Mengapa hukuman sebat Kartika tertangguh?

KUANTAN, Nov 13 – Hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno belum dijalankan berikutan timbul syubahah (keraguan) dalam pelaksanaan hukuman itu.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz berkata pelaksanaan hukuman itu perlu dilakukan secara berhati-hati terutama terhadap pesalah wanita.

“Sejak 52 tahun kemerdekaan negara, tidak ada lagi tukang sebat daripada kalangan wanita,” kata beliau dipetik Bernama.

Beliau menjawab soalan Syed Mohammed Tuan Lonnik (PAS-Beserah) berhubung kekangan dalam pelaksanaan hukuman terhadap Kartika pada sidang Dewan Undangan Negeri Pahang hari ini.

Awal minggu ini Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menafikan pihaknya masuk campur dalam penangguhan perlaksanaan hukuman terhadap Kartika.

Gani berkata, pelaksanaan hukuman tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan pihaknya menghormati sebarang keputusan yang dibuat mahkamah berkenaan.

Dalam penjelasannya, Mohamad Sahfri bagaimanapun berkata, hukuman sebat terhadap pesalah lelaki bagi kesalahan sama telah dilaksanakan dengan terbaru seorang rakyat Indonesia disebat enam kali di Penjara Penor semalam.

Beliau berkata Pahang merupakan antara negeri yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara dan sebatan bagi kesalahan meminum arak berbanding negeri lain dan ia perlu dijalankan dengan sebaik mungkin.

Kartika, 32, dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu etelah mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Menjawab soalan mengenai hukuman enam sebatan yang dikenakan tidak mengikut syarak, Mohamad Sahfri berkata, ia berpandukan undang-undang yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Pahang dan bidang kuasa yang diberi oleh Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Beliau berkata, walaupun hukum syarak menetapkan hukuman 40 hingga 80 sebatan bagi kesalahan meminum arak yang merupakan satu daripada kesalahan hudud, Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa untuk menjatuhkan hukuman hudud.

Ini kerana enakmen yang ada hanya memperuntukkan hukuman takzir dan tiada hukuman had atau qisas walaupun ada di antara jenis kesalahan itu adalah hudud, katanya.

 

Comments (1)Add Comment

Write comment

busy