KUALA LUMPUR, Feb 9 — Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sanggup berhadapan dengan rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) yang tidak sehaluan semata mata untuk menjaga kepimpinan yang diamanahkan oleh rakyat dalam pilihan umum ke-12 dua tahun lalu.
“Jika dulu kawan, sekarang lawan, nak buat macam mana. Mereka yang pilih macam tu.
“Demi perubahan Pulau Pinang, saya sedia menerima risiko,” kata Lim dipetik Harakah Daily.
Baru-baru ini beberapa wakil rakyat PKR di Pulau Pinang mempertikaikan kepimpinan Lim dalam menerajui kerajaan negeri itu.
Ahli Parlimen PKR, Tan Tee Beng (Nibong Tebal), menyokong pemimpin parti itu Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim dari Bayan Baru dengan melabelkan Lim sebagai pemimpin tidak ada kelas.
Tan dan Zahrain didakwa berkongsi masalah kekecewaan politik dengan mengeluarkan kenyataan negatif melalui media.
Zahrain berkata Lim merupakan seorang diktator, cauvinis dan berfikiran komunis manakala semalam Tan menyatakan sokongan terhadap Zahrain.
Tan lebih lantang lagi dengan menyelar pemimpin PKR di Pulau Pinang yang didakwanya gagal mempertahankan kedudukan mereka dalam PR negeri.
Beliau malahan memberi amaran bahawa PKR akan berputih mata jika pemimpin lemah dan terus tunduk kepada telunjuk Lim.
Sehubungan itu kata Lim, kerajaan negeri tidak akan mengubah dasar Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT) untuk memenuhi hasrat rakan-rakan.
“Sebaliknya jika sesiapa yang mahu projek, mereka kena ikut cara tender terbuka tidak melalui ‘kabel politik’ macam dulu di zaman Barisan Nasional,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih berkata, sekarang kerajaan negeri telah memperkenalkan tender terbuka menerusi hujung jari, tidak lagi perlu menulis borang.
Tambahnya, cara berkenaan lebih efisyen dan pantas sesuai dengan era teknologi terkini di mana manusia terlampau sibuk dengan berbagai urusan peribadi, perniagaan ataupun apa sahaja.
Menyentuh mengenai isu dua Ahli Parlimen berkenaan, beliau menambah, bagi merealisasikan pemerintahan yang dinamik, bertamadun dan berkeyakinan pasti muncul rintangan sama ada dalaman ataupun luaran.
“Sudah menjadi kebiasaan bila nak buat baik mesti ada rintangan. Tak apa, sudah lumrah, yang penting kita mesti hadapinya dengan tenang walaupun berisiko,” kata beliau.
Beliau sedar sebenarnya yang menjadi dalang di sebalik pelbagai peristiwa sepanjang dua tahun pemerintahan PR ialah Umno dan komponen BN.
Katanya, kepimpinan mereka tidak akan duduk diam memikirkan bagaimana untuk menjatuhkan PR yang jauh lebih kemampuan dan baik berbanding BN yang sudah 50 tahun memerintah.
Menurutnya, pemimpin BN mengambil kesempatan terhadap kuasa yang diberikan oleh rakyat untuk menambah karung kocek sendiri.
“Jika Umno dan BN benar-benar ikhlas berjuang terhadap bangsa, apa salahnya mereka membantu kerajaan sekarang untuk meningkatkan pendapatan negeri di samping memberi pandangan bernas berhubung kepentingan bersama.
“Elakkan pertembungan yang berterusan. Jangan jadikan perbezaan politik mengakibatkan kita sama-sama rugi padahal negeri lain mengecapi pembangunan,” ujarnya.
Semalam Lim berkata daripada 66 projek kerajaan Pulau Pinang dalam tempoh dua tahun lepas, 44 daripadanya bernilai RM68 juta diberikan kepada kontraktor Melayu.
Projek-projek itu adalah berkaitan dengan kerja pemasangan paip oleh Perbadanan Bekalan Air (PBA), katanya kepada pemberita hari ini.
Lim juga berkata sebanyak 70 peratus daripada keseluruhan projek oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) juga diberikan kepada kontraktor Melayu.
Bagaimanapun beliau tidak menyebut nilai projek-projek itu.
Katanya dengan amalan sistem tender terbuka, kontraktor yang mempunyai kebolehan tidak perlu lagi ke luar negara untuk mendapatkan projek.





