KOTA BAHARU, Nov 12 - Kelab Penyokong Kelantan menganggap keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenakan denda RM50,000 terhadap Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) RM50,000 atas kesalahan berkaitan insiden tindakan liar penyokong pasukan Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu lepas sebagai satu tindakan “mendera”.
Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan Harun Ali berkata, beliau mempersoalkan keputusan denda itu kerana ia dilihat tidak mampu untuk mendidik penyokong Kelantan supaya lebih berdisiplin.
“Langkah mengawal sikap penonton, berada di luar daripada kawalan Kafa, lagipun tanggungjawab itu perlu dipegang oleh pengurusan dan pihak keselamatan,” katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu Harun berkata, kelab dengan 1,500 anggota itu mengambil keputusan untuk menubuhkan tabung kutipan RM1 dari rakyat Kelantan yang akan digunakan bagi menampung bayaran denda tersebut, dan menurutnya 16 tabung akan diarak di seluruh jajahan di Kelantan bagi tujuan itu.
Semalam FAM mendenda Kafa RM50,000 gara-gara tindakan liar sesetengah penyokong pasukan Kelantan yang membakar mercun serta tempat duduk stadium pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu lepas.
Harun berkata, masih banyak aspek yang boleh dipersoalkan sebelum denda dikenakan terhadap Kafa kerana insiden yang berlaku tidak harus diletakkan di bahu Kafa semata-mata.
Beliau berkata, denda itu memberi tekanan kewangan kepada Kafa kerana dalam setahun ini Kafa menanggung denda RM300,000 dalam Piala Malaysia, Piala FA dan liga super.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kafa Md Noor Yaacob berkata pihaknya menerima keputusan FAM itu dan akur dengan jumlah yang dikenakan.
Beliau berkata, Kafa akan berusaha untuk mendidik dan menyedarkan penonton supaya bertindak lebih berdisplin dan mempunyai semangat kesukanan yang tinggi. — Bernama





