DIS 2 — Salam Aidiladha atau Selamat Hari Raya Haji diucapkan kepada semua umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia yang menyambutnya. Apabila berbicara mengenai Hari Raya Haji, kita tidak akan dapat lari daripada memikirkan mengenai ibadah Haji yang sedang dijalankan oleh Umat Islam terutamanya jika terdapat ahli-ahli keluarga kita yang sedang berada di Kota Mekah untuk menyempurnakan ibadah tersebut.
Pada ketika ini, jutaan umat Islam sedang berada di Tanah Suci Mekah bagi mengerjakan ibadah Haji.
Diantara jutaan umat Islam yang sedang melaksanakan ibadah Haji di Mekah pada ketika ini adalah orang Malaysia. Dan orang Malaysia yang berada di Kota Mekah pula boleh jadi terdiri daripada orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain lagi.
Ini adalah kerana di Malaysia selain daripada majoriti orang Melayu beragama Islam, kita juga mempunyai orang-orang dari bangsa Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain lagi yang turut menganut agama Islam.
Berjuta ringgit telah dibelanjakan dan akan terus dibelanjakan bagi umat Islam di Malaysia bagi menunaikan ibadah Haji. Telah ramai rakyat Malaysia yang bergelar Haji dan Hajah.
Ramai juga rakyat Malaysia yang telah menunaikan ibadah Haji lebih daripada sekali malahan ada yang telah mencapai berpuluh-puluh kali.
Akan tetapi, apakah yang mereka pelajari daripada ibadah Haji? Apakah hanya untuk menunjuk-nunjuk? Apkah menunaikan Haji telah dianggap sebagai satu simbol kekayaan?
Saya timbulkan permasalahan ini oleh kerana walaupun telah ramai rakyat Malaysia yang berbilang bangsa telah menunaikan ibadah Haji, masalah perkauman di dalam negara masih belum selesai dan terus menjadi senjata pihak-pihak tertentu untuk meneruskan legasi politik.
Mengapakah saya kaitkan isu perkauman dengan ibadah Haji? Apakah kaitannya dengan Malaysia yang mempunyai rakyat yang berbilang bangsa dan agama?
Ibadah Haji dan Isu Perkauman
Apabila seseorang itu menunaikan ibadah Haji, sejak dari awal ibadah tersebut lagi mereka telah diajar bahawa semua manusia adalah sama tidak kira dari mana asal keturunan mereka dan pangkat atau jawatan apa yang mereka pegang.
Seseorang yang menunaikan ibadah Haji, tidak kira Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan akan memakai pakaian yang sama tidak kira Raja, Sultan, Menteri atau rakyat biasa.
Menurut Dr. Ali Shariati, seorang pemikir yang memberikan sumbangan besar dalam Revolusi Iran pada tahun 1979 di dalam bukunya yang bertajuk “Hajj” (Haji), dalam ibadah Haji, perbezaan diantara manusia dari segi bangsa, negara, kelas, sub-kelas, kumpulan dan keluarga telah hilang sebaik sahaja ibadah Haji bermula apabila mereka mula memakai “Ihram”.
Semua yang mengerjakan ibadah Haji, tidak kira lekaki dan perempuan, Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan terpaksa meninggalkan pakaian mereka di Miqat dan memakai Ihram sepertimana yang lain-lain. Selepas berihram, semua menjadi sama tidak kira apa bangsa, pangkat atau status ekonomi mereka.
Lihatlah bagaimana ibadah Haji telah mengajar umat Islam bahawa Allah S.W.T tidak membeza-bezakan umat Nya mengikut bangsa.
Tetapi mengapakah masih ramai orang Malaysia yang telah berkali-kali menunaikan ibadah Haji masih lagi gagal untuk memahami konsep yang paling asas dalam menunaikan ibadah Haji iaitu Islam tidak membeza-bezakan penganut Nya mengikut bangsa?
Apakah gunanya ke Kota Mekah setiap tahun untuk menunaikan ibadah Haji sekiranya selepas selesai menunaikan Haji, kita masih lagi memandang manusia lain mengikut bangsa dan warna kulit mereka?
Malaysia dan isu perkauman
Sehingga kini, masalah perkauman masih belum dapat diselesaikan walaupun Malaysia yang ditubuhkan pada 1963 telahpun berusia 46 tahun. Malaysia ditubuhkan apabila Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak bergabung pada 16 September 1963.
Singapura keluar dari Malaysia dua tahun kemudian pada tahun 1965.
Semenjak tertubuhnya Malaysia sehinggalah hari ini kita masih lagi mendengar agenda perpaduan kaum dibincangkan walaupun telah berjuta-juta rakyat Malaysia bergelar Haji dan Hajah.
