SINGAPURA, Feb 5 — Mungkin ramai warga Singapura tidak berapa mengenali Sultan Kelantan sekarang iaitu Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.
Tetapi tidak demikian bagi jemaah muslimin dan muslimat yang sentiasa beribadat di Masjid Al-Falah di Cairnhill Place dekat Jalan Orchard.
Sejak baginda gering dan dibawa ke Singapura untuk diberi rawatan perubatan di Hospital Mount Elizabeth mulai 24 Mei lalu, jemaah masjid itu yang terdiri dari warga Singapura dan pelawat luar tidak jemu-jemu mendoakan agar baginda cepat sembuh dari sakit.
Pada setiap kali waktu sembahyang Jumaat dan ada ketika pada sembahyang lima waktu, jemaahnya dengan dipimpin oleh imam masjid akan membacakan doa dan menyedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada baginda.
Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Falah, Yahya Hashim berkata hari ini pihaknya memang telah mengatur supaya bacaan doa diadakan untuk Sultan Kelantan semoga baginda cepat sembuh sejak dimasukkan ke hospital.
Menurutnya beberapa wakil masjid itu termasuk beliau sendiri turut pernah menziarahi Sultan Kelantan selepas baginda dimasukkan ke hospital pada tahun lalu.
Hospital Mount Elizabeth hanya terletak kira-kira 100 meter sahaja dari Masjid Al-Falah.
Pada Rabu lepas kerabat Sultan Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah berkata Tuanku Ismail Petra kini telah beransur pulih dan sudah boleh bertutur.
Katanya baginda sudah mula menunjukkan minat untuk mengetahui mengenai perkembangan dalam negara, khususnya negeri baginda sendiri.
Baru-baru ini juga dilaporkan, kerajaan negeri Kelantan berura-ura hendak memindahkan baginda ke Hospital Kuala Lumpur dalam masa terdekat tetapi ianya masih belum dapat diputuskan baik oleh kerajaan negeri atau pihak Istana Kelantan. — Bernama





