KOTA BHARU, Julai — Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini menyokong kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, berhubung janji yang dibuat Umno-Barisan Nasional (BN) semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Manek Urai.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, menegaskan Umno-BN tidak perlu menunggu menang atau kalah dalam pilihan raya untuk membangunkan pelbagai infrastruktur di Manek Urai.
Menurutnya, BN bertanggungjawab kepada perkara itu berdasarkan Manek Urai termasuk di dalam kawasan Kesedar.
Perbuatan menabur janji pada musim pilihan raya tidak ubah seperti pendekatan retorik BN bagi menambat hati rakyat.
“Dari awal lagi saya dah kata, Manek Urai terletak dalam pentadbiran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar). Jadi tidak timbul masalah BN menang atau kalah sebab itu sudah menjadi tanggungjawab BN.
“Kelemahan pihak BN menterjemahkan perkara sebenar menggambarkan ketidakprihatinannya sekaligus menunjukkan Umno cuba membelakangi tanggungjawab diamanahkan oleh rakyat,” ujarnya semasa diminta mengulas kenyataan Abdullah.
Seperti mana dilaporkan, Abdullah dalam kenyataannya berkata, Umno harus menunaikan segala janji yang dibuat pada PRK Manek Urai walaupun calon BN tewas pada PRK tersebut.
Abdullah mengingatkan Umno tidak boleh leka menganggap rakyat akan terus memberi sokongan kepada BN setelah berjaya mengurangkan majoriti diperolehi PAS sebanyak 1,352 undi menerusi calonnya, Ismail Yaakub, menewaskan calon BN, Zulkiflee Omar pada pilihan raya umum 2008.
PRK Dun Manek Urai 14 Julai lepas menyaksikan calon PAS menang dengan majoriti tipis 65 undi.
Pada PRK tersebut, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yasin, melalui kempennya telah berjanji akan membina sebuah jambatan baru bernilai antara RM7 hingga RM15 juta selain menjadikan Manek Urai sebagai kota agropolitan dan anak emas Kerajaan Persekutuan.
Berhubung dengan perkara yang sama Nik Aziz menyeru pemimpin-pemimpin Umno-BN supaya tidak memperlekehkan rakyat dengan janji-janji manisnya kerana tahap kematangan rakyat semakin terbuka dan rasionalnya semakin matang untuk menilai antara gula-gula sebenar dan gula-gula politik.





