
TERKINI
Oleh G. Manimaran
SHAH ALAM, Jan 21 — Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad (gambar) mahu kepimpinan dua institusi agama di Selangor — Jais dan Mais — dirombak selaras dengan pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat agar isu-isu semasa menyentuh umat Islam di negeri itu dapat ditangani dengan harmoni.
Wakil rakyat PAS itu berkata, ke arah penilaian kembali sesuatu pendirian dan pendekatan, beliau berkeyakinan masanya telah tiba untuk “ulama-ulama” yang selama ini dipinggirkan oleh pentadbiran lama atas sebab kepentingan politik mereka, diberi peluang dan kedudukan yang sewajarnya dalam institusi keagamaan negeri Selangor dengan naiknya pentadbiran baru.
“Mungkin dengan itu akan ditangani semua persoalan dengan lebih baik dan bertanggungjawab,” kata beliau di sini hari ini.
Sambil menjelaskan kepimpinan semasa kedua-dua Jais dan Mais dilantik oleh pentadbiran lama pimpinan Umno-BN yang memerintah sehingga Mac 2008, “mereka tidak gembira dan tidak memberikan kerjasama penuh kepada pentadbiran semasa.”
“Mereka bertindak dengan bebas,” kata beliau kepimpinan kedua-dua agensi itu bercanggah pendirian dengan kerajaan negeri.
Oleh kerana mereka tidak memberikan kerjasama yang baik, tegas Khalid, kepimpinan Jais dan Mais perlu diubah.
“Ya, mereka perlu ditukar, Mais dan Jais patut berada di bawah kepimpinan yang mempunyai latar belakang agama, jadi mereka boleh selesaikan masalah-masalah yang timbul,” katanya.
Ini bukan kali pertama Khalid, bekas timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor “bertembung” dengan Jais dan Mais dalam banyak isu.
Khamis lalu, Jais meminta Khalid supaya tidak mempertikaikan pendirian dan arahan pihaknya dan juga Mais berhubung isu penggunaan kalimah “Allah”.
Khalid berkata beliau akan membawa syor itu ke peringkat atasan termasuk kepada Sultan Selangor jika mendapat peluang.
Dalam kenyataan bertulis yang dikeluarkan pada sidang media itu, Khalid menafikan tuduhan 16 pertubuhan bukan kerajaan bahawa beliau memberikan ucapan mencabar, memperlekeh dan mempertikaikan kedudukan Sultan Selangor ketika menyampaikan ceramah di Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pada 12 Jan lalu.
“Saya ingin menafikan tuduhan tersebut dengan sekeras-kerasnya.
“Pada hakikatnya ucapan saya bertujuan untuk menghalang golongan yang berkepentingan daripada menggunakan institusi di bawah naungan Sultan Selangor untuk tujuan politik mereka.
“Peringatan dan teguran saya bertujuan untuk menghalang nama baik baginda Sultan dari tercemar atas perbuatan yang tidak bertanggungjawab seperti ini,” katanya.
Tegas Khalid, usaha mengheret institusi di bawah naungan Sultan Selangor ke dalam kancah politik dilakukan oleh golongan yang berkepentingan, bukan beliau.
“Sekiranya 16 NGO berkenaan ingin membidas sesiapa demi menjaga nama baik Sultan, maka golongan inilah yang sepatutnya menjadi sasaran mereka. Bukan diri saya,” katanya lagi.
Pada 18 Jan lalu 16 NGO lagi telah membuat laporan polis terhadap Khalid berhubung isi ucapannya di MPSJ bahawa Khalid telah mencabar, memperlekeh dan mempertikaikan kedudukan Sultan Selangor, dan mengheret baginda ke kancah politik.
“Usaha mengheret institusi di bawah naungan Sultan ke dalam kancah politik jelas kelihatan apabila demonstrasi diadakan di dalam Masjid Negeri pada 8 Jan.
“Demonstrasi tersebut disebut umum sebagai anjuran Jais dan Mais walaupun dinafikan oleh mereka kemudiannya,” katanya.
Khalid menambah penafian itu pula tidak mengutuk tindakan berdemonstrasi di dalam masjid khususnya di Masjid Negeri.
“Ini menimbulkan tanda tanya sepertimana juga kandungan khutbah pada hari berkenaan yang bagaikan senada dan seirama dengan apa yang dilaung-laungkan oleh para pendemonstrasi,” katanya lagi.





