Akhirnya Nasharudin muncul di Manek Urai hari ini

Oleh Mohd Zuharman

KUALA KRAI, Julai 11 — “Faktor kesihatan tidak mengizinkan saya hadir pada hari penamaan calon baru-baru ini,” kata Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.

Kenyataan tersebut sekaligus menamatkan pelbagai spekulasi terhadapnya selepas muktamar Pas ke 55 berhubung isu idea kerajaan perpaduan yang telah mencetuskan kontroversi hebat pemimpin atasan Pas.

Apatah lagi kemunculan Nasharudin bersama-sama dengan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam program perdana solat sunat Dhuha di masjid kampung Sungai Peria, dekat sini (gambar).

Idea kerajaan perpaduan dicetuskan Abdul Hadi pada Muktamar Pas ke 55 Mei lalu tidak dipersetujui Nik Aziz telah menjadi kontroversi, dan Nasharudin dilaporkan di antara barisan pemimpin menyokong idea tersebut menyebabkan beliau didesak meninggalkan PAS.

Justeru timbul desas-desus kononnya beliau digam daripada menyertai sebarang program kempen pilihan raya kecil Dun Manek Urai.

Namun kemunculannya pagi ini membuktikan kekuatan kerajaan perpaduan Pakatan Rakyat tidak mampu dirobek oleh pelbagai telahan sekaligus menghalang sesetengah pihak yang cuba untuk mempolemikkan isu tersebut sepanjang tempoh pilihan raya kecil Manek Urai.

Nasharudin dijangka menghadiri perhimpunan bantahan peraih dan pemborong ikan di Pasar Laloh bersama Nik Aziz petang semalam tidak muncul sehingga program itu berakhir lewat petang semalam.

Bagaimanapun beliau yang dilaporkan tiba di Kelantan pagi tadi terus ke program solat sunat Dhuha bersama Abdul Hadi, Nik Aziz dan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah. Ribuan penyokong memenuhi perkarangan masjid kampung Sungai Peria turut menyertai program tersebut.

Sementara itu, petang tadi Nasharudin menghadiri taklimat mengenai kempen pilihan raya di Markas Induk PAS Manek Urai. Maka persoalan kehilangan Nasharudin sebelum inipun terjawab dan aktiviti kempennya di Manek Urai secara langsung bermula hari ini.

 

Comments (2)Add Comment

Write comment

busy
 

Sponsored Links