  Tindakan Modal Insan Berkemahiran yang bersepadu dengan  kerjasama sektor awam dan swasta. Di samping itu, Talent  Corporation akan menjadi pusat sehenti bagi memudahkan urusan  dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, termasuk urusan  imigresen bagi kemasukan tenaga kerja mahir ke Malaysia.

82. Bagi menggembleng potensi intelektual dan kepakaran yang  sedia ada di IPTA, kerajaan telah pun menubuhkan Majlis Profesor  Negara yang telah saya lancarkan baru-baru ini. Kepakaran seramai  lebih 1,400 Profesor di IPTA seluruh negara akan dapat  dimanfaatkan melalui prakarsa ini. Salah satu lagi agenda nasional   bagi merealisasikan matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju  yang berpendapatan tinggi ialah penghasilan modal insan yang  berkualiti. Untuk itu, kita mahukan institusi pengajian tinggi awam  mempunyai murabbi yakni tenaga pengajar dan penyelidik yang  terbaik dan bermotivasi.

83. Kerana itulah, kerajaan telah mengumumkan skim  perkhidmatan yang lebih baik untuk Profesor di IPTA dan pensyarah  Institut Perguruan. Di bawah penambahbaikan skim ini, satu kategori  baru iaitu Profesor Kanan telah diwujudkan dengan diletakkan di  bawah tangga gaji Gred Turus. Pelantikan ke peringkat ini hanya  akan dihadkan mengikut kelayakan dan keupayaan individu terbabit,  tanpa ada sekatan angka siling tertentu. Tidak cukup dengan itu,  kerajaan juga telah membuat keputusan untuk memperkasa gelaran  Profesor Di Raja yang sedia ada dengan pakej “remuneration” yang  lebih setimpal dengan wibawa pemegang gelaran ini.  Memandangkan jumlah Profesor Di Raja hari ini telah pun dihadkan  mengikut peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971,  kerajaan tidak bercadang untuk menambah kepada jumlah yang  sedia diperuntukkan bagi setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam.


Tuan Yang Di-Pertua, 

Teras Strategik Kelima : Mewujudkan persekitaran kondusif ke  arah mempertingkatkan kualiti hidup

84. Pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dan mapan tiada  maknanya jika kualiti hidup segenap lapisan masyarakat tidak turut  meningkat. Oleh itu, selaras dengan konsep keadilan sosial yang  diterapkan di dalam Rancangan ini, Kerajaan akan memastikan agar  kemakmuran ekonomi negara diagihkan sebaiknya, supaya kualiti  hidup rakyat dapat dipertingkatkan.


TS5.1 Memastikan kualiti hidup yang tinggi di kawasan bandar

85. Medan persaingan ekonomi kini tidak terhenti hanya di peringkat negara tetapi antara bandar. Aktiviti ekonomi dengan sendirinya akan tertumpu di bandar dan kepadatan firma serta modal insan berpengetahuan mendorong produktiviti serta inovasi. Dengan itu, bandar merupakan pilihan pertama dalam perjuangan mencapai  pendapatan tinggi. Cabaran yang dihadapi ialah untuk menyediakan  kualiti hidup bandar untuk memastikan bahawa faedah kepadatan  tidak terjejas berikutan peningkatan jenayah, pencemaran dan  kesesakan, atau crime, grime and time. Hakikatnya, trend urbanisasi  di Malaysia semakin meningkat. Pada masa ini, 67 peratus daripada  penduduk tinggal di kawasan bandar. Berdasarkan kepadatan  tersebut, Kerajaan akan berusaha memastikan bahawa kawasan  bandar selesa didiami dengan liputan kemudahan asas yang   mencukupi.

Dalam hal ini, Pelan Fizikal Negara Ke-2, yang akan  dimuktamadkan pada tahun ini, mempunyai perancangan strategik  dan terurus, agar dapat mewujudkan kawasan bandar mampat dan  efisien.

86. Selain itu, Kerajaan ingin menyediakan suasana kehidupan  yang menarik dan nyaman bagi warga bandar menjalankan pelbagai  aktiviti seperti riadah dan rekreasi. Pewujudan kawasan lapang atau  hijau akan ditingkatkan. Antara contoh inisiatif yang akan  dilaksanakan termasuk merubah kawasan Taman Tasek Perdana,  Kuala Lumpur kepada sebuah Taman Botanik dan juga pewujudan  Pusat Pelancongan Malaysia Truly Asia di Kuala Lumpur. Selain itu,  kawasan pinggiran sungai atau waterfront akan diindahkan sebagai  kawasan rekreasi sepertimana yang telah dilaksanakan di Sungai  Melaka.


