Bahasa

Makanan halal di Beijing

Oleh Uthaya Sankar SB
July 21, 2011

Uthaya, Izan, Jasmine dan Fadzillah tidak menghadapi sebarang masalah mencari restoran makanan halal di Beijing.Uthaya, Izan, Jasmine dan Fadzillah tidak menghadapi sebarang masalah mencari restoran makanan halal di Beijing.BEIJING, 21 Julai — Masyarakat Islam yang melancong ke Beijing, China sepatutnya tidak risau memikirkan soal mendapatkan makanan yang menyelerakan dan dijamin halal.

Sebelum ini, saya sering mendengar ramai orang beragama Islam merungut dan mengeluh apabila timbul keperluan untuk ke Beijing sama ada atas urusan kerja atau untuk bercuti.

Pada dasarnya, rata-rata berpendapat bahawa pasti sukar untuk mendapatkan makanan yang dijamin halal memandangkan kedai makan dan restoran dimiliki orang China yang bukan beragama Islam.

Maka, secara automatik diandaikan dan timbul prejudis bahawa masakan akan bercampur kandungan tidak halal dan makanan yang dihidangkan tidak memenuhi kriteria ‘halal’ mengikut hukum Islam.

Hakikat sebenar adalah sebaliknya kerana di seluruh Beijing, tidak sukar mendapatkan hidangan masakan yang dijamin halal dan disediakan sepenuhnya mengikut syarat agama.

Perkara ini lebih nyata khasnya di Niujie, daerah Xuanwu dengan sekitar 10,000 penduduk beragama Islam serta merupakan lokasi Masjid Niujie iaitu masjid terbesar dan tertua di Beijing sejak tahun 996.

Saya bersama-sama Jasmine Koh, Nurul Fadzillah dan Izan Ali tidak menghadapi sebarang masalah untuk mendapatkan makanan halal sejak kami tiba di Beijing pada 12 Julai atas tajaan syarikat penerbitan One Nusantara Sdn Bhd.

Kuih-muih tradisional Cina yang halal juga terdapat di Beijing.Kuih-muih tradisional Cina yang halal juga terdapat di Beijing.Tan See Hua, pemuda dari Tangkak, Johor, yang menjadi pemandu pelancong kami sehingga 20 Julai sentiasa membawa kami ke kedai makanan dan restoran makanan halal milik orang Islam.

“Kebanyakan pengusaha, tukang masak dan pekerja di restoran halal di Beijing khasnya adalah orang China beragama Islam yang berasal dari wilayah Xinjiang.

“Sejak tiba di Institut Teknologi Beijing (BIT) dua tahun lalu untuk melengkapkan pengajian peringkat PhD, saya selalu juga bersama-sama rakan-rakan beragama Islam dari Malaysia dan Pakistan ke restoran halal di sini,” katanya.

Beberapa pelancong dari Malaysia yang sempat saya temui di sekitar Jinsong mengakui bahawa makanan di hotel tempat mereka menginap memang halal tetapi kurang menyelerakan.

“Kami datang ke Beijing bukan untuk makan ayam, ikan dan telur goreng yang dimasak sama seperti orang Melayu di Malaysia, sebaliknya untuk menikmati masakan gaya China yang tetap halal,” kata mereka yang ternyata kecewa kerana rombongan pelancongan selama enam hari tidak membuka peluang untuk mereka menjamah masakan tempatan.

Perkara itu turut diakui Izan, Jasmine dan Fadzillah yang begitu berselera menikmati pelbagai masakan tempatan yang halal sebagai sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

“Pelancong Malaysia yang datang ke Beijing perlu ingat bahawa gaya masakan di sini berbeza dengan di negara kita. Malah, amat rugi jika kita asyik meminta makanan sama seperti di Malaysia sedangkan begitu banyak restoran Islam yang menyajikan masakan China terdapat di seluruh Beijing,” ujar Fadzillah yang tidak sedikit pun was-was terhadap tahap kehalalan makanan di restoran Islam yang dikunjungi.

Bagi Izan pula, dia sering mendengar orang Malaysia yang pernah ke Beijing merungut bahawa makanan di sini tidak sesuai bagi masyarakat Islam dan rasanya juga tidak sedap.

“Selama 10 hari saya di Beijing, saya tidak menghadapi apa-apa masalah. Malah saya sedikit pun tidak rindu akan masakan Melayu kerana begitu teruja menikmati masakan gaya China yang terjamin halal,” katanya yang menyertai projek menghasilkan buku panduan pelancongan ke Beijing khas bagi penduduk Islam dari Malaysia.

Fadzillah menambah bahawa makanan halal gaya China memang sedap, membuka selera, sesuai dengan tekak, berlainan, tidak berminyak dan menyihatkan.

“Kita sepatutnya mencuba masakan tempatan yang halal kerana ia sebahagian budaya masyarakat Islam di China yang wajar dikenali dan dihayati,” katanya dengan penuh semangat semasa kami menikmati makan tengah hari di sebuah restoran halal di Liulichang yang terkenal dengan kedai-kedai barangan tradisional.

“Restoran ini bukan milik penduduk dari daerah Xinjiang tetapi orang Beijing beragama Islam. Jadi, kehalalan makanan dan minuman di sini memang terjamin,” See Hua pula menerangkan sambil menunjukkan tulisan kaligrafi Arab di pintu masuk restoran yang boleh dijadikan panduan memilih kedai makanan halal.

Jasmine yang sedang belajar di Universiti Adelaide, Australia pula seronok kerana berpeluang menikmati masakan masyarakat Cina bersama-sama Izan dan Fadzillah kerana suasana seperti ini biasanya hampir mustahil berlaku di Malaysia memandangkan restoran makanan Cina sama ada tidak halal atau dikhuatiri tidak memenuhi kriteria halal.

“Saya sangat seronok kerana dapat berkongsi maklumat mengenai makanan kaum Cina bersama-sama mereka dalam suasana penuh muhibah dan tanpa apa-apa rasa was-was terhadap tahap halal juadah yang dinikmati, sama ada makan tengah hari atau kuih-muih tradisional,” katanya yang mengakui amat menghargai pengalaman selama sembilan hari bersama kami di Beijing.

Bagi saya sendiri yang tidak biasa menggunakan kayu penyepit untuk makan, tiba-tiba sahaja saya memilih untuk menggunakannya sejak tiba di Beijing. Malah amat menakjubkan bahawa saya boleh menggunakannya secara yang amat membanggakan.

Begitu juga dalam soal minum teh. Di Malaysia, saya sentiasa minum ‘teh tarik manis’ tetapi sepanjang 10 hari di Beijing, saya sudah biasa minum teh Cina tanpa gula dan susu.

Maka, amat sayang jika mana-mana individu dari Malaysia yang melancong ke Beijing khasnya dan China amnya memilih untuk bersikap seperti kera sumbang dan langsung tidak mahu mencuba masakan tempatan walaupun dijamin halal.

Akibatnya, pihak yang rugi adalah individu itu sendiri kerana ‘hilang’ peluang melalui sendiri pengalaman hebat yang mungkin datang sekali sahaja dalam hidupnya.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi