NOV 1 — Tohmahan, pemikiran dan ideologi ekstremis serta retorik perkauman kebelakangan ini tidak asing dalam media, terutama sekali disalurkan melalui penulisan blog dan komentar dalam portal berita. Kita lihat di merata dunia, kegunaan teknologi media juga memaparkan sikap yang kolot dan primitif serta pandangan dan kepercayaan yang salah dan ekstrem.
Anehnya, perkara ini yang terlihat di seluruh dunia mula menjelma selari dengan kejatuhan negara komunis dan gelombang globalisasi. Gabungan globalisasi dan internet, selain daripada menonjolkan sifat liberal dan keterbukaan, sebaliknya juga menonjolkan sifat pemikiran yang sempit dan perkauman.
Siapa kata penggunaan teknologi baru membuka pemikiran dan meluaskan pandangan? Jangan kita taksub dengan kebaikan internet dan alam siber dengan mengandaikan bahawa proses pendidikan dan pembelajaran mesti menggunakan komputer. Ia hanya membantu dan menyelaraskan proses pekerjaan kita. Ia tidak semestinya meluaskan pemikiran kita.
Perkara inilah yang sedang berlaku di Malaysia kini. Internet dan ruang siber dibanjiri oleh retorik ras dan rasisme. Media umumnya, sama ada di akhbar vernakular atau dalam laman blog, penonjolan perbincangan bertumpu kepada soal ras dan rasisme, etnisiti dan identiti.
Di kalangan orang Melayu juga, akhbar berbahasa Melayu dilihat sebagai rasis. Malah, komentar pada tahap akademik dan popular, dari dalam dan luar negeri, mengatakan akhbar Melayu, penulis dan wartawan, serta Umno sebagai rasis kian menjadi lumrah, sehinggakan istilah “ethnocracy” digunakan bagi merujuk kepada pemerintahan Umno dan Melayu dalam politik Malaysia sejak lebih daripada lima dekad.
Mereka yang membahaskan dan menjadikan itu sebagai isu seolah-olah berjuang atas dasar anti-ras dan anti-rasisme dengan etik moral dan emosi terbuka dan berintegriti.
Manusia bukanlah malaikat. Kita bukan buta etnisiti dan identiti. Pada masa sama jangan biarkan kita buta dan terus buta sejarah akibat daripada akses dan penggunaan media baru ini. Kemaharajalelaan ekstrema mesti dibendung dan ini dapat dilakukan jika setiap institusi dan warga negara Malaysia mengawal diri.
Namun begitu, saya ingin mengutarakan apa yang berlaku dalam konteks yang melampaui gagasan politik Malaysia. Amalan dan kefahaman mengenai ras dan rasisme berhubungkait dengan pemikiran dan kesarjanaan mengenai kajian ras dan rasisme.
Tuduhan dibuat ke atas orang Melayu, institusi negara dan dasar nasional sebagai rasis boleh dilihat dalam konteks cetusan gelombang pemikiran ideologi dan liberalisme dan kaitannya dengan penjelmaan dan penggunaan teknologi baru.
Kajian mengenai ras, etnisiti dan rasisme menunjukkan perlonjakan dalam masa lebih kebelakangan ini. Selain daripada komentar dan ulasan pada tahap popular, penerbitan akademik dan kesarjanaan melalui monograf, jurnal dan buku daripada pelbagai disiplin dan bidang ilmu telah mencapai ke tahap yang tertinggi dari segi teori dan kajian empiris.
Begitulah yang dinyatakan oleh penyunting buku Theories of Race and Racism: A Reader (2009) terbitan Routledge di Oxon dan New York. Disunting oleh dua profesor sosiologi Les Back dan John Solomos, masing-masing dari Goldsmith College, University of London dan City University, London, edisi pertama buku itu diterbitkan pada 2000.
Umumnya edisi kedua Theories of Race and Racism ini memaparkan kemunculan dan perkembangan ras dan rasisme sebagai satu bidang kesarjanaan dan penyelidikan. Ini tidak begitu kelihatan di Malaysia. Secara kasarnya di Malaysia, kefahaman ras adalah satu amalan pembinaan negara bangsa, perpaduan dan keselamatan negara, kebudayaan dan pengucapan masyarakat. Di Malaysia, tidak ada satu pengiktirafan secara sedar akan pentingnya kajian dan kesarjanaan mengenai ras ini, sehingga tertubuhnya Institut Kajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 8 Oktober 2007.
