KOTA BARU, Dis 4 — PAS Kelantan hari ini menunjukkan kekuatannya dalam mempertahankan kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan mengetuai satu perhimpunan seramai 5,000 rakyat bagi mengisytiharkan sokongan kepada Mursyidul Am PAS itu.
Perhimpunan itu yang bermula dengan kuliah mingguan Nik Aziz di ibu pejabat PAS Kelantan dekat sini, berakhir dengan penyerahan memorandum sokongan oleh Setiausaha PAS negeri Mohd Zaki Ibrahim.
“PAS Kelantan tetap memberi sokongan dan taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap kepimpinan Nik Aziz dalam pentadbiran dan parti,” katanya seperti dipetik Bernama.
Perhimpunan hari ini yang juga disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelantan, turut bertujuan menyokong usaha kerajaan negeri dalam menuntut royalti minyak dari kerajaan persekutuan.
Turut hadir dalam perhimpunan itu Exco kanan kerajaan negeri, Datuk Husam Musa yang mempertahankan doa Nik Aziz dalam menuntut royalti minyak.
Beberapa sepanduk dan kain pemidang turut dipasang di sekitar lokasi itu sebagai tanda sokongan dengan sebilangan anggota Pemuda parti memakai lilit
kepala berwarna merah yang bertulis “We Love Tok Guru”.
Wakil masyarakat minoriti di Kelantan turut memberikan ucapan pada perhimpunan yang berlangsung selama kira-kira setengah jam itu.
Selasa lepas kira-kira 200 anggota Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan yang dipimpin Timbalan Ketua Umno Pasir Mas, Che Johan Che Pa mengadakan tunjuk perasaan di pintu masuk pejabat pentadbiran kerajaan negeri Kelantan di Kota Darul Naim menuntut Nik Aziz meletakkan jawatan atas doanya kepada Datuk Seri Najib Razak dan Umno.
Nik Aziz dalam khutbah Aidiladha minggu lepas menggesa para jemaah supaya berdoa agar hati Najib dibuka untuk membayar royalti minyak kepada kerajaan Kelantan.
Beliau juga berkata akan mendoakan kecelakaan ke atas Najib dan Umno sekiranya royalti minyak itu tidak dibayar.
Doa kontroversi Nik Aziz itu telah digunakan oleh pemimpin Umno untuk menekan Mursyidul Am PAS itu.
Selain perhimpunan hari ini, pemimpin PAS di Mekah turut menganjurkan majlis sembahyang hajat di tanah suci umat Islam itu memohon bantuan Tuhan bagi menyelesaikan kemelut tuntutan royalti minyak negeri itu.





