KUALA LUMPUR, April 29 — Media kerajaan nampaknya sudah tidak lagi memainkan isu keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap permohonan ADUN Pangkor Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan enam orang ADUN BN yang digantung dari menghadiri sidang DUN Perak.
Mungkin bagi mereka sudah tidak ada modal lagi untuk ditulis selain keputusan mahkamah dan komen Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham dan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang membidas kenyataan Ngeh.
Lagipun bagi sebuah akhbar tertentu berbahasa Melayu yang kononnya menjadi pencanang minda rakyat (walhal sebenarnya menjana segala percubaan menegakkan benang basah Umno) nak tulis banyak-banyak untuk mempertahankan keputusan berkenaan pun susah juga kerana sebahagian besar daripada wartawannya termasuk ketua pengarang berkemungkinan besar tak tahu nak tulis apa tentang undang-undang kerana tak faham undang-undang tapi masih ada hati nak tulis macam Prof Charles Kingsfield (tak fakir mereka tahu siapa dia Charles Kingsfield).
Para pembaca akhbar Harakah dan Harakahdaily sedia maklum tentang betapa tidak lakunya keputusan yang diperolehi oleh Zambry setelah hal tersebut dikupas oleh Mohamad Hanipa Maidin, Ketua Lajnah Undang-Undang PAS dan juga merupakan seorang pengamal guaman.
Seperti Ngeh yang juga merupakan seorang pengamal guaman, kupasan berfakta Mohamad Hanipa sudah tentulah bukan macam hujah sesetengah ahli politik berkelulusan undang-undang atau pengamal guaman yang mempunyai kepentingan dengan parti Umno yang minda guaman atau “legal mind” mereka bertaraf “loyar buruk.”
Apapun, taraf loyar buruk kira okay lagi. Tapi apabila tokoh perundangan dan bekas hakim Mahkamah Rayuan seperti NH Chan menganggap mereka ini seperti Humpty Dumpty (watak berkepala telur yang duduk di atas tembok dan kemudian jatuh lalu pecah sehinggakan raja dan juak-juaknya tidak dapat lagi melekatkannya semula, maka ia adalah satu perkara cukup memalukan.
Barangkali loyar Humpty Dumpty ini terlupa minda perundangan rakyat biasa yang tak pergi sekolah undang-undang tidak lagi sekadar faham kes mudah seperti Doyle lawan White City Stadium malah ada yang boleh bercerita tentang Gideon lawan Wainwright (US Supreme Court) tentang bagaimana mahkamah negeri membuat kesilapan dalam menafsir Perlembagaan negara tersebut.
Memang hakim tidak maksum. Tetapi apabila hakim tersilap memahami bahasa undang-undang mudah yang digunakan dalam Perlembagaan, maka terjadilah seperti apa yang diabadikan oleh Shakespeare dalam drama Hamlet menerusi kata-kata watak Marcellus: Something rotten in the state of Denmark (maksudnya ada sesuatu tembelang dalam negara Denmark).
Tentu sekali anda tidak perlu membaca drama Hamlet, atau membaca novel “Balance of Power” karangan Richard North Patterson atau malah terjebak dengan budaya pop dengan membaca novel “The Associate” karangan John Grisham atau novel “Reversible Errors” karangan Scott Turow untuk memahami apa yang berlaku dalam kes permohonan Zambry.
Memadailah anda membaca komen NH Chan mengenainya. NH Chan pernah mengabadikan ungkapan “All is not well in the House of Denmark” yang maksudnya semua orang semakin tahu.
Untuk para pembaca Harakah & Harakahdaily yang atas apa juga sebab tidak berpeluang membaca komen NH Chan, berikut ini disiarkan semula tulisan/komen beliau mengenai kes berkenaan.
Apabila seorang hakim melakukan kesilapan ?
Dalam akhbar New Sunday Times edisi 19 April, 2009 terdapat kenyataan mengejutkan (disebabkan ia sesuatu tidak betul dalam undang-undang) berpunca daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz menyelar Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham kerana mempersoalkan keputusan Mahkamah Persekutuan bersabit Perak.
Katanya Ngeh tidak sepatutnya mempersoalkan keputusan mahkamah bahawa Speaker DUN Perak V. Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk menggantung Datuk Zambry Abdul Kadir dan enam ADUN Barisan Nasional daripada menghadiri sidang DUN. Mereka digantung kerana berkelakuan tidak profesional awal bulan ini.
Tidak ada soal kehakiman mencampuri badan legislatif sebagaimana yang didakwa oleh Ngeh kerana mahkamah adalah tempat terbaik untuk mendapatkan terjemahan Perlembagaan atau undang-undang, katanya kepada pemberita.
Kata Nazri undang-undang tidak bertujuan melengkapkan seseorang Speaker sebuah dewan undangan dengan kuasa tidak terhad. Setiap orang tahu bahawa Ngeh bercakap tentang Perkara 72(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan:
“Kesahan apa-apa prosiding di dalam Dewan Undangan mana-mana Negeri tidaklah boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.”
Tapi apa yang dikatakan oleh Menteri berkenaan ialah “mahkamah adalah tempat terbaik untuk mendapatkan terjemahan Perlembagaan.” Maka saya ingin bertanya kepada para pembaca sekelian: apakah anda, sebagai anggota masyarakat, memerlukan seorang hakim untuk menterjemahkan Perkara 71, Perenggan (1) di atas?
