DEC 6 — Awang mengucapkan tahniah kepada Abu Kassim Mohamad atas pelantikan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkuatkuasa 1 Januari ini.
Beliau yang merupakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM akan menyandang jawatan baru itu bagi menggantikan Ahmad Said Hamdan.
Peralihan tersebut berikutan keputusan Ahmad Said memohon dipendekkan tempoh perkhidmatannya yang dijadualkan tamat pada 25 Mei tahun depan kepada 31 Disember ini. Beliau menerajui SPRM pada 14 Mei 2007.
Perkembangan ini menarik perhatian apatah lagi melibatkan SPRM yang sememangnya sedang mendapat tumpuan luar biasa.
Menurut Ahmad Said, langkah untuk menamatkan perkhidmatan lebih awal, sudah lama dihasratkan kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarga dan kerja-kerja amal.
Biarpun begitu, tindakan beliau dikaitkan dengan tekanan hebat yang sedang dilalui oleh SPRM, yang belum pernah berlaku dalam sejarah.
Paling ketara ialah serangan pembangkang sejak menjelang pilihan raya umum lalu dalam apa yang dilihat sebagai usaha untuk menggugat kewibawaan SPRM. Kemuncaknya ialah kes kematian Teoh Beng Hock ketika dalam tahanan dan keputusan mahkamah mengehadkan soal siasat kes SPRM hanya pada waktu pejabat.
Bukanlah Awang mahu mempersoalkan keputusan mahkamah tetapi kesannya hanya merumitkan lagi tugas dan peranan SPRM yang sudahpun banyak terbeban dengan kes siasatan rasuah. Realiti di ruang mahkamah tidak sama dengan realiti penyiasatan kes rasuah. Keberkesanan SPRM menjadi terbatas. Yang rugi daripada keputusan sedemikian ialah rakyat dan usaha memerangi rasuah itu sendiri. Siapakah yang harus bertanggungjawab daripada proses keadilan ini yang sepatutnya melihat daripada sudut kepentingan lebih besar?
Sesungguhnya sejarah pendek SPRM sejak dinaik taraf daripada Badan Pencegah Rasuah pada 1 Januari 2009 lebih banyak diwarnai kontroversi daripada beberapa isu panas, hasil muslihat pembangkang yang sebenarnya bermotif politik. — Mingguan Malaysia






- Agen BN!