24 MEI — Sudah seminggu pilihan raya kecil Parlimen Sibu berlalu. Pelbagai analisis dikemukakan sama ada yang berdasarkan keputusan diterjemahkan pengundi pada kotak undi atau pada penelitian mereka yang menyaksikan sendiri perjalanan pilihan raya itu.
Persoalan itu masih berlegar ketika calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew, 45, terpaksa mengakui kekalahannya kepada calon DAP, Wong Ho Leng, 49. Kedua-duanya berkelulusan undang-undang.
Pelbagai aspek dikemukakan penganalisis mengenai faktor kekalahan BN. Antaranya ialah kelemahan dan masalah dalaman Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), parti mewakili masyarakat Cina di Bumi Kenyalang, jentera BN tidak kreatif dan agresif berbanding jentera pembangkang.
Malah dikatakan sokongan pengundi Bumiputera sebelum pilihan raya itu begitu kukuh bersama BN secara tiba-tiba beralih kepada pembangkang selain kelekaan wakil rakyat BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan, Nangka dan Bawang Assan, tiga kerusi DUN dalam Parlimen Sibu, dalam melaksanakan tugas hakiki sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan.
Hal yang menarik untuk dibicarakan ialah faktor jentera kempen pilihan raya BN yang kurang bertenaga berbanding jentera pembangkang yang didukung DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas bukan setakat agresif, malah kreatif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengulas faktor kekalahan BN Isnin lalu menegaskan BN akan melakukan perubahan pada jentera kempen kerana ia kurang berkesan dan tidak kreatif. Najib mahu kaedah lama dipraktikkan dalam kempen BN diubah bagi membolehkan maklumat disampaikan secara lebih tepat kepada pengundi, sekali gus menangkis hujah pembangkang.
Kenyataan Najib sememangnya sahih jika dilihat daripada jentera BN berkempen secara konvensional yang menggabungkan pemimpin dan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan SUPP yang turut dibantu jentera Umno dari Semenanjung dan Sabah.
BN perlu mengkaji semula kaedah berkempen yang dibantu melalui kelunakan dan kemerduan suara artis semata-mata untuk menarik minat pengundi. Kemerduan suara artis popular Jamal Abdillah dalam program sebuah kementerian di Pintu Gerbang Sibu berhampiran Hotel Tanah Mas dan Hotel Premier pada malam terakhir sebelum hari mengundi, tidak menjanjikan pulangan untuk BN.
Tidak mampu dipastikan sama ada pengunjung persembahan hiburan itu adalah pengundi di kawasan berkenaan atau sebaliknya. Namun, jika ada pun pengundi hadir dalam persembahan itu, mampukah kelunakan suara penyanyi terbabit meleraikan persoalan yang bersarang dalam kotak fikiran mereka, terutama isu banjir, masalah infrastruktur dan sosioekonomi?
Tidak keterlaluan jika disebut bahawa penelitian petugas media mendapati kebanyakan yang hadir dalam majlis itu adalah remaja yang dipercayai bukan pengundi. Seorang gadis berpakaian seksi sempat ditanya ketika melepak bersama beberapa rakan lelakinya sewaktu menyaksikan persembahan itu, menyatakan bahawa dia bukan pengundi dan tidak tahu pun mengapa pilihan raya kecil Sibu diadakan.
Aspek hiburan sebagai sebahagian daripada kempen BN juga jelas dilihat melalui persembahan muzik dan lagu Melayu asli di sebuah bilik gerakan BN di Kampung Bandong. Ketika petugas jentera BN leka dibuai lagu dan muzik, jentera PKR di Medan Selera Bandong, kira-kira 800 meter di seberang jalan, bertungkus-lumus menyusun kelancaran ceramah pembangkang.
Pelanggan medan selera itu seolah-olah diikat untuk mendengar ceramah pembangkang. Sambil menikmati ikan bakar, mahu tidak mahu mereka terpaksa merelakan telinga mereka ditusuk pelbagai hujah pembangkang, termasuk daripada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Wajar dipersoalkan mengapa ketika jentera pembangkang tidak mahu melepaskan setiap ruang waktu yang ada untuk mempengaruhi pengundi, jentera BN pula seolah-olah leka dibuai keasyikan alunan muzik dan lagu Melayu asli?
