3 SEPT — Pebagai anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), kita dapat berbangga kerana Malaysia sering menjadi model negara yang disegani kerana kestabilan politik dan ekonomi, di samping keamanan serta kemakmuran dikecapi, walaupun rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Keadaan ini mampu menangkis tanggapan negatif masyarakat bukan Islam yang masih beranggapan bahawa Islam sebagai agama yang mengancam keamanan dunia. Malaysia dapat membuktikan, walaupun rakyatnya berbilang kaum dan agama, hasil persefahaman dan tolak ansur rakyatnya dapat hidup aman dan harmoni. Suasana ini mendorong kestabilan politik, seterusnya memacu kemakmuran sosioekonomi dan meyakinkan pelabur asing ke negara ini. Itulah antara mesej disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mahu umat Islam memainkan peranan penting membantu memberi kefahaman kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam sentiasa mengutamakan keamanan, kestabilan dan persaudaraan. Antara cara memberi kefahaman itu, termasuk umat Islam sendiri mesti mempamerkan teladan dan sikap positif dalam segala urusan dan pergaulan, di samping memberi penjelasan melalui perbualan, forum mahupun pelbagai platform pertemuan lain. Pada peringkat antarabangsa, negara Islam sendiri mesti menggembleng usaha melalui pelbagai saluran rasmi, gerakan badan bukan kerajaan (NGO) mahupun media untuk menangkis momokan Islam fobia. Kegagalan beberapa pihak yang cuba membakar sentimen agama di negara ini adalah bukti umat Islam sangat matang dan waras dalam mendepani provokasi. Tindakan tegas kerajaan menangani kumpulan tertentu juga komitmen yang tidak boleh disanggah, termasuk negara asing, betapa tiada sedikit ruang pun di Malaysia untuk sebarang bentuk ekstremisme kaum mahupun agama. Pihak berkuasa juga menggunakan peruntukan perundangan standard terhadap sesiapa saja yang terbabit dengan kegiatan atau cubaan menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini.
Istilah Islam fobia yang dicipta pihak Barat khususnya Amerika Syarikat dan digembar-gemburkan melalui rangkaian media antarabangsa yang mereka kuasai selepas pengeboman Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat pada 11 September 2001 di New York ternyata memberi kesan mendalam dan menimbulkan kecurigaan masyarakat bukan Islam di seluruh dunia. Propaganda Islam fobia menyebabkan bukan Islam takut dan benci terhadap Islam. Di sesetengah negara, Islam fobia menular kepada tindakan diskriminasi dengan memisahkan orang Islam, sama ada mewujudkan halangan dan sekatan dalam soal hak asasi, ekonomi, sosiobudaya mahupun kehidupan. Kebebasan beragama dan berpakaian yang Barat perjuangkan akhirnya menafikan hak orang Islam mengamalkan ajaran itu. Islam fobia juga menyebabkan Amerika Syarikat dan sekutunya merangka dasar luar dan keselamatan baru iaitu mencurigai semua gerakan Islam atau memerangi kumpulan yang mereka anggap pengganas, ekstremis, rasis dan fundamentalis di mana-mana negara Islam atau wilayah Islam yang berada dalam negara bukan Islam. Mereka mengambil tindakan preemptif dengan menyerang mana-mana kumpulan berasaskan Islam tanpa bukti kukuh. Sebagai umat Islam, kita harus memikul tanggungjawab besar mengubah persepsi buruk terhadap agama suci ini, sekali gus menangkis propaganda Islam fobia yang semakin menular dalam kalangan bukan Islam. — Berita Harian
* This is the personal opinion of the writer or newspaper. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.







