KUANTAN, Okt 7 — Berikutan dengan wujudnya banyak persoalan terhadap agenda pembangunan Negeri Pahang sebelum ini, pendekatan perlaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) untuk negeri ini akan diubah, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Adnan dalam kenyataannya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama Seminar RMK10 Peringkat Negeri Pahang di sini semalam menggariskan tiga jurus baru yang bakal menjadi perhatian utama dalam merangka pembangunan negeri Pahang sepanjang tempoh RMK10.
Sebelum ini, Pahang mengalami pelbagai masalah pembangunan ekonomi khasnya di zaman Adnan adalah MB Pahang. Beberapa anak syarikat dan badan kerajaan bahkan kerajaan negeri sendiri menghadapi pelbagai jenis masalah kewangan.
Antaranya termasuklah tuntutan saman puluhan juta ringgit ekoran salah laku pentadbiran sumber ekonomi khasnya balak.
Rancangan pembangunan kali ini, seperti dijelaskan Adnan, mestilah menjurus kepada pemberian manfaat kepada rakyat, nilai faedah terbaik dan peningkatan positif kepada ekonomi negeri.
Dalam keadaan rakyat yang semakin bijak menilai, perlaksanaan RMK10 mestilah berbeza dengan RMK sebelum ini, tegas Adnan. Antara perbezaannya adalah dengan mengambil kira rakyat dalam perlaksanaan projek termasuk pemilihan kontraktor, penentuan kos dan sebagainya, tambah beliau lagi.
Namun ini tidak bermaksud kerajaan negeri kecewa dengan perlaksanaan RMK sebelum ini, bahkan Adnan melahirkan rasa puas hatinya dengan pencapaian perlaksanaan projek-projek dalam RMK9, walaupun ada timbul masalah-masalah yang perlu diselesaikan. Secara kasarnya, terang Adnan 90 peratus projek dalam RMK yang lepas berjaya dilaksanakan, yang gagal kebanyakannya akibat dari isu-isu pengambilalihan tanah, kelewatan peruntukan dan masalah kontraktor.
Dalam seminar yang dihadiri lebih 300 peserta itu, Adnan mengumumkan sasaran 99.9 peratus kejayaan kerajaan negeri untuk RMK10 dalam melaksanakan projek-projek berkait dengan nilai pelaburan dan pembangunan fizikal.
Oleh kerana seminar ini turut dihadiri ahli politik yang terdiri dari Exco-exco Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri serta ketua-ketua jabatan kerajaan, Adnan sempat menitipkan pesan tentang peri pentingnya peranan mereka terutamanya wakil rakyat yang perlu senantiasa bekerjasama dengan ketua-ketua jabatan.
Keadaan harmoni ini akan memastikan negeri maju dan berkembang secara keseluruhannya, seterusnya akan menjayakan perancangan RMK10 yang bermula Januari 2011, sejajar dengan aspirasi Perdana Menteri yang mahu rakyat didahulukan.
Seminar ini diadakan bertujuan bagi membincangkan RMK10 dan arah tuju negeri Pahang.





