TERKINI 2
KUALA LUMPUR, Nov 13 — Eksekutif jualan Sulkarnain Alias dan pemandu forklift Noorman Ab Wahab hari ini dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan membunuh pensyarah sains sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bakarudin Busu tujuh tahun yang lalu.
Bagaimanapun nasib seorang lagi tertuduh hanya akan diketahui 11 Disember ini.
Mahkamah memutuskan untuk menunggu laporan akhlak membabitkan tertuduh ketiga itu Azizul Azual Mohamad Jailani, 26.
Sulkarnain, 32, Noorman, 31, dan Azizul Azual didakwa membunuh Bakarudin, 35, pada pukul 9.30 malam, 12 Februari 2002 di Jalan SS19/6, Subang Jaya, Selangor. Mayat Bakarudin dijumpai separuh rentung dalam longkang di Subang Jaya. Bakarudin juga merupakan bekas wartawan Kumpulan Utusan sebelum menyertai UiTM.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kes itu telah dibicarakan sejak 17 Mei 2004 dengan pihak pendakwaan memanggil 30 saksi termasuk bekas teman wanita Sulkarnain, Siti Rahmah Azman Subramaniam yang pada awalnya dinamakan sebagai tertuduh pertama.
Siti Rahmah dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan membunuh Bakarudin pada 14 Julai 2003 sebelum ditawarkan menjadi saksi kepada pihak pendakwaan.
Laporan Bernama menyebut, Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan yang mewakili Sulkarnain dan Noorman telah gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah untuk membolehkan mahkamah membebaskan kedua-dua tertuduh.
Sebaik sahaja hakim membacakan penghakimannya kesemua tertuduh tidak menunjukkan sebarang reaksi dan hanya memandang ke arah anggota keluarga masing-masing yang memenuhi galeri awam.
Pada 3 Ogos 2007 mahkamah yang sama telah membebaskan tertuduh keempat, seorang pelajar Muhamad Zakwan Ahmad Zaki, 24, di akhir kes pendakwaan setelah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadapnya.
Semasa perbicaraan saksi-saksi pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa Azizul telah mengambil pedang samurai yang diletakkan sebagai hiasan di rumah abangnya yang telah digunakan dalam kejadian itu.
Sementara itu, Noorman pula ada mengaku telah membunuh seseorang kepada rakannya bernama Mohammad Qaiyyum Abdul Wahab dan Mohammad Qaiyyum telah mengesahkannya di mahkamah ketika dipanggil sebagai saksi pendakwaan.
Mengikut keterangan di mahkamah, polis turut menjumpai kad SIM milik mangsa daripada Noorman beberapa hari selepas tarikh kejadian. Seorang saksi yang melihat kejadian itu turut memberitahu mahkamah bahawa beliau ada melihat Sulkarnain menetak kepala Bakarudin sebanyak dua kali menggunakan sebilah parang panjang.
Ketika rayuan peguam Sulkarnain, Suzana Morlihan memberitahu mahkamah bahawa ayah kepada anak guamnya telah meninggal dunia ketika perbicaraan dan dia tidak mempunyai rekod jenayah.
Sementara itu peguam K. Vikneswaran yang mewakili Noorman pula memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya ingin meminta maaf kepada keluarga mangsa dan kejadian itu berpunca daripada pergaulan dengan rakan-rakannya.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail memberitahu mahkamah bahawa ayah Bakarudin ada menghubunginya untuk melahirkan perasaan kesal apa yang telah berlaku dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam perbicaraan.
Azizul diwakli peguam Mohd Hanif Khatri Abdulla.
Sepanjang perbicaraan 30 saksi pendakwaan termasuk isteri Bakarudin, Mawarni Muhamad, 41, telah memberi keterangan sementara pihak pembelaan telah memanggil enam orang saksi.





