Rahim Bakar: Perginya Jebat moden

Oleh Zukri Aksah

KUANTAN, Sept 28 — Pemergian ke rahmatullah Datuk Rahim Bakar, 66, bekas Menteri Besar Pahang, pada tanggal 24 September yang lalu di kediamannya di Jalan U Thant, Kuala Lumpur bukan sahaja dikenang oleh rakan-rakan seperjuangannya dalam Barisan Nasional, tetapi juga turut mendapat liputan media Pakatan Rakyat seperti Sidang Online milik PAS Negeri Pahang.

Apa yang sempat dikenang tentang allayarham oleh mereka yang muda ketika allayarham masih memegang teraju pemerintahan Negeri Pahang, Rahim Bakar (gambar) adalah Jebat moden, itulah ulasan yang diberikan oleh Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, bekas ADUN Pulau Manis.

Menurut Ariff Sabri, allayarham popular kerana dikatakan menderhaka kepada Tuanku Sultan Pahang akibat keengganannya meluluskan kawasan tambahan balak kepada istana. Malang bagi Ariff Sabri, isu ini dikenang sebegitu rupa sehingga mengaburkan perwatakan sebenar allayarham yang bersikap “no nonsense” dalam mentadbir Negeri Pahang.

Bahkan, mengikut Ariff Sabri, dalam pertemuan terakhirnya dengan allayarham yang berlangsung lebih kurang lima-enam bulan yang lalu, allayarham ada menjelaskan tentang isu pergeseran dengan istana tersebut. Allayarham ketika itu tegas dalam pendiriannya bahawa beliau tidak punya perbalahan yang fundamental dengan istana, malahan sampai akhir terus mendaulatkan institusi istana. Yang wujud hanya perbezaan pendapat, timbul bila kepentingan rakyat tidak sehaluan dengan kepentingan istana.

Bagi Ariff Sabri, allayarham adalah seorang Menteri Besar yang melihat tugas utamanya adalah menjadi Menteri Besar kepada rakyat. Ariff Sabri penuh yakin yang allayarham tiada konflik dengan istana, cuma beliau tidak berkompromi bila melibatkan kepentingan rakyat.

Sikap allayarham ini dapat difahami oleh Ariff Sabri sebagaimana Tun Hussein Onn dapat melihatnya ketika menaikkan allayarham sebagai Menteri Besar Pahang. Sebelum terlibat dengan politik, allayarham sudah pun diamanahkan menerajui PKNP sebagai Pengurus Besar. Hussein sebagai seorang bekas tentera dimaklumi ramai adalah orang yang hidup dengan disiplin. Hussein melihat allayarham sebagai seorang yang mahu menjalankan kerja yang betul dan betul-betul mahu bekerja.

Sudah tentulah sikap allayarham yang tegas dan penuh disiplin ini yang turut dibawanya ketika diamanahkan untuk menerajui Kerajaan Negeri Pahang sempat menimbulkan rasa jengkel dan mencipta musuh dalam selimut di kalangan rakan pimpinan Umno di era beliau.

Allayarham adalah “a man in hurry” yang ketika mengambil-alih Pejabat Menteri Besar Pahang melihat ramai wakil rakyat dan ahli politik menerima kerjaya mereka sebagai kerja keraian dan suka-ria. Maka bagi allayarham, banyak yang perlu ditukar, termasuk etika kerja wakil rakyat dan kaedah pemantauan anak syarikat serta yang paling penting tentulah tentang bagaimana kerajaan negeri mengurus harta rakyat yang menjadi amanahnya.

Terang Ariff Sabri, kesilapan allayarham adalah kerana tidak menyedari tentang musuh dalam selimut yang asyik mengangguk di depannya dalam mesyuarat-mesyuarat exco, tetapi kemudiannya menjadi batu api dalam hubungannya dengan pihak istana.

Walapun tidak lama memimpin Kerajaan, Umno dan Barisan Nasional Negeri Pahang, Ariff Sabri tetap melihat allayarham sebagai pemimpin yang penuh dengan sifat kebapaan dan sangat sayangkan Umno. Allayarham akui yang mungkin kualiti dan sikap sesetengah pemimpin Umno adalah barang yang boleh dipersoalkan, tetapi fundamental Umno sebagai tempat suaka tenteram orang Melayu — Islam dan tempat bergantung harap orang Melayu — Islam ketika susah serta ketika wujudnya malapetaka adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

Andaikata Umno sedang nazak sekalipun, allayarham sukar untuk melihat alternatif yang ada, PKR bagi beliau tidak boleh menjadi galang ganti kepada Umno. Yang paling dekat dalam perkiraan allayarham adalah PAS, itupun allayarham tidak pula mencadangkan ahli-ahli Umno keluar berbondong-bondong menyertai PAS, cuma memikirkan kemungkinan bekerjasama atau bersekutu dengan PAS.

Tentulah dalam pertemuan terakhirnya dengan allayarham, Ariff Sabri paling terkesan dengan rintihan allayarham berkait dengan banyaknya harta kerajaan negeri (baca: harta rakyat) di Pahang yang telah tergadai. Yang terpampang di hadapan mata allayarham sendiri adalah Ladang IOI di jalan Kuantan — Segamat dan Berjaya Tioman Resort, kedua-dua ini asalnya adalah milik LKPP.

Dalam lakaran terakhirnya tentang kenangan bersama Allayarham Datuk Rahim Bakar, Ariff Sabri cuma mampu menyedekahkan Al-Fatihah, semoga roh pejuang bangsa ini dicucuri rahmat oleh Allah.

Comments (3)Add Comment

Write comment

busy
 

Sponsored Links