Terbaru isu perkauman bangkit kembali apabila Adun-adun muda Pakatan Rakyat (PR) negeri Selangor menuntut kerajaan negeri tersebut agar mengharamkan penyertaan mahasiswa dari universiti dan institusi pengajian tinggi negeri Selangor dalam kurus Biro Tatanegara (BTN) anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Adun-adun tersebut membantah penghantaran mahasiswa dari IPT negeri tersebut ke program BTN oleh kerana dikatakan program BTN yang seharusnya memupuk nilai-nilai kenegaraan lebih banyak memuatkan pengisian yang berbentuk kepartian dan perkauman.
Dikatakan juga dalam program BTN, pelajar-pelajar Melayu yang menyertainya diajar bahawa bangsa lain mahu merampas kuasa dari tangan mereka. Malahan ada yang mendakwa fasilitator program BTN mengajar kepada mereka bahawa bangsa Cina adalah “Yahudi” di Asia.
Secara peribadinya, saya sendiri merasa hairan, bagaimana program anjuran BTN yang memupukkan kebencian diantara kaum boleh terus berada di Malaysia dan dianjurkan dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Mengapakah selama ini tidak ada pemimpin negara terutamanya yang telah bergelar Haji atau Hajah yang bangkit untuk menentang program sebegini? Apakah mereka telah lupa ketika berada di Mekah untuk menunaikan Haji, mereka diajar bahawasanya semua manusia tidak kira bangsa, pangkat dan kedudukan adalah sama di sisi Allah S.W.T?
Mengapa sebegitu lama program-program BTN yang telah berjaya menyemai kebencian antara kaum terus berjalan dengan menggunakan wang pembayar cukai negara?
Apakah tidak ada perasaan bersalah untuk terus menggendalikan kursus-kursus seumpama ini terutamanya bagi orang-orang yang telah bergelar Haji atau Hajah?
Diharapkan agar umat Islam terutamanya dari Malaysia yang sedang mengerjakan Rukun Islam yang kelima pada tahun ini akan mendapat pengajaran daripada ibadah tersebut sekurang-kurangnya mengenai isu perkauman.
Sebagai penduduk majoriti di Malaysia, adalah penting untuk Umat Islam terutamanya yang sudah bergelar Haji dan Hajah dan seharusnya lebih faham mengenai konsep Islam yang tidak membeza-bezakan umatnya berdasarkan bangsa dan pangkat agar menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat di negara ini.
Amat memalukan apabila kita mendengar seorang pemimpin yang beragama Islam terutamanya yang telah bergelar Haji dan Hajah mengajar rakyat agar membenci bangsa lain.
Sambil-sambil memakan ketupat, lemang dan rendang pada Hari Raya Haji yang mulia ini, marilah kita bersama-sama menghayati kembali tentang apakah kesalahan-kesalahan yang telah kita lakukan dalam menyemarakkan lagi kebencian kaum dalam negara.
Kita buangkan segala kebencian dan hayatilah pengalaman orang-orang yang telah melaksanakan ibadah Haji dan belajar daripada pengalaman mereka. Manfaatkanlah Haji-haji dan Hajah-hajah yang begitu ramai di negara kita.
Tidak bermakna Malaysia dipenuhi Haji dan Hajah jika isu perkauman masih lagi menjadi batu penghalang kepada negara untuk terus bergerak ke hadapan. Janganlah hanya kerana mahu mempertahankan kekuasaan politik, kita musnahkan negara dengan menyemarakkan kebencian kaum.
Sudah tiba masanya Haji-haji dan Hajah-hajah keluar untuk mengajar rakyat Malaysia bahawasanya disisi Allah S.W.T, semua manusia adalah sama tidak kira dari bangsa atau keturunan mana mereka berasal.







Perkauman wujud kerana ada aksi (action) dan reaksi (reaction) kepada sesuatu isu. Ia tidak wujud di dalam hampagas (vacuum). Jika sekiranya saudara mencadangkan Haji/Hajah (pihak aksi) supaya berubah, bagaimana pula yang bukan Islam waima bukan Haji/Hajah (pihak reaksi)?
Bermain guli pun ada peraturan. Peraturan itu diguna dan dipatuhi oleh semua pemain. Adakah saranan supaya Haji/Hajah meninggalkan perasaan perkauman itu dikenakan kepada semua rakyat Malaysia? Jika tidak, setiap orang akan menggunakan peraturan sepihak (unilateral) yang akan menguntungkan dirinya sendiri. Dan timbullah nanti orang yang berkepentingan berlagak sebagai ketuanya bermati-matian memperjuangkan 'anak-buah-nya'.
Itulah senario yang paling mudah saya paparkan. Tanpa peraturan yang digunapakai dan dipatuhi oleh semua rakyat, perkauman akan tetap wujud. Ia bukan dipadam, malah ditiup supaya lebih marak oleh mereka yang berkepentingan tadi.
That is the most simplistic way I want to present whether your idea is workable. Wallahualam.