Isu fatwa syurga Nik Aziz terus diserang

Oleh Mohd Zuharman

KOTA BHARU, Ogos 24 — Pemuda Umno nampaknya terus menjadikan batang tubuh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebagai sasaran utama serangan mereka berhubung isu fatwa syurga dan neraka.

Terbaru, hari ini Nik Aziz diminta mengeluarkan fatwa mengenai status parti pakatan, PKR dan DAP yang dikatanya langsung tidak mempunyai agenda memperjuangkan Islam di samping memperjelaskan status ahli-ahlinya termasuk ahli Pas sendiri yang terlibat dengan gejala rasuah, salah guna kuasa dan menipu.

Desakan tersebut dibuat oleh Pengerusi Biro Agama Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Mohd Afandi Yusoff, bagi membidas kenyataan kontroversi Nik Aziz sebelum ini dikatakan menyebut ahli Umno tidak masuk syurga semasa dihubungi wartawan The Malaysian Insider.

Afandi berkata, isu syurga neraka sengaja dicetuskan Nik Aziz bagi menghidupkan semula isu kafir mengkafir, penolakan hudud, agama suku politik suku yang menjadi tunjang kekuatan politiknya sebelum ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, sebelum ini dilaporkan media membuat kenyataan ahli Umno tidak masuk syurga telah mengundang pelbagai persepsi banyak pihak termasuk Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan, Profesor Datuk Abdul Shukor Husin dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani, yang sependapat tindakan tersebut adalah salah mengikut ajaran Islam.

Bagaimanapun Nik Aziz mempertikaikan kenyataan dua tokoh agama negara itu sebagai tidak berasas dan dipengaruhi pihak lain kerana penjelasannya berdasarkan laporan akhbar yang telah memutar belitkan fakta sebenar.

Nik Aziz berhujah penjelasan berhubung perkara berkaitan mestilah dibuat berdasarkan fakta jelas dari beliau sendiri selaku orang yang bertanggungjawab dalam perkara tersebut bukan melalui ‘tangkap muat’ seolah-olah dipengaruhi unsur politik parti Umno.

Orang kuat beliau, Datuk Husam Musa dalam satu majlis di Kuala Lumpur memberitahu, setelah membaca transkrip kenyataan Nik Aziz, beliau sendiri hairan bagaiamana media boleh menulis Nik Aziz menyamakan Islam Umno dengan Islam Palestin padahal yang dimaksudkan adalah Islam plastik.

“Kalau ini pun boleh diputar belit, apatah lagi yang lain,” kata Husam ketika melancarkan buku Nik Aziz di Bookfest 2009 di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC).

Manakala itu Nik Aziz bertegas tidak akan berhenti daripada terus mengeluarkan kenyataan  berkenaan terhadap mana-mana pihak atau golongan yang memisahkan agama dengan politik walaupun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan.

Dalam pada itu juga, Afandi, mewakili Pemuda Umno mencabar PAS mengadakan demonstrasi secara besar-besaran mendesak kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat melaksanakan hukum hudud sebagaimana demonstrasi dibuat bagi membantah ISA.

“Kalau bantahan terhadap ISA yang bukan perintah mutlak Allah mereka boleh buat demonstrasi secara besar-besaran, kenapa tidak kepada tuntutan secara besar-besaran bagi pelaksanaan hukum hudud di negeri-negeri kerajaan Pakatan?” jelasnya.

 

Comments (17)Add Comment

Write comment

busy
 

Sponsored Links