Duta Malaysia ke Qatar dilantik duta baru IAEA

KUALA LUMPUR, 10 Feb — Duta Malaysia ke Qatar Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob telah dilantik sebagai Gabenor baru ke Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Muhammad Shahrul Ikram menggantikan Datuk Mohd Arshad M. Hussain yang kontrak beliau dijadual tamat pada 12 Mac ini.

Sehubungan itu, Anifah menafikan laporan media sebelum ini bahawa Mohd Arshad disingkirkan daripada jawatannya.

“Ini adalah proses biasa untuk kerajaan melantik duta baru menggantikan duta yang telah tamat tempoh kontraknya bagi memberi laluan kepada bakat baru,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Anifah berkata beliau telah menyampaikan surat pelantikan Muhammad Shahrul Ikram kepada Ketua pengarah IAEA Yukida Amano pada 4 Feb lepas.

Muhammad Shahrul Ikram merupakan seorang diplomat kanan dengan pengalaman luas dalam hal ehwal multilateral.

Beliau sangat mengetahui dengan kerja-kerja IAEA, setelah berkhidmat sebagai Wakil Gilir Residen Malaysia ke IAEA dari tahun 2002 sehingga 2005, kata Anifah.

Duta Malaysia ke Qatar itu juga telah berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Politik Multilateral di Kementerian Luar dari tahun 2005 hingga 2007 yang bertanggungjawab antara lain dalam hal ehwal IAEA, katanya. — Bernama

Comments (2)Add Comment

Write comment

busy