PUTRAJAYA, Feb 5 — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata umat Islam perlu menghayati dan mengamalkan konsep Wasatiyah yang akan melahirkan satu ummah yang progresif.
Katanya, Wasatiyah yang bermaksud sederhana, pertengahan dan seimbang akan melahirkan ummah yang berpaksikan kekuatan keimanan kepada Allah, tanpa mengabaikan kebajikan rakyat, tanpa mengira bangsa dan agama, dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.
Najib berkata dalam merealisasikan Gagasan 1 Malaysia yang lebih memfokus hala tuju umat Islam di negara ini, satu konsep yang bersifat komprehensif dan bersepadu perlu dirintis selaras dengan tuntutan agama Islam bagi menangani pelbagai isu dan masalah semasa yang berlaku.
Konsep Wasatiyah atau kesederhanaan ini adalah baik dan sangat digalakkan oleh Islam kerana perbuatan yang lebih daripada yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap melampau begitu juga perbuatan yang kurang daripada yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap suatu kecuaian.
“Maka umat Islam tidak boleh jumud dan ekstrim begitu juga tidak boleh terlalu bebas lepas tanpa sempadan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis perjumpaan bersama Ulama dan Umara dan pelancaran Gagasan 1 Malaysia dan Logo 1 Ummah peringkat agensi-agensi agama seluruh Malaysia.
Najib turut memetik Surah Al Baqarah ayat 143 yang mengatakan umat Islam di sebut sebagai “umat pertengahan atau ummatan wasatan” iaitu pertengahan segala pembawaannya, tidak melampaui dan tidak keterlaluan dalam menganut kepercayaannya, termasuk akhlak, amalan dunia dan akhiratnya.
“Sememangnya konsep wasatiyah ini menekankan amalan ajaran Islam secara sederhana, berimbang dan syumul dalam segenap bidang kehidupan individu dan masyarakat,” katanya.
“Ia memfokuskan kepada mempertingkatkan kualiti kehidupan ummah sama ada dari segi ilmu pengetahuan, pembangunan insan, sistem ekonomi dan kewangan, pertahanan, perpaduan dan sebagainya,” katanya.
Najib juga berkata bersesuaian dengan slogan pencapaian diutamakan, maka konsep wasatiyah ini akan merealisasikan ajaran Islam yang lebih komprehensif dan syumul serta berimbang antara pelbagai tuntutan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Islam contoh.
“Sebuah negara yang maju dan disegani serta bertoleransi dan berimbang dari segenap bidang,” katanya.





