Kota Siputeh: Pilihan raya kecil ditangguh, rayuan SPR diterima

TERKINI 4

Oleh Debra Chong

KUALA LUMPUR, Nov 24 — Mahkamah Rayuan lewat petang tadi membenarkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Isnin lalu yang mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh kosong dan perlu diadakan pilihan raya kecil.

Dengan keputusan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu mengeluarkan notis pilihan raya kecil esok sebagaimana telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi semalam.

Pilihan raya kecil ini — yang ke-10 sejak Mac 2008 jika diadakan — ditangguhkan buat sementara waktu.Seksyen 3 Akta Pilihan Raya mengkehendaki SPR mengeluarkan writ pilihan raya dalam tempoh empat hingga 10 hari selepas sesebuah kerusi diisytiharkan kosong.

Keputusan terbaru ini dicapai oleh panel tiga hakim yang bersidang sejak 2.30 petang tadi untuk mendengar serentak rayuan SPR dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerusi Kota Siputeh Datuk Abu Hasan Sarif yang kerusinya diisytiharkan kosong.

Panel hakim terdiri daripada Datuk Sulong Mat Jeraie, Datuk Kang Hwee Gee dan Datuk Abdul Aziz Abd. Rahim.

Permohonan dikemukakan oleh SPR dan Abu Hassan.

Mahkamah Rayuan menolak permohonan Abu Hassan untuk penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi atas alasan teknikal ekoran bantahan peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Speaker DUN Kedah.

Pada 16 November lalu Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa memang wujud kekosongan kerusi selepas Abu Hassan tidak hadir sidang DUN Kedah dua kali berturut-turut.

Ia menerima permohonan Speaker DUN yang mempertikaikan keputusan SPR September lalu.

Ketiga-tiga hakim dalam keputusan mereka berkata wakil rakyat yang dipilih tidak wajar dihalang daripada menjalankan khidmat sebagai Adun dan penangguhan sementara keputusan juga tidak akan menjejaskan mana-mana pihak sehingga rayuan didengar di peringkat atasan.

Panel juga memutuskan rayuan harus didengar secepat yang mungkin.

Wakil dari Jabatan Peguam Negara Datuk Kamaludin Md Said yang bertindak bagi SPR memberitahu bahawa tidak mungkin rayuan boleh didengar dalam bulan ini.

Katanya, adalah lebih realistik untuk mengharapkan tempoh dua hingga tiga minggu bagi mendengar rayuan.

Ini kerana parti-parti yang terlibat memerlukan beberapa dokumen khususnya penghakiman Mahkamah Tinggi minggu lalu, kata penasihat undang-undang Umno Datuk Hafarizam Harun yang mewakili Abu Hassan.

Beliau juga berkata kemungkinan rayuan hanya akan didengar pertengahan bulan depan.

Terdahulu pagi tadi, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk mendengar rayuan Abu Hasan dari Barisan Nasional (BN) yang minggu lalu diisytiharkan sebagai bukan lagi wakil rakyat Kota Siputeh pada pukul 2.30 petang.

Kamaludin mengesahkan Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan mereka berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan agar diadakan pilihan raya kecil.

Dalam pada itu, anggota pasukan peguam yang mewakili Speaker Kedah ketika dihubungi melahirkan rasa terkejut dengan perkembangan tersebut.

Peguam Edmund Bon yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, perkembangan tersebut itu menyamai situasi ketika kes krisis Perak awal tahun ini.

“Pasukan yang sama, sifat kes yang sama,” kata Bon sambil menambah beliau terpaksa membatalkan segala temu janji sepanjang hari ini untuk bergegas ke Putrajaya.

 

Comments (5)Add Comment

Write comment

busy