JUN 4— Kenyataan tegas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa bahawa beliau dan kepimpinan tertinggi parti tidak akan membawa parti ini menyertai Umno atau BN disifatkan sebagai kempen “halus” bagi menangkis hujah dan tuduhan pelbagai pihak sebelum menjelang hari pertandingan jawatan timbalan presiden parti.
Ahli Parlimen Bachok ini yang turut dikaitkan sebagai antara beberapa individu yang pernah menemui kepemimpinan tertinggi Umno telah menegaskan bahawa pemimpin tertinggi parti tidak pernah punya sebarang niat atau perancangan untuk masuk Umno atau BN.
"Dan saya amat percaya adik-adik saya di dalam Dewan Pemuda PAS bersama sama saya dalam agenda ini. Akan kita pertahankan parti ini dari sebarang unsur yang cuba merobek dan mengganggu keutuhan jemaah kita,” katanya semasa merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS malam tadi di Markas tarbiyah PAS Taman Melewar.
Beliau berkata, "Islam yang PAS perjuangkan ini diambil nasnya dari Al Quran dan Al Sunnah. Al Quran dan Al Sunnah lah yang mengajar kita untuk mengenal siapa musuh dan siapa kawan, ketika mana hendak berperang dan ketika mana pula untuk berdamai.
“Sekali saya menegaskan bahawa prinsip dan dasar Islam yang kita perjuangkan akan sekali-kali tidak berganjak namun kaedah dan juga saf Pakatan Rakyat yang telah kita ijtihadkan sebagai wadah politik kita untuk berdepan dengan Umno dan BN."
Selain itu, beliau berkata, "pada hari ini kita berhadapan dengan kepimpinan Umno dan BN yang baru tetapi semakin lemah dan semakin laju menjunam ke lembah kebinasaan.
“Kita pinggirkan kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri mereka. Sebaliknya mempersiapkan diri untuk menandingi mereka dari aspek pengurusan, ekonomi, pemikiran polisi, enggagement dan sebagainya? Oleh yang demikian pemuda perlu menampilkan dan memasarkan politik dan produk dakwah serta mempotretkan kepimpinan bermodelkan Islam dengan sebaik-baiknya. Demikian akhlak berjamaah yang kita anuti”.
Nasharudin juga turut mencadangkan persediaan yang amat diperlukan di barisan pemuda. Antara lain beliau menyebut, "barisan pelapis pemimpin yang karismatik, ulama muda yang proaktif lagi profesional, academia profesional berilmu Islam yang berwibawa dan mantap dan ketumbukan pemuda yang tidak pernah gentar dengan jentera musuh.
“Itulah benteng kekuatan pemuda. Itulah ketahanan jamaah. Antum rijal dakwah yang bakal menempah sejarajh apabila PRU ke-13 menjelang tiba!” tegasnya.
Beliau menambah, dalam mencapai cita-cita murni Islam ini, Pemuda mesti berperanan sebagai pemangkin dan pelonjak aktiviti jemaah serta menjamin kejayaannya. Pemuda mesti berfungsi sebagai mata dan hati budi jemaah memperbetulkan kesilapan pimpinan dan gigih mempertahankan jamaah daripada sebarang anasir perosak yang menikam jamaah dari dalam.
Tambahnya lagi, oleh itu Pemuda mesti berani dan bersiap-siaga memikul tanggung jawab yang lebih besar apabila diminta oleh pemimpin. Pemuda yang rata-ratanya bersifat profesional walau apapun latar belakang pendidikan, mestilah menjadi sumber kekuatan yang membantu kepimpinan ulamak yang telah dibentuk sekian lama.
“Gandingan mantap inilah yang akan kita teruskan, paduan tenaga inilah yang akan kita terus gilap dan inilah saff sebenar kita berhadapan dengan pilihan raya ke-13 nanti!”.
Dalam pemilihan jawatan timbalan presiden esok, Nasharudin akan dicabar oleh Naib Presiden PAS, Datuk Paduka Husam Musa dan Muhamad Sabu. Ini adalah pertama kali dalam catatan sejarah Pas yang menyaksikan jawatan timbalan presiden ditandingi oleh tiga orang calon.
Isu besar yang dihalakan kepada Nasharudin adalah beliau terlalu liberal dengan Umno dan mengadakan hubungan rapat dengan para pemimpin Umno yang menjadi musuh politik PAS.





