Cubaan kelirukan fungsi BTN — Mior Kamarul Shahid

NOV 28 — Sekolah adalah institusi Kerajaan Pusat. Bolehkah proses pembelajaran di sekolah dianggap sebagai "sesi membasuh otak" untuk membentuk sikap, kelakuan, pemikiran rakyat dan sebagainya.

Organisasi tingkat semangat patriotisme tak wajar dipandang negative dimana-mana negara sekali pun di dunia ini, wujud pelbagai institusi yang dibina dan dibiayai oleh pemerintah untuk melatih rakyatnya dalam bidang-bidang tertentu. Setiap institusi mempunyai matlamat penubuhannya ketika didaftarkan. Matlamat institusi itu dicerminkan menerusi program, kursus, latihan, kurikulum dan sebagainya untuk peserta.

Selain kerajaan, pelbagai organisasi lain sama ada awam, swasta atau organisasi bukan kerajaan (NGO) turut menubuhkan institusi untuk golongan sasaran masing-masing. Parti politik juga tidak ketinggalan mewujudkan pusat latihan masing-masing untuk melatih ahli-ahli mereka bagi menebalkan pemahaman dan pemikiran politik mereka terhadap parti.

Bagi institusi awam yang dibina dan dibiayai oleh kerajaan, biasanya ia berasaskan kepada kepentingan pentadbiran awam, pengurusan, kemahiran teknikal, sains, alam sekitar, sosial dan sebagainya. Ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan untuk memajukan dan meningkatkan pemikiran rakyatnya dengan membabitkan penyertaan rakyat secara terus.

Di Malaysia, satu daripada organisasi yang mengadakan program seperti itu ialah Biro Tata Negara (BTN) yang meletakkan matlamat untuk meningkatkan semangat patriotisme, sayangkan negara, memajukan bangsa, memupuk semangat perpaduan dan sebagainya. Sesiapa yang pernah mengikuti program di BTN boleh secara terbuka membuktikan apakah yang sebenarnya mereka pelajari.

Bila timbul pandangan negatif kononnya kursus di BTN sekadar “sesi membasuh otak”, ia adalah satu kenyataan yang mengelirukan. Andaian seperti ini timbul disebabkan BTN adalah institusi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara ini. Disebabkan cemuhan itu datangnya daripada pemimpin parti pembangkang di Selangor yang ditadbir pembangkang, mereka melihat BTN adalah organisasi politik BN. Itulah sebabnya kerajaan negeri Selangor melarang kakitangannya dan pelajar institusi pengajian tinggi milik penuh kerajaan negeri mengikuti kursus atau program di BTN.

Mengikut kajian psikologi, membasuh otak dirujuk kepada reformasi pemikiran yang membabitkan pengaruh sosial. Pengaruh sosial pula berlaku setiap saat. Ia adalah cara atau kaedah yang boleh mengubah sikap, tingkah laku dan kepercayaan seseorang. Jika perubahan inilah yang dibimbangi oleh pemimpin kerajaan negeri Selangor, ia sebenarnya meludah ke langit. Ia menunjukkan parti itu tidak yakin dengan ketaatan

pengikutnya terhadap ideologi parti itu. Mereka bimbang program BTN boleh mengubah persepsi kakitangan awam dan pelajar di Selangor.

Sebelum membuat kenyataan dan keputusan mendadak, fikirlah dengan mendalam kesannya terlebih dulu. Jika prejudis terhadap BTN yang dibina dan dibiayai oleh Kerajaan Pusat, Selangor juga perlu membuat keputusan untuk tidak menghantar penduduk negeri itu mengikuti apa juga program di institusi yang dibina dan dibiayai oleh Kerajaan Pusat.

Jika bimbang kepada pengaruh politik BN menerap ke jiwa anak, mereka tidak perlu menghantar anak ke sekolah kerana ia adalah institusi Kerajaan Pusat. Bolehkah proses pembelajaran di sekolah dianggap sebagai “sesi membasuh otak” untuk membentuk sikap, kelakuan, pemikiran rakyat dan sebagainya. Disebabkan sekolah dibina oleh Kerajaan Pusat, guru dilantik oleh Kerajaan Pusat dan segala peruntukan disediakan oleh Kerajaan Pusat, ia sebenarnya boleh membentuk kepercayaan rakyat sejak mereka masih kecil.

Di Malaysia semua orang bersekolah dan semua orang tahu semua kemudahan sekolah disediakan oleh Kerajaan Pusat. Tetapi, terbukti tidak semua rakyat negara ini yang menyokong kerajaan bila berlaku proses penyertaan politik rakyat, khasnya dalam pilihan raya.

Institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kolej universiti dan sebagainya adalah juga institusi yang dibina oleh Kerajaan Pusat. Apakah kerajaan negeri Selangor sanggup tidak menghantar anak negeri itu mengikuti pengajian di institusi itu disebabkan ia dibina kerajaan, pensyarah yang dilantik oleh kerajaan dan menyediakan biasiswa atau pinjaman yang diberikan oleh kerajaan. Rakyat Selangor sepatutnya mendesak kerajaan negeri supaya membuat pendirian yang tegas mengenai perkara ini kerana ia akan membabitkan masa depan mereka.

Kebanyakan masjid dan surau di negara ini termasuk di Selangor dibina oleh kerajaan. Ia dibina untuk kemudahan umat Islam beribadat. Sesiapa saja yang mahu menggunakan kemudahan masjid dan surau adalah digalakkan tanpa mengambil kira pandangan politik mereka. Di Selangor, tidak pula ada arahan daripada pimpinan negara atau politik melarang umat Islam menggunakan kemudahan masjid atau surau yang dibina Kerajaan Pusat?

Dalam perkhidmatan kerajaan, ramai kakitangan perkhidmatan awam yang mencari rezeki bertugas di kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan sebagainya. Walaupun, pada umumnya mereka ini dianggap menyokong dan taat kepada kerajaan, dari segi penyertaan politik, mereka tetap mempunyai kebebasan untuk memilih. Oleh itu, tidak ada sebab mana-mana pihak bimbang terhadap apa juga yang dianjurkan oleh kerajaan.

Dalam ketenteraan, mungkin ada unsur membasuh otak khasnya untuk menaikkan semangat mereka untuk menentang musuh. Bukanlah mudah untuk menanamkan semangat 'sanggup gugur' dalam pertempuran sekiranya jiwa dan pemikiran mereka tidak ditanam dengan semangat cintakan agama, bangsa dan negara.

Menggunakan hujah BTN bermatlamat untuk membasuh otak peserta seolah-olah mereka tidak tahu membezakan institusi kerajaan dan institusi politik. — Berita Harian

 

Comments (14)Add Comment

Write comment

busy
 

Sponsored Links