Tetapi apabila para hakim diminta menggunakan Perenggan (1) Perkara 72 itu, sebagaimana yang kita perhatikan baru-baru ini, mereka telah secara sengaja enggan menggunakan peruntukan perlembagaan sebagai ia sepatutnya dimaksudkan. Kita semua tahu bahawa perkataan-perkataan di dalamnya mempunyai maksud yang sama seperti dinyatakan.
Menurut kamus, perkataan “terjemah” bermaksud “jelaskan makna”. Saya tak fakir kita memerlukan Mahkamah Persekutuan atau mana-mana mahkamah untuk menjelaskan makna Perkara 72 kepada kita semua ? Maknanya cukup mudah bagi rakyat Malaysia biasa untuk memahaminya.
Tidak ada sesiapa yang waras fikirannya akan melakukan percubaan untuk menterjermahkan makna perkataan terkandung dalam Perkara 72(1), melainkan dia mahu mengatakan bahawa perkataan tersebut bermaksud sesuatu yang lain sebagaimana dilakukan oleh Humpty Dumpty dalam buku “Through The Looking Glass” karangan Lewis Carrol.
“Saya tak tahu apa yang kamu maksudkan dengan ‘kemenangan’,” kata Alice.
Humpty Dumpty memberikan senyuman sindiran. “Sudah tentu kamu tak tahu? Sehinggalah aku beritahu. Maksud saya ia adalah sesuatu ketukan yang bagus untuk kamu menyanggah!”
“Tapi ‘kemenangan’ bukan bermaksud ‘satu ketukan untuk menyanggah’,” Alice mempersoalkan.
“Apabila saya menggunakan sesuatu perkataan,” kata Humpty Dumpty dalam nada yang agak menghina, “ia hanyalah bermaksud apa yang saya pilih untuk dimaksudkan ? Tidak lebih dan tidak kurang.”
“Persoalannya,” kata Alice lagi, “adalah sama ada kamu boleh membuat sesuatu perkataan sehingga mempunyai maksud yang amat banyak.”
“Persoalannya,” kata Humpty Dumpty lagi, “adalah kerana menjadi tuan? Itu sahaja.”
Alice terlalu keliru untuk meluahkan sebarang kata-kata seterusnya.
Kemudian, ibarat Humpty Dumpty, Nazri membuat kenyataan “undang-undang (maksudnya Perkara 72(1)? Tidak bertujuan melengkapkan seorang Speaker dengan kuasa tidak terhad.” Tapi itu bukanlah pokok perkara yang dibangkitkan oleh Ngeh.
Jadi bagaimanakan sekiranya Speaker melakukan kesilapan di atas perbuatannya atau perintahnya di dalam dewan? Undang-undang ibu Negara mengatakan “Kesahan apa-apa prosiding di dalam Dewan Undangan mana-mana Negeri tidaklah boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.”
Ini hanya bermaksud apa pun juga perbezaan yang berlaku dalam dewan undangan hanya boleh diselesaikan oleh dewan dan di dalam dewan itu sendiri.Kesahan mana-mana prosiding dalam Dewan adalah terkeluar daripada kuasa mahkamah, kata Perlembagaan Malaysia.
“Undang-Undang” tidak bermaksud, sebagaimana Menteri berkenaan mahu ia dimaksudkan, bahawa ia bermaksud “tidak bertujuan melengkapkan Speaker dengan kuasa tidak terhad.”
Seperti Alice, masyarakat umum menjadi keliru dengan kenyataan serupa itu. Bagaimanapun, mengapakah seorang hakim harus takut kepada kritikan mengenai penghakimannya sekiranya dia tidak melakukan apa-apa kesilapan dan dia hanya menjalankan kewajipannya mentadbirkan keadilan menurut undang-undang.
Para hakim tidak takut kepada kritikan atau merasa geram terhadap kritikan: lihat R lwn Metropolitan Police Commissioner, ex-parte Blackburn (No.2)[1968]2 Q.B. 150 pada halaman 155, di mana Lord Denning berkata: “Kita tidak perlu takut kepada kritikan atau merasa geram mengenainya. Ini kerana keadilan bukannya kebijaksanaan yang terkurung: ia mesti dibenarkan mengalami pemeriksaan dan dihormati, walaupun menerusi kelantangan komen orang biasa.”
Dalam kes Privy Council Ambard lwn Peguam Negara untuk Trinidad dan Tobago [1936] A.C. 322, inilah yang diungkapkan oleh Lort Atkin, pada halaman 355 “sama ada kuasa dan kedudukan seseorang hakim, atau perihal melaksanakan pentadbiran keadilan, tidak ada kesalahan yang telah dilakukan oleh mana-mana anggota masyarakat umum yang menggunakan hak mengkritik yang biasa, secara ikhlas, sama ada secara persendirian mahupun di khalayak umum, perlakuan umum dilakukan dalam perihal keadilan.
Kritikan adalah cara masyarakat umum: mereka yang berminda-salah juga dibenarkan untuk dimaafi; dengan syarat anggota masyarakat tersebut menghindarkan diri dari motif yang tidak sepatutnya terhadap mereka yang terlibat dalam pentadbiran keadilan, dan dengan ikhlas menggunakan hak untuk mengkritik, dan bukan berniat jahat atau melakukan percubaan merosakkan pentadbiran keadilan, maka mereka mempunyai imuniti. — harakahdaily





