Nik Aziz: Umno ragut suasana aman negeri diterajui Pakatan

KOTA BARU, Feb 10 — Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan suasana aman di lima negeri Pakatan Rakyat diragut Umno apabila melakukan kudeta di Perak awal tahun lalu.

Sedangkan kata Menteri Besar itu, selepas pilihan raya umum lalu, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan berada dalam keadaan aman.

Semalam Mahkamah Persekutuan memutuskan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Kes itu dibawa oleh Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dari PAS selepas kerajaan negeri tumbang ekoran tindakan tiga Adun Pakatan Rakyat keluar parti masing-masing dan menyokong Barisan Nasional.

“Pergolakan berlaku bermula dengan hari rampasan kuasa sehingga tidak berkesudahan sebagaimana dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Kelantan alhamdulillah termasuk tidak berlaku huru-hara kerana tidak berlakunya perancangan rampasan kuasa,” kata beliau ketika ditemui selepas majlis jamuan perpisahan dua bekas setiausahanya, Annual Bakri Haron dan Mohd Saiba Yaakub.

Annual meletak jawatan sebagai setiausaha politik akhir tahun lepas dan Mohd Saiba tamat kontrak pelantikan awal bulan ini.

Nik Abdul Aziz (gambar) berkata, berlakunya rampasan kuasa di Perak menyebabkan rakyat sedar kerja tersebut merupakan perkara mungkar yang tidak bermoral.

Oleh itu, beliau meminta orang ramai melahirkan rasa benci kepada mereka yang menggadaikan maruah rakyat dengan melakukan kudeta.

Perasaan benci wajar ditanam terhadap mereka yang kufur dan fasik kerana Islam mengajar agar menanam kebencian terhadap golongan seperti itu, kata beliau dipetik Harakah Daily.

Beliau juga berkata, tidak wajar dilakukan demontrasi terhadap penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan Herald memandangkan ia telah lama digunakan bukan Islam di tanah Arab.

 

Comments (6)Add Comment

Write comment

busy