TERKINI 1
JOHOR BARU, Nov 16 – Seorang lelaki yang didakwa minggu lepas atas pertuduhan membunuh ibunya, ditemui mati di Penjara Air Molek malam tadi, dalam apa yang didakwa oleh keluarganya sebagai “keadaan yang mencurigakan”.
J. Saravanan, 22, dijumpai tergantung dari sebuah kekisi, menggunakan sarung bantal dan tuala yang diikat bersama, kira-kira 9 malam.
Seorang warder yang memulakan tugasnya pada 9 malam, menemui tertuduh kes bunuh itu tergantung dalam penjara berkenaan dan memaklumkannya kepada pihak berkuasa penjara.
Mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.
Di luar bilik mayat hospital, bapa saudara simati, K. Chandran, memberitahu media bahawa pihak berkuasa hospital memberitahu keluarganya bahawa anak saudaranya itu telah pun meninggal dunia setelah tiba di hospital.
Beliau mendakwa keluarga berkenaan dimaklumkan mengenai insiden itu, hanya kira-kira dua jam selepas kematian Saravanan.
Chandran, 42, yang dipetik Bernama memberitahu beliau akan membuat laporan polis berhubung kematian Saravanan memandangkan terdapat lebam-lebam pada tubuhnya, menimbulkan kesangsian terhadap peristiwa yang membawa kepada kematian anak saudaranya itu.
Beliau curiga berhubung kematian Saravanan.
Pemangku Ketua Polis Johor Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengklasifikan kes itu sebagai kematian mengejut.
Pada 11 November, Saravanan didakwa membunuh ibunya, Malliha Kathirvel, 47, di rumah mereka di Kampung MIC, Ulu Tiram antara 9.30 pagi dan 10.30 pagi pada 5 Oktober lepas.
Dia menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk sebutan.
Mayat Malliha yang disumbat dalam sebuah beg kembara ditemui disembunyikan di bawah sinki dapur rumah berkenaan pada 6 Oktober lalu.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Penaja Parti Hak Asasi Manusia P. Uthayakumar pula memberitahu pihaknya telah membantu keluarga berkenaan membuat laporan polis petang tadi.
Laporan polis dibuat kira-kira 2 petang.
Pemimpin pertubuhan Hindraf yang telah diharamkan itu berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan selepas mengetahui laporan bedah siasat.
“Kami ingin melihat dulu kandungan laporan bedah siasat,” kata beliau sambil menambah, pihaknya kecewa kerana pihak berkuasa hospital enggan membenarkan keluarganya mengambil foto mayat Saravanan didakwa mempunyai kesan lebam-lebam.
“Keluarga Saravanan tidak dapat menerima kematiannya (yang dijumpai tergantung). Jika tiada apa-apa yang perlu disembunyikan mengapa pihak berkuasa enggan membenarkan gambar mayat yang ada kesan lebam-lebam diambil,” kata beliau lagi.





