PETALING JAYA, Nov 11 — Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa penggantinya Tan Sri Khalid Ibrahim bermain "silap mata" ketika mengumumkan strategi terbaru Menteri Besar Incorporated (MBI) yang akan mengambil alih hutang Talam Corporation berjumlah RM392 juta.
Khir menegaskan dakwaan Menteri Besar bahawa kerajaan lalu pimpinan Barisan Nasional tidak mengambil sebarang tindakan hanya menunjukkan sama ada Khalid menipu atau tidak mengambil tahu apa yang berlaku.
"Saya lebih percaya beliau cuba mengelirukan rakyat," kata beliau dalam tulisan blognya.
Kelmarin Dewan Undangan Negeri Selangor meluluskan bajet tambahan sebanyak RM392 juta kepada MBI untuk membeli hutang Talam daripada kerajaan negeri.
Geran itu membolehkan MBI membeli hutang Talam RM392 juta daripada kerajaan negeri, sekali gus membolehkan ia mengambil alih soal mengutip hutang Talam daripada tiga anak syarikat negeri iaitu Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Yayasan Pendidikan Selangor, kata Khalid kelmarin.
Syarikat perumahan itu berhutang RM392 juta dengan tiga anak syarikat kerajaan negeri itu dalam pelbagai usaha sama pembangunan hartanah sepanjang 10 tahun lalu.
Oleh itu pada hakikatnya, jelas Khir, pada tahun 2007 kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan semua anak syarikat terbabit bagi mengutip hutang Talam kepada anak-anak syarikat kerajaan negeri.
Antara tindakan yang dalam proses ketika itu ialah rundingan pengambilalihan aset-aset dan hartanah Talam seperti Kelab Golf Bukit Beruntung.
Selain itu jelas Khir, tekanan juga dibuat dengan membekukan projek-projek baru yang membabitkan syarikat tersebut sehingga hutang kepada kerajaan negeri dilangsaikan.
"Kerajaan negeri sebelum ini tidak mengambil alih hutang-hutang Talam daripada anak syarikat kerajaan negeri kerana mahukan CEO-CEO yang dibayar gaji bertanggungjawab terhadap setiap perjanjian yang mereka buat dengan pemaju termasuk Talam," katanya.
Justeru Khir berpendapat, ketika mengumumkan tindakannya kelmarin Menteri Besar memberi gambaran seolah-olah ia hanya merupakan peralihan pengurusan hutang tanpa apa-apa kos mahu pun niat terselindung.
"Namun di sebalik kata-kata mulut manis Menteri Besar mengenai pengurusan aset hutang negeri ini, apa yang diumumkan oleh Menteri Besar semalam (kelmarin) merupakan satu strategi perakaunan untuk memanipulasi rekod keuntungan organisasi tanpa mencerminkan nilai sebenar.
"Dalam bahasa kewangan dan perakaunan ia dipanggil round-tripping, yang dianggap sebagai satu usaha ‘distortion’ untuk memberi gambaran positif terhadap akaun.
"Walaupun tidak menyalahi undang-undang namun ia mempunyai tujuan yang kurang mulia iaitu memberi gambaran keuntungan atau pendapatan yang tidak tulen," kata Ketua Pembangkang ini yang masih digantung daripada menghadiri Dewan Undangan Negeri Selangor.
Khir mendakwa strategi itu bertujuan untuk menunjukkan peningkatan keuntungan dalam akaun biarpun tiada keuntungan sebenar.
Menteri Besar bertindak sedemikian untuk menunjukkan tambahan pendapatan besar dalam akaun kerajaan negeri walaupun secara realiti ia merupakan satu ilusi, kata Khir sambil menambah, "bahayanya ialah kerajaan negeri akan mempunyai kecenderungan untuk membelanja lebih dari sumber yang ada."
"Menurut pemahaman saya dan maklumat yang diperoleh, pengumuman semalam (kelmarin) merupakan satu usaha terancang dan bijaksana untuk meningkatkan pendapatan kerajaan negeri sebanyak RM392 juta dan juga memberi peluang kepada orang tertentu membuat bisnes konsultansi dan guaman," katanya.
Khir juga mendakwa kerajaan negeri mengumpul semua hutang Talam Corporation kepada anak-anak syarikat kerajaan negeri seperti KDEB, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), PNSB dan Universiti Selangor.
"Jumlah hutang tersebut ialah sebanyak RM392 juta.
"Aset hutang ini dijual kepada sebuah syarikat milik PKNS, Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd (SIC), dengan harga RM392 juta.
"Bagi membiayai pembelian ini, SIC membuat pinjaman dengan jumlah yang sama kepada sebuah bank. Saya difahamkan bank tersebut ialah CIMB Bank.
"Pinjaman ini dibuat menerusi SIC kerana sebagai syarikat sendirian berhad SIC tidak memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan untuk membuat pinjaman berbanding PKNS, KDEB dan PNSB," katanya.





