Merakyatkan perpaduan kebangsaan — Anuar Ahmad

DIS 22 — Sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12) pada Mac 2008, hampir tidak ada hari tanpa laporan akhbar berkaitan polemik perpaduan kaum serta hubungan etnik.

Bermula dengan janji-janji kempen politik demi meraih undi rakyat, ia berkembang menjadi tuntutan-tuntutan yang menyakitkan perasaan kaum-kaum lain.

Maka luka akibat kata "hapuskan kontrak sosial, kaji semula kedudukan Raja-Raja Melayu, mansuhkan kedudukan bahasa Melayu dan pertikaian kedudukan agama Islam" — yang pada mulanya hanya cakap-cakap politik, kini mula bernanah dan membusuk.

Sensitiviti kaum kelihatan tegang dan segera membuak di kalangan mereka yang menggelarkan diri sebagai pejuang kaum.

Semakin banyak pula kumpulan dan organisasi yang ditubuhkan demi menyuarakan semangat serta amarah mereka.

Maka kerana itu sebaik sahaja Datuk Seri Najib Razak dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau segera menekankan peri pentingnya perpaduan melalui gagasan 1 Malaysia.

Meninjau kembali keretakan perpaduan kaum, ia sebenarnya bermula dengan desakan-desakan bukan bumiputera supaya kandungan Perlembagaan Negara dikaji semula.

Walaupun statistik membuktikan bukan Melayu khususnya Cina berjaya menguasai lebih 60 peratus kekayaan negara, jelas rasa tidak puas hati masih kental.

Ketidakpuasan ini membawa kepada desakan berterusan agar pemansuhan DEB dan program selepasnya seperti Dasar Pembangunan Negara dan Dasar Pembangunan Wawasan.

Orang Melayu sebagai teras kumpulan Bumiputera nampaknya tidak bersetuju dengan desakan ini dan mula mempertahankan hakhak mereka yang sedia termaktub di dalam Perlembagaan.

Ketuanan Melayu di dalam Perlembagaan tidak bermaksud meletakkan bukan Melayu sebagai hamba kepada orang Melayu. Ketuanan Melayu hanya merujuk kepada konsep kedaulatan raja serta sejarah kewujudan bangsa dan masyarakat Melayu. Orang bukan Melayu pada bila-bila masa adalah dilindungi oleh Perlembagaan Negara.

Bagi mengatasi masalah ini maka perancangan yang kukuh, berjangka panjang dan konsisten perlu dimulakan. Rakyat terutama generasi muda harus dididik kembali erti perpaduan.

Malah sejarah pasca merdeka memang membuktikan orang Melayu merupakan satu bangsa yang sangat toleran terhadap kaum lain.

Namun sebut sahaja dari sektor pendidikan, ekonomi, kebudayaan hinggakan soal pembinaan masjid, semuanya diungkit oleh bukan Melayu.

Sangat dibimbangkan jika perancangan perpaduan kaum tidak dimulai dan dibiarkan begitu sahaja, hala tuju perpaduan negara bukan sahaja akan tergugat malah lebih buruk jika konflik kaum akan kembali meletus seperti Tragedi 13 Mei 1969.

Perancangan baru ini perlu kerana demografi politik, ekonomi serta kependudukan di negara ini masih kukuh berasaskan perkauman.

Oleh itu, tidak mungkin perpaduan kaum akan berevolusi sendiri di negara ini jika sesuatu perancangan tidak dilakukan segera.

Apakah akar masalah kepada masalah perpaduan?

Tinjauan penulis terhadap pelbagai kajian sejak lepas merdeka berkaitan perpaduan kaum di negara ini menunjukkan terdapat tiga asas masalah.

Pertama, oleh kerana sejarah telah membentuk negara ini menjadi majmuk, tidak dapat tidak, pendidikan pelbagai aliran berasaskan kaum adalah masalah utama dan yang paling ketara.

Anak-anak tidak berada dalam iklim persekolahan yang sama, maka mereka tidak berupaya berintegrasi antara satu sama lain.

Malah jika sudah dalam satu aliran persekolahan pun belum pasti isu perpaduan akan berjaya jika tiadanya interaksi sosial di kalangan pelajar.

Maknanya cabaran perpaduan masih akan ada walau pun selepas sekolah satu aliran berjaya, itu pun jika boleh diwujudkan.

Pelajar Melayu di sekolah kebangsaan hanya mendengar cerita tentang budaya dan nilai hidup kaum Cina dan India. Begitu juga pelajar Cina dan India di sekolah jenis kebangsaan.

Malah Dasar Bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan juga tidak akan berjaya jika integrasi antara pelajar Melayu dan bukan Melayu tidak berlaku di sekolah yang sama.

Pengamalan dasar bahasa perpaduan ini perlukan tindakan bukan sekadar laungan "bahasa jiwa bangsa" tanpa tindakan berterusan.

Akibat kegagalan menyediakan satu dasar pendidikan berkonsepkan "sekolah satu Malaysia" maka penyakit "retak-perpaduan" ini merebak sehinggalah ke pusat pengajian tinggi.

Keadaan ini banyak menjelaskan mengapa kajian oleh beberapa IPTA menunjukkan pelajar Melayu, Cina dan India tidak selesa untuk tinggal sebilik dengan pelajar berlainan etnik.

Selain itu, pelajar Melayu, Cina dan India juga lebih cenderung untuk bergaul sesama kaum di dewan kuliah, persatuan serta rekreasi.

Polarisasi kaum ini semakin menonjol apabila pola menunjukkan IPTA didominasi oleh pelajar Melayu manakala IPTS oleh bukan Melayu.