Hal itu tidak termasuk dengan jentera BN, tidak terkecuali beberapa pemimpinnya dilihat lebih kerap membiarkan detik waktu berlalu sambil berbual dan bergelak ketawa di coffee house hotel.
Jika benar pun mereka lebih berfungsi sebagai perancang strategi kempen, masih boleh dipersoalkan setakat mana fungsi mereka sebagai pihak yang seharusnya memberikan penjelasan kepada pengundi berdasarkan waktu yang dihabiskan di coffee house.
Bukan untuk memuji jentera DAP jika dinyatakan bahawa petugas jentera pembangkang benar-benar memahami fungsi media. Pada setiap jam 8 hingga 9 malam, pasti telefon bimbit kebanyakan petugas media menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari bilik gerakan DAP.
Selain memaparkan jadual harian Wong, SMS itu juga menyatakan lokasi sidang media yang bakal diadakan oleh pemimpin DAP, sama ada tempatan atau pusat.
Hal ini berbeza dengan kempen BN yang terlalu bergantung kepada Jabatan Penerangan untuk menyebarkan aktiviti harian pemimpin BN kepada media, menggunakan cara lama iaitu faksimili, sedangkan pembangkang menggunakan SMS selain e-mel yang boleh diakses penerimanya dari mana saja.
Memanglah fungsi Jabatan Penerangan itu penting dalam membantu media membuat liputan tetapi ada ketikanya program mengejut dihadiri pemimpin BN yang perlu dimaklumkan kepada media, kurang mampu disebarkan secara lebih cepat berbanding penggunaan SMS oleh petugas DAP yang mengendalikan hal ehwal media.
Seperkara lagi, kempen jentera pemimpin BN Pusat yang disusun pemimpin BN tempatan dilihat lebih tertumpu kepada satu-satu kawasan hingga menyebabkan ada kawasan tertentu yang dikunjungi hingga empat Menteri Persekutuan.
Contohnya, Rumah Panjang Basseh dalam kawasan DUN Bawang Assan yang memakan masa perjalanan kira-kira satu setengah jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari pusat bandar Sibu, menerima kunjungan tidak kurang empat Menteri Pusat.
Seorang petugas jentera BN tempatan yang ditanya mengapa mereka menyusun jadual kunjungan Menteri Pusat sedemikian, berkata Rumah Panjang Basseh adalah kubu kuat BN dan pengundi harus dipastikan tidak beralih kepada pembangkang.
Namun, persoalannya mengapa saluran mengundi etnik Iban di rumah panjang berkenaan memberikan 128 undi kepada DAP berbanding 300 untuk BN sedangkan dalam pilihan raya umum dan negeri sebelum ini, DAP tidak mampu memperoleh lebih daripada 50 undi?
Di sebalik pelbagai peruntukan menjalankan kerja pembaikan rumah panjang, laluan pejalan kaki dan peruntukan khas RM600 untuk setiap 78 keluarga di rumah panjang itu, mengapa pengundi beralih kepada DAP meskipun saluran mengundi berkenaan masih dikuasai BN?
Secara rasional, ada baiknya tumpuan kempen jentera BN juga diberikan kepada rumah panjang lain dalam kawasan DUN Bawang Assan, terutama yang memerlukan tempoh perjalanan kira-kira dua jam dengan menaiki bot.
Ada logiknya pengundi etnik Iban di kawasan yang terlepas pandang dan tidak dikunjungi pemimpin BN turut diberikan perhatian kerana jika bukan kerana pengundi kecewa dan berasa seolah-olah dipinggirkan, masakan DAP berjaya menembusi kubu kuat BN itu?
Aspek penyediaan peruntukan insfrastruktur bagi masyarakat luar bandar menjelang enam atau tiga hari sebelum hari mengundi juga harus diteliti semula kerana ada pengundi mempersoalkan keikhlasan pemberian itu.
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.






