Membaca kembali minda DAP — Dr Firdaus Abdullah

NOV 13 — Jika masa depan negara di tangan PR

Masa depan PR di tangan siapa?

PAS dan DAP pasti bertengkar

Adakah PKR boleh berdaya?

Wawancara Lim Kit Siang dengan akhbar Sin Chew Jit Poh sedikit masa dulu, menggerakkan saya untuk menyelak kembali apa yang tersirat di sebalik yang tersurat tentang kewujudan DAP.

Pada Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 12) lalu, parti itu memenangi 28 kerusi Parlimen dan 73 kerusi dewan undangan negeri.

Dalam wawancara itu, Lim mengaku wujudnya pelbagai masalah dalam pakatan pembangkang, terutama yang bersabit dengan perbezaan dasar dan ideologi.

Begitu juga cara mengatasi masalah. Malah beliau mengaku tentang “percakaran berterusan” dalam kalangan parti-parti komponen pakatan itu.

Tetapi semuanya itu tidak mematahkan semangatnya untuk berkata: “Masa depan terletak dalam tangan pakatan pembangkang”. Dakwaan Lim itu menyebabkan saya tertanya: “Jika masa depan negara terletak dalam tangan pakatan itu, bukankah ia bermakna negara tidak mempunyai masa depan jika pakatan itu tidak mempunyai masa depan?”

Wawancara dengan Sin Chew Jit Poh itu pada hemat saya mendedahkan persepsi dan penilaian Lim terhadap pakatan pembangkang.

Pakatan itu pada masa ini memang jauh daripada apa yang diharapkan oleh Lim, kecuali barangkali di Pulau Pinang. Malah beliau menganggap (menuduh?) pakatan di Selangor “tiada kepekaan yang waras terhadap krisis”.

Daripada jawapan terhadap pelbagai isu yang dibangkitkan oleh Sin Chew Jit Poh, saya dapat kesan Lim berasa kecewa dan pesimis terhadap prestasi dan hubungan dalam pakatan pembangkang ketika ini. Tetapi beliau cuba memperlihatkan pandangan optimis.

Selain itu, yang dapat saya kesan ialah kecenderungannya menuding kepada pihak lain mengenai sesuatu tabiat buruk beliau dan penyokongnya amalkan.

Umpamanya Umno dituduh “rasis” semata-mata memperjuangkan hak dan kepentingan bangsa Melayu. Tetapi adakah beliau hendak menafikan bahawa sokongan kepada DAP banyak bergantung kepada semangat perkauman dan sentimen anti-Melayu yang dieksploitasi secara halus?

Lim marah dan menafikan bila ada yang mengatakan bahawa DAP anti-Melayu dan anti-Islam.

Beliau seperti tidak mengerti perasaan bangsa Melayu terhadap beberapa tindakan tidak sensitif Lim Guan Eng sebelum ini.

Beliau menganggap orang Melayu tidak sedar sikap sesetengah pemimpin DAP yang menghina Raja-Raja Melayu dan memfitnah institusi-institusi Melayu yang lain.

Beliau malah menuduh akhbar Utusan Malaysia menyiarkan artikel-artikel “mengapiapikan kebencian kaum” dan kononnya “mengancam proses pembinaan negara-bangsa Malaysia.” Jelas dia memejamkan mata dan memekakkan telinga terhadap apa yang tersiar di akhbar-akhbar Cina.

Di Pulau Pinang, DAP mendapat 19 dari 40 kerusi. Jalinan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat yang menang sembilan kerusi dan PAS (1 kerusi), DAP membentuk kerajaan negeri. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri.

DAP menang 18 kerusi di Perak. Walaupun Menteri Besar dilantik dari PAS tetapi dengan bilangan kerusi, pemimpinnya yang jauh lebih agresif, DAP berjaya menguasai pentadbiran negeri.

Namun ia tidak lama sebelum ditumbangkan oleh Barisan Nasional.

Sementara itu di Selangor, DAP menang 13 kerusi dan menjadi rakan kongsi membentuk kerajaan negeri yang diketuai oleh Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR sebagai Menteri Besar. PKR menang 15 kerusi di Selangor manakala PAS lapan.

Kehadiran DAP di Selangor tetap merupakan satu tenaga politik berpengaruh dalam pakatan pembangkang. Rentak dan lenggang pakatan di Selangor tidak dapat lari jauh dari irama pukulan gendang DAP.

Demikianlah selepas PRU-12 itu, kewujudan DAP semakin dominan dalam arena politik Malaysia, terutama di Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Semua itu menyebabkan Lim Kit Siang seakan-akan mendapat kekuatan dan keyakinan baru untuk memenuhi keinginannya mewujudkan sistem dua-parti di Malaysia dengan pakatan pembangkang menjadi alternatif kepada Barisan Nasional.

Kesimpulannya, Lim dan rakan-rakannya tidak mungkin memahami, apatah lagi bersimpati dengan aspirasi bangsa Melayu dan umat Islam di negeri ini. Soalan saya: “Apakah PAS dan PKR masih mahu meneruskan perkongsian yang sia-sia, membuang masa dan tenaga dengan DAP?” — Utusan Malaysia

Comments (11)Add Comment

Write comment

busy
 

Sponsored Links