PETALING JAYA, Nov 11 — Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin (gambar, kiri) yang tahun lalu disebut-sebut akan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kemungkinan mengambil langkah berani ini dalam waktu terdekat?
Semalam, Zulkifli antara pemimpin PKR yang biasanya lantang bersuara khususnya berhubung isu menyentuh kepentingan Islam, mencabar Naib Presidennya R Sivarasa (gambar, kanan) supaya meletakkan jawatan dan bersemuka dengan beliau untuk menguji pengaruh.
“Saya mencabar YB Siva, sila letak jawatan beliau sebagai Naib Presiden dalam tempoh 24 jam dan mari kita bertanding satu lawan satu.
Mari kita berikan hak demokrasi dan bersuara kepada ahli akar umbi PKR membuat keputusan sama ada mempertahan dan memperjuangkan Islam dan hak Muslim menjadi dasar PKR ataupun tidak.
Jika saya tertewas, maka saya bersedia pada bila-bila masa untuk meninggalkan PKR, kerana parti yang tidak mahu mempertahan, membela dan memperjuangkan Islam dan hak Muslim bukanlah parti yang saya mahu bersekutu dengannya,” katanya semalam.
Bagaimanapun beberapa jam kemudian petang semalam, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap isu itu sudah selesai dengan memberikan kenyataan ringkas.
Bulan lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah mengumumkan beliau keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).
Badrul berkata, beliau telah dianaktirikan oleh kerajaan Selangor yang diterajui PKR, yang didakwanya telah menahan peruntukan kepadanya sejak Mac.
Akhir Ogos lalu, Adun Lunas, Kedah, Mohd. Radzhi Salleh mengumumkan keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas atas alasan hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti itu.
Pada Februari lalu, dua Adun dari Perak juga keluar PKR untuk menjadi wakil rakyat bebas menyokong BN iaitu Jamaluddin Mat Radzi dari Behrang dan Kapten (B) Mohd. Osman Mohd. Jailu (Changkat Jering).
Bertolak dari isu ini, Blogger Pembela Rakyat dalam tulisan terbarunya berkata, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu kini sudah “hilang semangat reformasi” dengan cuba menekan rakan seperjuangan parti sendiri.
“Nampaknya spekulasi bukan sekadar spekulasi, sememangnya Zulkifli Noordin memang selama ini menjadi duri dalam daging kepada perjuangan reformasi... semangatnya, kata-katanya kini tak selari dengan perjuangan menegakkan keadilan dan perubahan.
“Pada mulanya reformis hanya bersuara tapi kini Ketua Umum pula yang yang tak boleh tahan tetapi apakan daya mungkin apa yang dimahukan oleh Zulkifli hanyalah mahu ditendang keluar dari parti dan membuat kenyataan akhbar nanti yang dia telah menjadi mangsa politik zalim oleh pemimpin-pemimpin PKR,” kata blog itu.
Kelmarin Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat ketika merasmikan Konvensyen PKR Pulau Pinang mengeluarkan kata dua supaya pemimpin-pemimpin PKR setia dan akur dengan polisi parti itu atau keluar.
Menurut Sivarasa, arahan itu secara tidak langsung ditujukan kepada individu-individu seperti Zulkifli.
Sivarasa ketika mengatakan demikian juga menegaskan, amaran Anwar itu juga adalah untuk mengingatkan mereka semua supaya menjadi lebih berdisiplin dan tidak bertelagah secara terbuka.
Anwar dalam pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen kelmarin memberi ingatan agar mana-mana wakil rakyat yang ingin mengemukakan usul atau pindaan rang undang-undang harus memaklumkan kepada pucuk kepimpinan terlebih dahulu.
Zulkifli sebelum ini beberapa kali mencuba untuk membentangkan usul di Parlimen khususnya berkaitan dengan hal-hal berkaitan dengan Islam yang dilihat sebagai tidak selari dengan polisi PKR.
Beliau yang menjadi peguam pasukan kes Anwar 10 tahun lalu dipilih sebagai Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu tahun lalu.
Pada akhir tahun lalu, Lembaga Disiplin PKR pernah membincangkan kes Zulkifli kerana menyertai demonstrasi membantah Majlis Peguam tetapi kemudian memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan susulan.
Ketika itu desas-desus bertiup mengatakan Zulkifli akan meninggalkan PKR.






Mempertahankan Islam tidak boleh disamakan dengan mempertahankan Melayu. Islam adalah ugama yang berideologi. Matlamatnya adalah menuntut keadilan. Aspirasi ini sama dengan aspirasi PKR dan lain-lain parti dalam PR. Mungkin cara Zul sedikit radikal dengan menceroboh masuk kemajlis mesyuarat orang. Tapi kalau tidak ada tindakan yang separuh bodoh seperti ini masyarakat tidak akan sedar yang isu yang sedang dibincangkan adalah besar dan akan melibatkan semua rakyat.