Anwar menang saman NST RM100 juta tapi dapat RM100,000

TERKINI

Oleh Debra Chong

KUALA LUMPUR, Nov 25 —  Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menang kes saman fitnah terhadap akhbar New Straits Times (NST) yang menyiarkan satu rencana, tujuh tahun lalu, didakwa mengaitkannya sebagai ejen Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pembangkang itu mengemukakan saman RM100 juta tetapi Mahkamah Tinggi hanya memutuskan ganti rugi RM100,000 hari ini.

Sambil menyifatkan tuntutan RM100 juta terlalu tinggi mahkamah “menghadiahkan” RM100,000 dan RM20,000 sebagai kos.

Kadar faedah lapan peratus juga dibenarkan oleh mahkamah.

Anwar saman NST berhubung satu rencana bertajuk Anwar”s link to US lobbyist yang disiarkan tujuh tahun lalu, mengaitkannya dengan pelobi berpengaruh AS Douglas H Paal.

Ketika ditanya sama ada akan mengemukakan rayuan, peguam-peguam NST berkata mereka perlu menunggu arahan selanjutnya daripada pelanggan mereka.

Peguam Anwar, Karpal Singh memberitahu wartawan bahawa wang bukannya isu dan mereka tidak mengharapkan untuk mendapatkan RM100 juta sebagai ganti rugi.

“Ia soal prinsip,” kata beliau yang juga Pengerusi DAP di sini.

Dengan merujuk kepada keterangan bekas pengarah siasatan badan pencegahan rasuah Abdul Razak Idris pada 11 November lalu, Karpal menambah, Anwar telah lama dibersihkan daripada tuduhan-tuduhan rasuah oleh agensi antirasuah.

Hakim Mahkamah Tinggi Harmindar Singh Dhalliwal ketika membacakan penghakiman setebal 45 halaman berkata penulis, Datin Rose Ismail, 54 telah gagal membuktikan niat yang “adil, tidak berkepentingan dan berkecuali” apabila menghasilkan rencana itu.

Katanya, kes hari ini bukan sahaja satu saman fitnah malah ia berkaitan “kebebasan menyatakan pandangan dan peranan berkaitan dengan media.”

Dalam tuntutannya Anwar mendakwa artikel yang disiarkan NST itu memberi gambaran beliau pemimpin yang tiada integriti, tidak boleh dipercayai, tidak amanah, terlibat dalam rasuah dan menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan peribadi dan ejen AS.

Dalam saman yang menamakan NSTP dan bekas ketua pengarang kumpulan Tan Sri Abdullah Ahmad selaku pihak defendan, Anwar mendakwa artikel tersebut telah merosakkan nama baiknya.

 

Comments (2)Add Comment

Write comment

busy