TS5.2 Meningkatkan liputan kemudahan asas di kawasan luar  bandar

87. Fokus juga akan diberikan kepada usaha meningkatkan liputan kemudahan asas seperti jalan, bekalan elektrik dan air, serta jaringan komunikasi kepada kawasan luar bandar. Kerajaan mensasarkan pembinaan sepanjang 6,300 kilometer jalan berturap di  Semenanjung Malaysia, 2,500 kilometer di Sabah dan 2,800  kilometer di Sarawak yang akan memberi faedah kepada 3.3 juta  penduduk. Liputan bekalan air luar bandar yang lebih berkualiti dan  berterusan dengan sasaran liputan sebanyak 99 peratus di   Semenanjung Malaysia, 98 peratus di Sabah dan 95 peratus di  Sarawak juga sedang diusahakan. Ini melibatkan penyambungan  bekalan air kepada sebanyak 117,000 rumah di Semenanjung  Malaysia, 112,700 di Sabah dan 87,400 di Sarawak.

88. Kemudahan elektrik di kawasan luar bandar akan diperluaskan  untuk meliputi penyambungan bekalannya ke 6,000 buah rumah di  Semenanjung Malaysia, 59,000 di Sabah dan 76,000 di Sarawak.  Selain daripada infrastruktur dan utiliti asas, Kerajaan juga akan  menyediakan kemudahan ameniti sosial serta kemudahan teknologi  maklumat dan komunikasi (ICT) kepada masyarakat luar bandar.


TS5.3 Meningkatkan kecekapan pengangkutan awam

89. Kerajaan sedang memberi keutamaan kepada usaha  penambahbaikan sistem pengangkutan awam dalam negara. Dalam  hal ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah  ditubuhkan sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab bagi  merancang, mengawal selia dan menguatkuasa sistem serta operasi  pengangkutan awam darat. SPAD bertanggungjawab untuk  menyediakan pengangkutan awam yang selamat, anjal dan dengan  tambang yang berpatutan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat  menggunakan pengangkutan awam.

90. Selaras dengan pendekatan utama yang diberi kepada NKEA  “Greater Kuala Lumpur”, Kerajaan akan memperkemas lagi juraian  dan rangkaian perhubungan awam di Kuala Lumpur dengan   pelaksanaan projek mega Mass Rapid Transit berkapasiti tinggi. Saya  percaya projek ini merupakan satu lagi ikon kepada ibu negara kita  dan akan memberi impak yang meluas dan “spillover” kepada  rangkaian perniagaan berkaitan. Apabila siap kelak, sistem yang  bersepadu ini dijangka meliputi kawasan dalam lingkungan 20 km dari  pusat bandar dan melibatkan pembinaan landasan sepanjang lebih  kurang 150 km yang membolehkan dua juta perjalanan sehari  berbanding dengan 480,000 perjalanan bagi sistem pengangkutan bandar masa kini.

91. Pembinaan terminal bas dan rel seperti Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak juga akan dilaksanakan bagi memastikan  kelancaran perjalanan pengangkutan awam. Langkah-langkah ini  dijangka akan meningkatkan peratus penggunaan pengangkutan  awam dengan ketara di Greater Kuala Lumpur, iaitu daripada 12  peratus pada tahun 2009 kepada 30 peratus pada tahun 2015. Selain  itu, usaha mempertingkatkan sistem pengangkutan awam darat akan  diperluaskan kepada bandaraya lain. Untuk tujuan ini, sistem Bas  Rapid Transit akan diperkenalkan di Wilayah Iskandar, Johor  manakala bilangan bas awam akan ditambah sebanyak 200 buah di  Pulau Pinang, untuk menampung 26 laluan dengan penambahan  kapasiti sebanyak 75,000 penumpang sehari.


TS5.4 Rakyat sihat, Masyarakat produktif

92. Masyarakat yang sihat merupakan aset dan penyumbang  kepada pembangunan negara dinamik lagi produktif. Justeru, aspek penambahbaikan tahap kesihatan rakyat akan diberi tumpuan khusus. Akses, liputan serta kualiti penjagaan kesihatan akan terus dipertingkatkan. Antara inisiatif utama Kerajaan dalam hal ini adalah pembinaan 8 hospital, termasuk hospital-hospital pakar, 197 buah klinik dan juga tambahan 50 klinik 1 Malaysia yang akan disiapkan dalam tempoh separuh pertama Rancangan ini.

93. Pujangga menyebut bahawa akal yang sihat datangnya dari  badan yang cergas. Masyarakat yang aktif bersukan akan menjadi  masyarakat yang sihat dan produktif. Tambahan lagi, sukan bukan  sahaja dapat menjulang dan mengharumkan nama negara tetapi juga  menjadi wadah kepada perpaduan dan integrasi nasional.  Sehubungan itu, Kerajaan, dengan kerjasama sektor swasta, akan  memberi penekanan supaya aktiviti sukan dan rekreasi dijadikan  aktiviti keluarga serta dibudayakan dalam kehidupan harian  masyarakat. Justeru, kemudahan sukan dan rekreasi akan dibina  serta dinaiktaraf di kawasan strategik dan mudah diakses oleh orang  ramai.  TS5.5 Perumahan asas kepada kesejahteraan hidup rakyat.

94. Hasrat utama Kerajaan adalah untuk menyediakan perumahan  mampu milik mencukupi bagi setiap segmen masyarakat,   terutamanya yang berpendapatan rendah. Kerana itu, 78,000 buah  rumah mampu milik akan dibina di bawah Rancangan ini. Undang- undang berkaitan akan diketatkan dan penguatkuasaan ditingkatkan  ke arah memastikan rumah mampu milik dibina dengan kualiti yang  sewajarnya.

95. Satu dana berjumlah 500 juta ringgit akan diperuntukkan bagi tujuan membiayai kerja-kerja baikpulih dan penyelenggaraan rumah mampu milik awam mahupun swasta. Dana ini didasarkan kepada  kaedah geran sepadan, di mana separuh daripada kos akan  disumbang oleh Kerajaan, manakala separuh lagi oleh pihak  pengurusan atau persatuan penduduk rumah berkenaan.


TS5.6 Mempertingkatkan Keyakinan Rakyat Terhadap  Keselamatan Awam

96. Keselamatan dan ketenteraman awam akan dipertingkatkan  kerana hasilnya memberi manfaat yang begitu berharga kepada  rakyat. Usaha dan strategi Kerajaan dalam menjamin keselamatan  awam telah menampakkan hasilnya berdasarkan pengurangan indeks  keseluruhan jenayah bagi suku pertama tahun ini. Rondaan polis  akan dipertingkatkan, terutamanya di lima puluh hot spots yang telah dikenalpasti untuk membendung aktiviti jenayah. Usaha ini dibantu oleh pihak RELA, Jabatan Pertahanan Awam dan sukarelawan awam  yang lain. Tambahan lagi, sebanyak 496 CCTV sedang dipasang di  seluruh negara bagi meningkatkan keupayaan pemantauan. Program  Safe Cities juga terus dilaksanakan dengan menggembeleng tenaga   pelbagai agensi Kerajaan seperti Polis DiRaja Malaysia, Pihak  Berkuasa Tempatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan  Kebajikan Masyarakat.


TS5.7 Pembangunan Masyarakat yang Progresif

97. Kata orang, tangan yang menghayun buai itu mampu saja  menggegar dunia. Status wanita di dalam sesebuah masyarakat itu  merupakan ukuran penting sama ada negara itu dinamik serta  progresif. Wanita adalah batu asas keluarga yang sejahtera dan  tunjang kepada negara yang berjaya. Langkah akan diambil untuk  meningkatkan penyertaan wanita di pelbagai peringkat dalam sektor  awam dan swasta, termasuk bidang keusahawanan. Undang- undang dan peraturan berkaitan sedia ada akan disesuaikan bagi  mendorong penyertaan lebih besar daripada wanita.

Jadinya, saya  menyeru agar sektor swasta meningkatkan penyertaan wanita,  terutamanya dalam jawatan peringkat tertinggi seperti Ketua Pegawai  Eksekutif dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah.

98. Di sudut lain, generasi muda adalah generasi yang penting  kerana merekalah yang akan mencorakkan masa depan negara.  Kerajaan akan bersifat akomodatif terhadap aspirasi mereka  sebagai segmen terbesar warganegara. Kita akan menjadi  pendengar dan rakan kongsi yang lebih baik serta konstruktif.  Idealisma, idea dan tenaga mereka amat diperlukan negara untuk  merealisasikan masa depan yang lebih baik.

Oleh itu, Kerajaan  akan memperkemas sistem penyampaian program pembangunan   belia sedia ada bagi memastikan generasi muda lebih produktif  dalam pembangunan sosio-ekonomi negara, terutamanya melalui aktiviti persatuan dan sukarelawan. Berikutan kejayaan sambutan  Hari Belia yang diadakan baru baru ini di Putrajaya, saya juga ingin mengumumkan bahawa bandar Putrajaya akan dijadikan lokasi  tumpuan belia yang menyediakan ruang dan peluang bagi belia  menjalankan aktiviti dan program yang bermanfaat dan bersesuaian.

