PAS sedia kira semula undi di Manek Urai

Oleh Mohd Zuharman

KOTA BHARU, Julai 18 — Ekoran laporan media mengenai desas-desus kononnya wujud keraguan dalam pengiraan undi pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Manek Urai, PAS tidak takut berdepan dengan apa jua risiko bakal dihadapi.

Pengarah Operasi Pilihan Raya PAs Negeri, Abdul Fatah Harun, berkata PAS tidak gentar pada sebarang ugutan sesetengah pihak termasuk tindakan pemimpin Umno yang mempertikaikan keputusan dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Malah menurut Abdul Fatah pihaknya bersedia menghadapi sebarang tindakan termasuk pengiraan semula undi lantaran wujud pertikaian pihak yang tidak berpuas hati dan meragui kesahihan dengan keputusan diumumkan SPR.

“Kita boleh terima apa saja, hatta mahkamah sekalipun,” katanya kepada media ketika diminta mengulas kemungkinan pengiraan semula undi PRK DUN Manek Urai Julai 14 lalu dikatakan tidak sah.

Pertikaian itu dieksploit setelah didapati wujud keraguan pada pengiraan undi di peti undi Manek Urai Lama yang dikatakan Umno menang dengan majoriti 289 undi tetapi diumumkan SPR 189 undi.

Keputusan itu didakwa memberi kesan besar kekalahan BN dengan majoriti 65 undi.

Pada PRK tersebut BN berjaya menguasai lima daripada sembilan pusat pengundian iaitu Temalir, Laloh, Manjor, Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama.

Sementara itu bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah, menyarankan supaya Umno Kelantan memberi perhatian serius terhadap dakwaan berbangkit dan mengadakan perbincangan dengan penasihat undang-undang parti sebelum dibawa ke mahkamah.

Pada satu perkembangan yang lain Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan membuat laporan polis berhubung kejadian salah laku BN membuat sogokan wang di sebuah premis kerajaan pada hari pengundian Selasa lalu.

Laporan tersebut dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krai, Mahadi Mat Zain bersama Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Hisyam Fauzi.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman, meminta pihak berwajib membuat siasatan terhadap dua kes yang dilaporkan iaitu sogokan wang dan kesalahan BN menggunakan kawasan premis kerajaan pusat (Kesedar) sebagai pusat aktiviti menyogok pengundi yang terletak kira-kira 50 meter dari pusat pembuangan undi sekolah Kebangsaan Peria.

“Kami ada bukti dalam bentuk gambar dan cakera padat video (VCD) berkaitan dengan aktiviti itu,” katanya ketika menghubungi The Malaysian Insider.

Beliau akan menyerahkan semua bukti kes berkaitan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya.

Sehubungan itu beliau berharap pihak berwajib akan membuat siasatan terhadap laporan yang dibuat dengan telus, adil dan saksama selaras dengan undang-undang perlembagaan negara tanpa kepentingan sebelah pihak.

Comments (1)Add Comment

Write comment

busy
 

Sponsored Links