KOTA BHARU, Julai 18 — Pemuda PAS Kelantan menafi dakwaan kononnya kemerosotan majoriti mereka pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Manek Urai kerana tidak mendapat sokongan pengundi muda.
Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman, menyangkal dakwaan tersebut berdasarkan beberapa peti undi di DUN Manek Urai secara keseluruhannya undi dari pengundi muda banyak membantu kepada kemenangan PAS.
Abdul Latiff merujuk kepada saluran satu di unit pembuangan undi (UPU) Manek Urai Baru dan saluran dua di Peria menunjukkan peratus majoriti pengundi muda lebih tinggi memberi undi kepada calon PAS.
PRK DUN Manek Urai Julai 14 lepas menyaksikan Mohd Fauzi Abdullah, dari PAS menewaskan calon Umno-Barisan Nasional (BN) Tuan Aziz Tuan Mat, dengan majoriti tipis 65 undi.
Fauzi mendapat 5,348 undi, manakala Aziz mendapat 5,283 undi. PAS menang di empat daripada sembilan pusat pengundian iaitu Peria, Sungai Sok, Chuchuh Puteri dan Lata Rek manakala BN menang di Temalir, Laloh, Manjor, Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama.
Difahamkan pada pilihan raya umum 2008 PAS menang di semua pusat pengundian kecuali Manjor.
Pada masa sama Abdul latiff tidak menolak realiti umum golongan muda dilihat tidak begitu agresif menunjukkan sokongan mereka pada PAS kali ini.
“Secara umumnya itulah yang kita nampak tetapi apabila melihat dari sudut dalaman jumlah pengundian khususnya di beberapa UPU ternyata kita mendapat sokongan tinggi dari pengundi muda,” jelasnya sewaktu dihubungi.
Beliau membuat kenyataan tersebut bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya PAS kehilangan penyokong dari golongan muda yang kini ramai berpaling memberi sokongan kepada BN.
Antara punca kehilangan pengundi muda itu dikatakan kerana calon PAS kurang berpelajaran tinggi berbanding calon BN.
Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad, menyifatkan keputusan PRK DUN Manek Urai sebagai mesej jelas protes rakyat Kelantan terhadap kerajaan pimpinan PAS bahawa mereka tidak lagi terpengaruh dengan polemik PAS yang menggunakan label Islam untuk kepentingan tertentu.





