YBK: Laporan polis dakwa MB Selangor salah guna kuasa

SHAH ALAM, 7 Feb - Permodalan Yayasan Basmi Kemiskinan Sdn Bhd (PYBK), anak syarikat Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) pada Ahad membuat laporan polis berhubung salah guna kuasa oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu tanah milik yayasan itu.

Laporan polis itu dibuat oleh salah seorang Pengarah PYBK, Mohamed Tamin Mohd Yusof di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini yang turut disertai oleh Pengerusi YBK Datuk Zainal Abidin Sakom.

Aduan dibuat selepas Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor memulangkan kepada PYBK cukai tanah yang telah dibayar oleh syarikat itu pada Ogos 2009 dengan cek bernilai RM1.28 juta pada 4 Februari lepas, kata Zainal Abidin kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

“Apa alasan (MB Selangor) untuk dipulangkan kepada kita? Ini memperlihatkan bahawa satu penyalahgunaan kuasa dibuat di waktu bayaran ini dipulangkan,” katanya.

Cukai tanah bernilai RM1.28 juta itu adalah untuk tanah seluas 88.4 hektar milik YBK di Serendah yang dirancang untuk pembangunan kampus baru Universiti Teknologi MARA (UiTM) bernilai RM300 juta.

Beliau berkata tanah seluas 88.4ha itu adalah tanah lain yang tidak ada kait mengait dengan tunggakan tanah YBK berjumlah RM5.7 juta yang pembayaran berjumlah RM5.43 juta dibantu oleh Yayasan Melaka.

Pada 3 Februari lepas, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor mengambil keputusan mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor memulangkan pembayaran itu dengan cek kepada YBK.

Zainal Abidin berkata pegawai-pegawai daripada Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor tidak ada bidang kuasa untuk menyerahkan kembali wang pembayaran cukai tanah itu dan mereka mendakwa “diarah” untuk berbuat demikian.

Kerajaan tidak berhak memulangkan cukai-cukai yang telah dikutip dari rakyat kerana apabila wang itu dimasukkan ke dalam akaun kerajaan ia menjadi hak rakyat dan rakyat sahaja berhak memulangkan wang itu kerana kerajaan hanya sebagai pemegang amanah kepada perbendaharaan negeri, kata Zainal.

Beliau mendakwa tindakan itu bermotifkan politik di mana YBK terpaksa melalui kerenah-kerenah birokrasi apabila permintaan kerajaan negeri supaya Menteri Besar menjadi Pengerusi YBK tidak dilayan dan kemungkinan lambat laun tanah itu akan dirampas juga.

Zainal berkata beliau yang melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sekembalinya dari mengerjakan umrah di Mekah kerana tindakan itu menafikan hak-hak asasi YBK dan para penduduk sekitar tapak cadangan projek pembangunan kampus baru UiTM itu yang bakal menerima faedah daripada pembinaan kampus UiTM di sana.

Dengan pembangunan kampus UiTM di Serendah, para pemilik tanah di kawasan itu dianggarkan akan mendapat pulangan bernilai berbilion ringgit dalam tempoh 10 tahun, katanya. – Bernama

 

Comments (0)Add Comment

Write comment

busy