KOTA BHARU, Julai 18 — Polis diminta menyiasat dua petugas PAS yang cedera akibat menjadi mangsa kekecohan semasa pilihan raya kecil (PRK) DUN Manek Urai melibatkan seorang muslimat dan seorang petugas lelaki.
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa, berharap pihak polis menjalankan siasatan secara adil sama seperti kes dua Puteri Umno yang cedera akibat kejadian yang sama.
Husam mendakwa kejadian berlaku berpunca dari penyokong Umno tetapi petugas PAS yang menjadi mangsa keganasan tidak dilaporkan dalam media walaupun pihak peguam telah membuat laporan polis.
Dua petugas terbabit mengalami kecederaan separa kritikal menerima rawatan di hospital Kuala Krai telah membuat laporan polis sehari selepas hari mengundi.
“Kita minta polis akan buat siasatan dengan adil serta secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Sementara itu di Kuala Krai, Yang Dipertua PAS Kawasan, Abdul Latiff Abdul Rahman, kesal dengan kejadian yang berlaku terutama apabila melibatkan muslimat sebagai mangsa.
“Muslimat itu perempuan, sifatnya lemah. Sesiapapun kalau menjadikan mangsanya dari golongan perempuan itulah tanda orang yang bertanggungjawab itu pengecut dan jahil,” jelasnya.
Beliau turut kecewa dengan laporan media yang cuba menggambarkan seolah-olah insiden yang berlaku adalah berpunca dari provokasi PAS semata-mata.
Mengulas lanjut kejadian yang sama beliau bersependapat dengan Husam agar pihak polis segera bertindak terhadap kejadian yang berlaku.
Sementara itu pihak polis mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dari mangsa terbabit.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi, memaklumkan pihaknya menerima empat laporan pada hari pengundian berkenaan perkara tersebut, masing-masing dari Puteri Umno, Pemuda dan Muslimat PAS.
“Satu lagi laporan ialah dari pemandu bas yang mendakwa ditahan oleh penyokong PAS kerana mengesyaki membawa pengundi hantu.
“Kita juga sedang mengesan suspek terbabit dalam insiden yang berlaku untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menjelaskan siasatan akan dibuat di bawah seksyen 148 kanun keseksaan kerana merusuh.
Rahim memberitahu, walaupun PRK DUN Manek Urai menyaksikan pertandingan sengit antara PAS dan Umno, namun pihaknya berpuas hati kerana masih mampu menangani keadaan dengan aman dan selamat.





