Tiada notis, Asri tidak mahu tunggu lagi di mahkamah

Oleh Syed Jaymal Zahiid

PETALING JAYA, Nov 12 - Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang disebut-sebut akan didakwa esok atas tuduhan menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah menegaskan, beliau tidak akan hadir di mahkamah.

Difahamkan beliau mahu bertindak demikian bagi mengelakkan kekecewaan yang dialami awal bulan ini.

Pada 2 November lalu iaitu sehari selepas ditahan, beliau terpaksa menanti kira-kira tiga jam di mahkamah tetapi tidak didakwa manakala pasukan pendakwa pula tidak hadir.

Ketika dihubungi hari ini, Asri berkata, beliau tidak akan berada di Mahkamah Syariah Gombak Timur esok kerana tidak menerima apa-apa notis ataupun makluman untuk berbuat demikian.

“Saya belum terima sebarang notis (sehingga malam ini). Ini bukan mahkamah rimba,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Laporan media semalam menyebut Asri yang ditahan 1 November lalu akan didakwa esok.

Malah, semalam Penolong Pengarah Perhubungan Awam Jais Mohd Hidayat Abd Rani memberitahu, pasukan pendakwa sedang meneliti kertas tuduhan untuk mendakwa Asri minggu ini.

Asri akan didakwa di Mahkamah Syariah Gombak Timur.

Bagaimanapun Hidayat memberitahu, Jais akan memohon untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kerana melibatkan profil tinggi.

Memandangkan mahkamah tidak bersidang Sabtu, kemungkinan Asri akan didakwa esok melainkan ada perubahan terakhir di pihak Jais.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan tindakan Jais yang menahan bekas Mufti Perlis itu atas alasan menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah.

Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri berkata, tindakan Jais bukan sesuatu yang mencurigakan kerana mana-mana ulama yang ingin memberi ceramah perlu mendapatkan kebenaran dan tauliah Jais.

Beliau menyatakan demikian beberapa jam selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menolak usul tergempar yang menggesa agar penahanan Asri oleh Jais diketepikan.

 

Comments (2)Add Comment

Write comment

busy
 

Sponsored Links