Lebih penting lagi, program ini telah berjaya menjadi landasan untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan belia di samping membuka  ruang dan peluang keusahawanan dan inovasi kepada mereka.  99. Tidak dilupakan juga adalah golongan warga emas. Pada tahun  2020 dianggarkan akan terdapat 3.4 juta orang warga emas di  negara ini. Kerajaan menyedari bahawa memanfaatkan golongan  warga emas merupakan satu usaha yang bernilai.

Golongan ini  seharusnya diberi peluang untuk meghadapi penuaan yang aktif dan  produktif. Selain itu, tumpuan akan diberikan kepada usaha meningkatkan infrastruktur yang lebih mesra warga emas,  meningkatkan akses kepada kemudahan kesihatan yang mampu  dibiayai, menyedia rumah perlindungan yang mencukupi dan  mengukuhkan kewangan serta peluang pekerjaan. Oleh itu  kerjasama antara Kerajaan, badan bukan kerajaan dan pihak swasta  perlu dipertingkatkan untuk membawa penglibatan aktif warga emas  dalam aktiviti sosial dan ekonomi negara.

100. Kerajaan komited untuk meningkatkan kesejahteraan orang  kurang upaya. Langkah akan terus diambil untuk menyediakan   pelbagai peluang termasuk latihan kemahiran, pekerjaan serta  keusahawanan. Lebih banyak kemudahan mesra orang kurang  upaya juga akan disediakan, terutamanya dari segi pengangkutan  awam serta kemudahan di premis dan bangunan. Tumpuan juga  akan diberi kepada usaha untuk mengarusperdana OKU ke dalam  masyarakat supaya mereka boleh berdikari, produktif dan menjadi  penyumbang yang dihargai dalam pembangunan.


TS5.8 Kemapanan alam sekitar tanggungjawab kita

101. Dalam tempoh Rancangan ini lagi, pelbagai langkah akan dilaksanakan untuk memastikan kemapanan alam sekitar. Penekanan  akan diberi kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharu dan  peningkatan kecekapan tenaga. Antara lain, Kerajaan akan  memperkenalkan Feed in Tariff dan Dana Tenaga Boleh Diperbaharu  bagi menggalakkan perkembangan aplikasi tenaga boleh  diperbaharu. Garispanduan, piawaian dan undang-undang berkaitan  akan diperkenal bagi memastikan kecekapan penggunaan tenaga,  termasuk penurunan tahap pelepasan gas rumah hijau.

102. Pendekatan Kerajaan ini bukan dibuat atas dasar  tanggungjawab beretika sahaja. Kerajaan akan menggalakkan  pewujudan peluang ekonomi daripada usaha pemuliharaan alam  sekitar. Sebagai contoh, eko-pelancongan menyediakan pelbagai  peluang menjana pendapatan bagi masyarakat setempat untuk  menggalakkan pemuliharaan flora dan fauna negara. Kita juga harus  merebut peluang daripada arus perdana global, di mana permintaan   bagi produk, perkhidmatan dan teknologi hijau semakin meningkat.  Dalam hal ini, saya menyeru pihak industri mengambil peluang dan  menggunakan insentif yang telah disediakan oleh Kerajaan melalui  Skim Pembiayaan Teknologi Hijau sebanyak RM1.5 bilion bagi  mempertingkatkan aplikasi teknologi hijau dalam pengeluaran produk  dan penyediaan perkhidmatan.

103. Kerajaan akan menggalakkan pewujudan perumahan mesra  alam dengan memperkenalkan Garispanduan serta sistem penarafan  hijau. Putrajaya dan Cyberjaya akan dijadikan model perintis bagi  bandar hijau contoh. Kerajaan juga akan menerajui usaha  melaksanakan piawaian bangunan hijau. Bangunan baru Kerajaan  akan direkabina untuk mematuhi piawaian bangunan hijau.  Kecekapan tenaga bangunan sedia ada Kerajaan juga akan  ditambahbaik, dan sebagai contoh suri tauladan, bangunan Pejabat Perdana Menteri akan dinaiktaraf untuk mematuhi penarafan hijau  Gold Standard.


Peruntukan pembangunan

Tuan Yang Di-Pertua,

104. Mulai RMKe-10, pelaksanaan program dan projek secara rolling plan akan diperkenalkan. Melalui pendekatan ini, peruntukan program dan projek pembangunan akan dibuat untuk setiap dua tahun bermula dengan 2011-2012. Pendekatan ini membolehkan komitmen dibuat berdasarkan keupayaan kewangan semasa Kerajaan dan memberi fleksibiliti kepada Kerajaan untuk mengambil kira keutamaan baru sesuai dengan perubahan persekitaran ekonomi domestik atau global. Senarai terperinci program dan projek bagi rolling plan pertama akan dikeluarkan pada akhir bulan Ogos 2010.