Cerdik pandai di kalangan kita mesti melihat kaitan kesarjanaan dengan amalan ras daripada perspektif yang rasional. Konsep ras amat berkuasa dan berpengaruh di dunia Barat. Sehingga abad ke-18, pemikiran dominan di Eropah bagi menjelaskan perbezaan di antara kumpulan manusia dibentuk oleh Kitab Taurat (Old Testament) yang menekankan kepada salasilah kaum yang wujud selepas Nabi Adam. Pandangan terhadap orang kulit hitam dirujuk kepada satu sumpah yang kononnya dilakukan oleh Nabi Noh kepada keturunan Ham, dan memerintahkan bahawa kaum Ham perlu menjadi hamba kepada anak-anak Nabi Noh Shem dan Japheth.
Hujah selanjutnya mengenai keturunan ini ialah alasan bahawa perbezaan antara orang Eropah, Afrika atau Asia berulang berkali-kali oleh generasi terkemudian dan dengan itu “bangsa-bangsa” terbabit sudah tentu mempunyai nenek moyang yang berbeza dan berasingan. Ini kemudian menimbulkan kemusykilan mengenai cerita dalam Kitab Taurat itu lalu kesimpulan dibuat bahawa Nabi Adam adalah nenek moyang orang Eropah saja. Orang Afrika dan Asia tidak berketurunan daripada Adam. Pemikiran itulah yang membentuk institusi kolonialisme lalu menganggap manusia bukan Barat sebagai bukan manusia.
Idea mengenai ras tidak wujud pada manusia bukan Barat sebelum zaman moden. Malah di kalangan orang Melayu, misalnya, ras bukan satu konsep dan kategori sebelum zaman moden — jika kita menganggap era dan amalan itu moden bermula dari abad ke-19. Akan tetapi, ras adalah satu konsep analitikal dan kategori yang penting kepada tamadun dan masyarakat Eropah pada abad ke-19 berasaskan kepada nilai yang diletakkan dalam falsafah sejarah Barat.
Eropah mempercayai bahawa kuasanya terletak kepada nilai dan unsur yang wujud pada ras orang kulit putih dan ini menjanjikan ketuanan yang berterusan kepada orang Eropah. Pandangan itu tidak lagi mendapat sokongan pada dua atau tiga dekad kebelakangan ini, tetapi, tempias daripada ideologi itu amat dirasai masyarakat kita.
Sarjana yang memasyhurkan istilah “orientalisme,” Edward Said, seorang Arab Kristian yang berasal dari Palestin, yang mencipta namanya di Amerika Syarikat menyatakan sejak zaman Pencerahan Eropah (Enlightenment), setiap orang Eropah adalah rasis. Maksudnya di sini, rasisme adalah antara tunjang tamadun Eropah dan seterusnya merangka ideologi bagaimana Eropah melihat dunia.
Istilah “rasisme” adalah integral kepada konsep prejudis. Prejudis sebagai satu kategori sosial, tidak boleh lari daripada ruang lingkup kepercayaan ketuanan orang putih — ataupun nasionalisme orang kulit putih. Pada hakikatnya, kolonialisme adalah nasionalisme orang kulit putih yang diperluaskan ke luar wilayah Eropah. Apabila tercetusnya pergerakan nasionalisme di Afrika dan Asia, apa yang sebenarnya terjadi ialah satu prejudis oleh satu ras terhadap ras yang lain. Dalam erti kata lain, prejudis ras yang berlaku di Asia, termasuk Malaysia, tidak berlaku berasingan daripada sejarah orang kulit putih.
Kegiatan memberi nama, atau sifat kepada kelompok manusia mempunyai implikasi kuasa dan pengaruh, justeru membawa implikasi yang amat kompleks dan menghasilkan keadaan yang penuh ketidaksempurnaan. Namun ia menyusun atur pemikiran dan peraturan. Konsep dan amalan penamaan itu mempunyai kuasa mentakrif rujuk misalnya kepada istilah dan kategori Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, serta lain-lain yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Malah, ada blog yang menyatakan orang Melayu berketurunan dan sama rumpun Orang Asli. Jika ini dibiarkan, generasi akan datang (termasuk Melayu) akan menganggap kenyataan itu sebagai satu fakta yang betul dan ini akan menyulitkan lagi keadaan. Perkara seperti ini mesti diperbetulkan secara berterusan. Kita tidak mahu melihat cabaran atas apa yang termaktub dalam perlembagaan itu menjadi satu sistem dan amalan perjuangan yang mengkhianati sesebuah negara yang bertamadun. — Berita Harian





