DIS 22 — Isu berhubung-kait dengan kaum, budaya, bahasa dan agama adalah perkara sensitif yang sangat mudah menyentuh emosi. Perkara sensitif seperti itu dengan cepat mencetuskan provokasi atau salah faham yang membawa kepada polemik, kontroversi atau konfrontasi.
Namun, sejak akhir-akhir ini, ahli politik semakin gemar menggunakan isu berkenaan, termasuk mempersoal prinsip ketuanan Melayu dan dana pembinaan masjid hingga membangkitkan kemarahan orang Islam.
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, baginda amat bimbang jika isu kaum, budaya dan agama yang sudah mula dijadikan modal untuk mendapat populariti politik. Isu berkenaan ditanya, diulas dan dikupas tanpa mengenal batas, tanpa menghormati sejarah dan salasilah penubuhan negara bangsa Malaysia dan tanpa memberi pertimbangan kepada implikasi negatif.
Baginda memberi gambaran supaya kecenderungan itu ditangani dengan segera dan secara tegas untuk mengelakkan masyarakat menjadi huru-hara.
"Kebelakangan ini, negara sedang dilanda budaya politik yang keterlaluan. Budaya berpolitik di dalam negara sudah mula berhijrah daripada budaya politik yang positif dan konstruktif kepada budaya politik yang negatif dan memusnahkan hingga ke peringkat mengetepikan Perlembagaan dan semangat Perlembagaan, mengetepikan undang-undang dan institusi perundangan.
"Budaya yang memilih untuk menyemaikan sentimen tidak menghormati badan penguatkuasaan. Jika ini tidak dibendung secara tegas, negara dibimbangkan sedang menuju kepada satu anarki," titahnya ketika menyempurnakan majlis sambutan Maal Hijrah 1431 Peringkat Perak di Tanjung Malim, baru-baru ini.
Baginda bertitah, keamanan dan kestabilan negara ini selama 52 tahun mencapai kemerdekaan adalah atas kearifan dan kematangan pemimpin agama, politik dan kaum menyuarakan dan menangani isu penting dan sensitif seperti itu secara bijaksana dalam forum yang tertutup, yang membolehkan berlangsungnya perbincangan secara berterus-terang, terbuka lagi bertamadun tanpa liputan media dan tanpa galeri politik.
Urusan agama di negara ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3 (1) menetapkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman.
Sultan Azlan bertitah, perlembagaan yang digubal sebagai instrumen rujukan berkerajaan menjelang negara mencapai kemerdekaan itu adalah perlembagaan yang bukannya digubal oleh umat Islam dan orang Melayu saja, tetapi digubal dengan persetujuan pelbagai pihak yang mewakili pelbagai kaum dan agama.
"Semangat yang termaktub dalam Perkara 3 (1) perlembagaan itu diiktiraf oleh negara. Kerana itu hari kebesaran pelbagai budaya dan pelbagai agama dihormati hinggakan negara Malaysia adalah negara yang paling banyak memperuntukkan cuti umum bagi menghormati hari kebesaran agama dan kebesaran budaya," titahnya.
Demikian kepelbagaian budaya dan kaum di negara ini dan betapa sifat toleransi dan persefahaman tinggi yang sudah dibuktikan orang Melayu dan umat Islam sebagai peribumi di tanah air ini menerima dan membenarkan kelangsungan pelbagai budaya dan amalan pelbagai agama. Semangat sedemikian menjadi asas kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara yang kukuh bersatu padu, memiliki kestabilan politik, berupaya menjana pertumbuhan ekonomi secara berkesan lagi berfokus. Baginda mahu semangat itu terus disuburkan.
Nabi Muhammad SAW berundur meninggalkan kota Makkah, ketika tentangan begitu memuncak terhadap usaha Baginda menyebarkan risalah Islam hingga sampai ke peringkat musuh Islam merancang untuk membunuh Baginda. Ketika itu, penganut yang menerima risalah Islam di Kota Makkah dicerca, dihina, ditindas, diseksa dan ramai yang dibunuh.
Tindakan Rasulullah SAW berhijrah mendapat petunjuk dari Ilahi, agar tentangan dan konfrontasi dapat dijauhi demi mengelakkan daripada terus berlakunya pertumpahan darah dan pembunuhan secara besar-besaran. Peristiwa itu mencerminkan bahawa Islam adalah agama yang tidak menganjurkan budaya paksaan, kekerasan, penindasan dan tekanan.
Malah, Rasulullah memperlihat sikap mencari penyelesaian secara mengelakkan kekerasan lalu berundur supaya kekejaman dapat dijauhi dan kemusnahan dapat diminimumkan.
Sultan Azlan bertitah, Islam itu dipilih untuk disebar dan dikembangkan melalui kaedah penyeruan kepada jalan kebaikan, secara beradab, secara memperlihat contoh teladan, secara melaksanakan keadilan dan menjunjung prinsip kemanusiaan sejagat.
"Itulah prinsip dan pegangan yang dijadikan landasan amalan umat Islam di negara ini sejak dari era Kesultanan Melayu Melaka. Oleh itu, bumi Tanah Melayu ini tidak sama sekali menghalang kebanjiran dan kehadiran kaum yang mengamalkan pegangan agama lain.
"Mereka tidak dimusuhi, malah kebebasan mereka untuk beragama dibenarkan. Mereka dibenarkan melaksanakan upacara agama dan merayakan hari kebesaran budaya dan kebesaran agama masing-masing," titah baginda. — Berita Harian






Ditambah pula dengan keadaan keperluan hidup yang semakin mahal sememangnya rakyat sudah mula rasa tertekan dan ini semua akan mengakibatkan rakyat tak kira dari kaum mana untuk mempertikaikan sesuatu perkara yang mereka akan rasa tidak adil kepada kaum mereka.
Semua ini berlaku adalah kerana sistem yang telah disalahgunakan oleh ahli politik didalam kerajaan itu sendiri. Kekayaan negara yang sepatutnya memberi kesenangan kepada rakyat tetapi telah disalahgunakan oleh kroni-kroni politik untuk mengkayakan diri dan keluarga mereka.
Silalah buat kajian terhadap semua ahli-ahli politik dari kalangan pemimpin BN, adakah mereka menjadi miskin ataupun seperti biasa selepas mereka menjadi pemimpin didalam kerajaan.
Tepuk dada tanya selera..