Bagi melaksanakan program  pembangunan RMKe-10, Kerajaan akan menyediakan siling  peruntukan sebanyak 230 bilion ringgit bagi perbelanjaan  pembangunan. Untuk tujuan ini, sebanyak 55 peratus akan diagihkan kepada sektor ekonomi, 30 peratus kepada sektor sosial,  10 peratus kepada sektor keselamatan dan 5 peratus kepada sektor pentadbiran am.


Kesimpulan 

Tuan Yang Di-Pertua,

105. Merujuk semangat Piala Dunia yang akan bermula esok, kita bolehlah mengiaskan kejayaan untuk merealisasikan sebuah negara Malaysia yang maju dengan rakyat berpendapatan tinggi kepada  analogi sebuah pasukan bola yang berjaya.

106. Bagi sebuah pasukan bola, untuk berjaya, kesemua pemain  daripada pasukan tersebut tanpa mengira posisi, perlu bekerjasama  serta bermain sebagai satu pasukan. Jika tidak, mereka bukan  sahaja tidak mungkin menang malahan boleh kalah teruk. Setiap  pemain bermula daripada penjaga gol, pemain pertahanan, pemain  tengah dan penyerang adalah sama pentingnya. Walau bagaimana  hebat pun pemain secara individu namun mereka hanya akan   menggondol kemenangan sebenar secara berpasukan. Oleh itu,  setiap aset pasukan adalah berharga dan perlu dioptimumkan  potensinya bagi mencapai kejayaan.

107. Jika sekalipun setiap pemain adalah sebaik Rooney, Messi  atau Ronaldo yang umum mengetahui sebagai antara penyerang  terulung dunia, akan tetapi jika pemain pertahanan dan penjaga  golnya lemah maka pasukan tersebut berkemungkinan kalah kerana  jumlah gol yang dijaringkan mungkin tidak akan dapat mengatasi  jumlah gol yang dibolos lawan. Maka yang demikian, untuk berjaya,  kita perlu bekerja sebagai pasukan 1 Malaysia yang seia, sekata,  sebaris, sederap dengan satu wawasan, satu matlamat dan satu  citra, mempersembahkan yang terbaik kepada Malaysia dengan  segala kudrat yang termampu.

108. Orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Iban, orang  Kadazan Dusun, orang Melanau, orang Murut, orang Sikh, orang  Asli, orang Serani, orang Siam, pendek katanya setiap etnik di bumi  tercinta ini telah menyumbang kepada terbangunnya sebuah negara  bangsa Malaysia yang aman dan makmur seperti mana hari ini.  Namun harus barang diingat, ia tidak dapat menandingi potensi  sumbangan yang mampu dihasilkan oleh mereka seandai dan  sekiranya dilakukan secara kolektif.

109. Lantaran itulah, saya ingin mengajak semua rakyat Malaysia  tanpa mengira kaum, anutan agama dan fahaman politik supaya  bersama-sama dengan kerajaan untuk mencipta sebuah Malaysia   yang lebih baik, Malaysia di mana semua mempunyai rasa  kepunyaan, Malaysia di mana semua bakat dihargai dan digunakan  sebaik-baiknya, Malaysia di mana yang menghadkan adalah hanya,  sejauh mana kesanggupan individu untuk bekerja keras bagi  mencapai cita-cita.

110. Suka tidak suka negara hari ini berada di persimpangan antara masa depan yang gemilang atau masa depan yang suram. Pilihan  kini terletak di tangan setiap rakyat Malaysia. Hari ini ibarat kita berada pada pusingan akhir lumba larian berganti-ganti dengan  baton sudah berada di tangan hanya menanti tekad untuk  menggapai kejuaraan.

111. Bermula detik ini bersamalah kita memulakan perjalanan, perjalanan yang bukan mengambil masa sehari, seminggu, sebulan mahupun setahun tetapi perjalanan yang bertali arus, sambung menyambung diwarisi pula dari satu generasi ke generasi yang seterusnya. Berusaha dan Bertawakallah mudah-mudahan kita  bertemu jaya, Insyaallah.

Tuan Yang Di-Pertua,  Saya mohon mencadangkan.

* Ucapan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak semasa membentangkan usul tentang Rancangan Malaysia Ke-sepuluh di Dewan Rakyat pada 10 Jun 2010.

Talk of the web