Perkasa parti atau pemikiran Aziz Bari?

Analisis oleh Samsuri Roslan

KUALA LUMPUR, Nov 10 — Di awal pagi semasa lalu di hadapan pintu gerbang untuk menuju ke Dewan Muktamar PAS Taman Malewar pada 7 November lalu, kami dikejutkan dengan kata-kata kurang manis di kalangan Petugas Unit Amal PAS. Mereka menyebut berulang kali nama Aziz Bari kepada Aziz (nama bapa ditukar kepada nama haiwan) — sesuatu yang tidak enak didengar.

Ia disifatkan sebagai reaksi spontan ahli akar umbi yang terlalu kecewa dan marah dengan tulisan atau wawancara Pensyarah Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Dr Abdul Aziz Bari dalam blog mahupun akhbar tempatan. Begitu kecewa dan marahnya Aziz kepada kepemimpinan PAS, begitu jugalah marah dan geramnya ahli akar umbi terhadap pensyarah ini.

Sebagai ahli dan penyokong parti, Aziz menjadi popular sekelip mata apabila tulisan peribadi beliau disebut oleh Musryidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Disebabkan menyebut dua tiga nama yang dikenali sebagai kapten dan meletakkan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pemimpin yang lemah antara faktor utama yang menyebabkan Aziz dijemput sebagai penceramah utama di seminar Perkasa PAS bagi menggantikan mesyuarat Khas Muktamar.

Di sepanjang seminar ini yang dihadiri oleh 1,000 orang peserta, empat kumpulan disifatkan menjadi tumpuan utama. Kumpulan terbabit adalah pembahas dari wakil Dewan Pemuda, Negeri Selangor, Negeri Kelantan dan Terengganu. Paling ironis dan menarik sekali yang mungkin tidak disedari oleh sesetengah peserta apabila dewan “black-out” kira-kira jam 3:53 petang dan hidup semula pada 4:10. Ketika itu, wakil dari negeri Terengganu sedang membahaskan seminar tersebut. Walaupun “black-out” ini diperkatakan oleh ahli dan penyokong PAS yang berada di luar dewan namun ia menjadi sejuk seketika apabila beberapa minit kemudian, dewan terus “black-out” disebabkan ribut petir yang melanda daerah Gombak.

Semasa membentangkan pandangan, Aziz berkata, PAS perlu bersedia mengambil risiko dan digesa melakukan perubahan segera agar parti terus perkasa, terutama bagi mendapat sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

“Risiko hendak menjadi parti rakyat, PAS harus fokus kepada tindak tanduk amalan politik dalam menangani kepercayaan rakyat dengan menunjukkan disiplin. PAS juga mesti bersedia menerima kritikan,” katanya.

Katanya lagi, ketika PAS menuju kepada sistem “dua parti”, pemimpin PAS perlu memahami percaturan di mana PAS sedang mengalami satu jalan yang tidak pernah dilalui sebelum ini.

“Sebagai contoh, dalam konteks satu kapal yang sedang melalui lautan yang bergelora, kalau orang yang kendalikan kapal tidak faham jenis lautannya, ini amat berbahaya”.

Beliau berkata, PAS perlu menyusun strategi betul dengan memikirkan pendekatan, program dan ucapan yang sesuai disampaikan untuk menghadapi musuh pilihan raya.

“Kita memang mudah bercakap mengenai musuh pilihan raya tetapi apakah pendekatan, program, ucapan yang sesuai diperkatakan? Kita mungkin berulang-ulang melaungkan bahawa kita bersama Pakatan Rakyat tetapi berlainan dari segi perbuatan,” katanya.

Sebelum itu, Aziz mengkritik PAS yang suka menyalahkan Umno setiap kali berlaku sesuatu yang negatif terhadap parti itu, sebaliknya perlu melihat ke dalam parti dan mencari jalan untuk mengatasi setiap masalah.

“PAS harus terbuka. Jadi jangan lagi bermain cara lama, ada benda sikit salahkan Umno, ini tidak harus dilayan. Kita harus fokus apa yang ada dalam parti,” katanya.

Tulisan dan wawancara Aziz sehingga meletakkan dirinya menjadi pembentang utama telah mencetuskan pelbagai kritikan hebat dari para peserta. Pelbagai kata dan cabaran dilontarkan oleh para peserta sehingga suatu ketika ia dilihat sebagai emosional dan keterlaluan serta bersifat serangan peribadi.

Walaupun pelbagai kritikan dan cadangan yang dilontarkan, seolah-olah seminar ini menjurus kepada pemikiran Aziz yang disifatkan setanding dengan pemikiran tokoh Islam masa lampau dan kini. Para pemimpin PAS yang disifatkan bijaksana, intelektual dan berpengalaman seolah-olah “terperangkap” sehingga menjadi pertembungan antara golongan ulama — profesional, akar umbi — pucuk pimpinan.

Ini boleh dibuktikan daripada kenyataan beberapa orang pembahas seperti negeri Johor dan Perlis yang akui hakikat apakah rumusan dan tindakan yang mahu dijelaskan oleh akar umbi apabila pulang ke negeri masing-masing.

Kesegaran dan kekuatan PAS masakini bukan berasaskan kepada perkataan atau ayat yang penuh sentimen. Ia berasaskan kepada tindakan dan gerakan padu dalam memahami senario politik negara masakini sehingga menjadi sebuah parti yang kuat disegani rakan mahupun musuh.

Kepemimpinan PAS perlu juga melihat perbezaan antara seminar terbuka yang kononnya segar tetapi mendedahkan pelbagai maklumat dan perpecahan ataupun seminar tertutup yang boleh diselesaikan oleh kepemimpinan sendiri.

Sungguhpun Nik Aziz dan Abdul Hadi menyebut dengan tegas bahawa Seminar Perkasan Politik ini berjaya, namun beberapa hasil dan keputusan disifatkan sebagai tidak menguntungkan parti.

Hati sesetengah pemimpin PAS samada ulama mahupun profesional terus terluka dan masalah dalaman parti yang serius terdedah kepada umum. Dan yang pastinya pemikiran Aziz begitu hebat walaupun beliau sekadar pensyarah undang-undang!

Comments (1)Add Comment

Write comment

busy
 

Sponsored Links