Terbengkalai: Pembeli rumah Bandar Alam Perdana rugi RM85 juta?

PETALING JAYA, Nov 12 — Seramai 3,436 pembeli rumah projek perumahan Bandar Alam Perdana yang dikategorikan terbengkalai sejak 2006, didedahkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim semalam, mengalami kerugian sehingga RM85 juta dalam bentuk bayaran kemajuan.

"Bagi 3,436 pembeli yang terlibat dengan projek ini, mereka sudah membelanjakan sebanyak RM85 juta sebagai bayaran kemajuan kepada pemaju tetapi masih lagi belum mendapat rumah yang mereka idamkan," kata satu dokumen 53 halaman yang disiarkan menerusi portal kerajaan negeri Selangor hari ini.

Semalam, Khalid mendedahkan dokumen satu daripada tiga projek — kendalian syarikat milik bekas Exco Kerajaan Negeri dari Umno, yang menyebabkan lebih 3,400 pembeli rumah dan 383 pemilik tanah asal teraniaya.

Dua lagi projek dijangka didedahkan esok dan awal minggu depan.

Dokumen rumah terbengkalai itu yang membabitkan projek perumahan Bandar Alam Perdana sebelum ini dikategorikan sebagai rahsia oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Projek itu bermula tahun 2000 dan sepatutnya selesai dibina pada 2003. Tiga tahun lalu ia dikategorikan sebagai projek terbengkalai.

Projek itu digerakkan dengan seramai 383 pemilik asal tanah dipujuk menandatangani perjanjian pindah milik tanah — yang dikurniakan menerusi Rancangan Revolusi Hijau oleh kerajaan negeri — untuk dijadikan kawasan komersial dengan bayaran RM360,000 termasuk sebuah rumah bernilai RM180,000.

Dokumen itu menambah, tidak keterlaluan jika kita katakan projek Bandar Alam Perdana merupakan suatu contoh klasik penganiayaan terhadap rakyat.

"Bagaimana pula 383 peserta yang bersetuju menyertai projek ini? Jumlah pampasan yang dijanjikan bernilai RM360,000.00 terdiri daripada wang tunai tunai sebanyak RM180,000.00 dan rumah bernilai RM180,000.

"Pemaju memaklumkan telah membayar setiap peserta nilai purata RM50,000 hingga RM100,00 daripada jumlah pampasan RM360,000. Ini bermakna peserta telah rugi diantara RM200,000 hingga RM310,000," kata dokumen itu yang bertajuk Rancangan Revolusi Hijau dan Bandar Alam Perdana: Tanah Hilang, Rumah Tak Dapat.

Syarikat kontraktor yang terlibat ataupun ahli lembaga pengarah langsung tidak tercalar oleh masalah ini sedangkan petani yang menaruh harapan untuk memperbaiki taraf hidup ternyata kehilangan hak terhadap tanah dan terus hampa menunggu habuan yang dijanjikan, jelas dokumen itu.

"Pembeli pula masih membayar pinjaman bank sedangkan rumah masih belum disiapkan," katanya lagi.

Malah kata dokumen itu, tidak ada rekod sebab kerajaan negeri membenarkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melaksanakan projek pembangunan hartanah walhal visi dan tanggungjawab PKPS adalah melaksanakan projek-projek pertanian komersil bagi tujuan mendapatkan pulangan maksimum dan menggalakkan pembangunan pertanian di negeri Selangor.

Sekiranya kerajaan negeri terdahulu berpendapat peserta boleh mendapat keuntungan daripada projek Bandar Alam Perdana, ia sepatutnya awal-awal lagi memastikan projek tersebut dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) atau syarikat pembinaan lain yang lebih berpengalaman.

"Kini terbukti, Kerajaan Negeri ketika itu membuat unjuran yang tidak betul dengan membenarkan kontraktor persendirian menjadikan tanah tersebut sebagai cagaran bagi tujuan membiayai projek komersial berkenaan," katanya.

Dokumen itu menambah, kerajaan negeri Selangor hari ini sebaliknya komited untuk menyelesaikan masalah projek terbengkalai bukan sahaja melibatkan Bandar Alam Perdana bahkan 141 projek perumahan terbengkalai yang lain di seluruh negeri.

"Namun begitu, komitmen kerajaan sahaja belum mencukupi sekiranya tiada kerjasama dan tolak ansur daripada pembeli.

"Segala usaha sepatutnya digembleng supaya projek ini boleh diselesaikan dengan kerugian yang minimum dan semua pihak perlu berlapang dada mengadakan perbincangan," katanya.

Salinan bercetak juga boleh diperoleh di sekretariat kerajaan negeri dan pejabat-pejabat daerah.

Comments (5)Add Comment

Write comment

busy
 

Sponsored Links