Masalah kedua berkaitan perpaduan ialah kegagalan masyarakat semua lapisan khasnya kepimpinan parti politik berasaskan kaum untuk bersikap jujur, ikhlas dan menghormati Perlembagaan Negara.

Ahli politik yang bersifat perkauman pula menggunakan kesempatan kealpaan masyarakat dengan menggunakan Perlembagaan untuk mencipta populariti.

Tentulah ahli parti dan rakyat yang kurang peka dengan Perlembagaan akan menyokong sesuatu yang menguntungkan mereka walaupun ia boleh menggugat sensitif kaum.

Maka itu sangat penting Perlembagaan dan pelajaran sejarah negara diberikan perhatian yang sepenuhnya di dalam sistem pendidikan negara.

Pihak Kementerian Pelajaran melalui Bahagian Perkembangan Kurikulum perlu mengemaskinikan silibus kurikulum sejarah dan pendidikan kewarganegaraan, memperkenalkan kaedah pengajaran yang lebih dinamik dan berorientasi pelajar.

Pengajaran secara doktrinisasi tidak akan menjayakan pendidikan sejarah sebaliknya pembelajaran berasaskan kemahiran berfikir, berhujah serta analitikal sangat diperlukan.

Peruntukan kewangan bagi bahan pengajaran sejarah dan kewarganegaraan perlu ditambah secukupnya di semua sekolah.

Kurikulum latihan pendidikan guru sejarah dan kewarganegaraan juga perlu disemak dan diperkemaskan kualitinya.

Bilangan guru-guru pengkhususan sejarah dan kewarganegaraan perlu ditambah. Tidak ramai pelajar yang faham mengapa perlunya Perkara 152 berkaitan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu sangat penting. Atau mengapa Perkara 153 berkaitan keistimewaan bumiputera dimaktubkan dalam Perlembagaan.

Pemerhatian oleh para pengkaji di bilik darjah juga menunjukkan guru lebih cenderung meminta pelajar menghafal sahaja peruntukan tersebut tanpa memberi penjelasan secara mendalam.

Masalah ketiga ialah persepsi kuat bahawa kedudukan taraf jati diri kebangsaan adalah lebih rendah daripada perasaan jati diri etnik di kalangan masyarakat.

Pendidikan, sosialisasi budaya serta pembentukan berasaskan identiti etnik menyebabkan masyarakat lebih mendahulukan keperluan dan kepentingan etnik berbanding kepentingan nasional.

Itu sebabnya sekolah satu aliran seperti sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan. Dasar Kebudayaan Nasional seperti lesu tidak bermaya dan kedudukan bahasa Malaysia sering kali dipermainkan.

Parti politik berasaskan kaum akan terus menjadi identiti politik.

Selain itu pegangan tradisi kepada pembentukan jati diri kebangsaan juga dikatakan tidak serasi dengan semua kaum pada semua masa dan keadaan.

Hang Tuah adalah hero Melayu, bolehkah orang Cina mengagungkan Hang Tuah sebagaimana orang Melayu? Atau bersediakah orang Melayu mengangkat Kapitan Yap Ah Loy sebagai wira kaum Melayu?

Oleh itu membina jati diri nasional yang lebih kuat maka perlu lebih banyak ikon pasca merdeka perlu diuar-uarkan sebagai hero Malaysia.

Tentunya Tunku Abdul Rahman, Tun Dr Ismail, Tun Tan Siew Sin, Tun Tan Cheng Lok dan Tun Sambanthan memenuhi kriteria hero Malaysia hari ini.

Jika ini tidak dilakukan segera secara bersungguh-sungguh maka tidak hairanlah akan ada yang mengambil kesempatan untuk meletakkan Chin Peng sebagai hero.

Pembinaan jati diri kebangsaan ini seharusnya diteruskan oleh agensi kerajaan berkaitan dengan menterjemahkan dasar-dasar utama negara dalam kehidupan masyarakat.

Misalnya, konsep Rukun Negara sering kali hanya diucapkan di majlis tertentu sahaja. Tanyalah diri kita sendiri, bila kali terakhir kita melafazkan Rukun Negara?

Begitu juga dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Perpaduan Nasional, Dasar Belia Negara, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Sosial Negara yang gagal dimasyarakatkan sepenuhnya.

Jadi tidak hairanlah jika perasaan bangga dan percaya kepada jati diri nasional adalah lebih rendah di kalangan rakyat.

Ringkasnya, akar masalah memang diketahui, bukan hari ini tetapi sejak lama. Tinggal lagi perancangan serta pelaksanaan sahaja yang sering kali dibuktikan telah gagal bagi membina gagasan perpaduan.

Ramai di kalangan pengkaji berkaitan perpaduan berkata, isu perpaduan sering kali timbul dan tenggelam. Bagaimanapun, sejak PRU 12, isu hubungan kaum ini timbul dan masih belum tenggelam.

Maka kini bukan perdebatan lagi yang diperlukan tetapi tindakan segera. Sesuatu harus dilakukan agar isu perpaduan akan kembali diselesaikan apabila semua pihak mula meletakkan kepentingan nasional dan kesejahteraan negara melebihi kepentingan kaum.

Jika gagal dirancangkan kita akan terus berkonflik dan berdebat mencari kesalahan dan kelemahan kaum lain, maka akan beginilah berterusan kehidupan masyarakat kita bagi 50 tahun akan datang. — Utusan Malaysia

Penulis ialah Timbalan Pengarah (Akademik Kolej) Pusat Perkembangan Pelajar, UKM.

Comments (4)Add Comment

Write comment

busy
 

Sponsored Links