Nov 19 – Tiga senario mutakhir yang bagi saya mencerminkan perjalanan auh yang masih harus kita tempuhi sebagai satu Keluarga Besar Malaysia untuk menzahirkan Bangsa Malaysia.
Pertama. Sewaktu saya membaca laman web Malaysian Insider yang bercerita tentang terhakisnya sambutan terhadap Anwar Ibrahim di kalangan masyarakat Melayu ('Pakatan moving to assure Malay voters’, 18 Nov 2008).
Rencana ini bercerita tentang bagaimana Pakatan Rakyat (PR) baru-baru ini menandatangani satu surat persefahaman yang menyatakan pendirian PR terhadap hak-hak kaum Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan tetap akan dipertahan. Mengikut rencana ini, surat ini menandakan berjayanya kempen Umno untuk melahirkan rasa syak-wasangka dikalangan kaum Melayu terhadap PR sekiranya PR berjaya membentuk kerajaan pusat.
Apa yang belum disebut secara lebih menyeluruh, pada hemat saya, ialah kewujudan kempen Umno ini yang tidak dipersoal. Usaha untuk menanam ranjau sepanjang jalan PR ke Putrajaya adalah satu usaha yang tidak lain tidak bukan untuk melambatkan kemaraan pihak lawan.
Bagi saya, ini seperti dalam permainan bola sepak: bila striker menerobos barisan pertahanan dan yang tinggal hanyalah dia dan penjaga gol, satu sliding tackle dikenakan. Cuma mungkin kad merah tidak akan dilayangkan. Mengapa?
Kedua. Sewaktu saya membuka lembaran akhbar The Edge Financial Daily yang bercerita tentang Dr Hilmi Yahaya mempersoal penggunaan nama Kalifah Umar ibn Abd al-Aziz dan frasa 'amar ma'aruf nahi mungkar' oleh Lim Guan Eng ('Hilmi questions Guan Eng's frequent mention of Caliph Umar', 18 Nov 2008).
Akhbar itu memetik Dr Hilmi: "You should not use these at your whim and fancy. Are you qualified to speak about the caliph?... It has not been ascertained if you or even Professor P Ramasamy is qualified to use them."
Apakah kualifikasi yang dimaksudkan Dr Hilmi itu? Keratan itu memetik lagi: "You are not Muslim, so you should not use it."
Dalam senario ini agama diguna sebagai alasan dan lesen untuk mendiamkan pendapat yang membangkitkan persoalan tentang cara mentadbir dengan adil dan saksama. Di manakah disebutkan bahawa penggunaan frasa 'amar ma'aruf nahi mungkar' dikhaskan untuk penggunaan orang beragama Islam sahaja? Secara lebih dasar, mengapa mengaburkan persoalan pokok – suatu pentadbiran yang mengajak rakyatnya kepada kebaikan dan mencegah keburukan – dengan mempersoal pemilihan kata-kata sahaja?
Ketiga, dan kali ini tidak begitu dramatik. Sewaktu saya minum pagi di Bangsar, seorang lelaki muda yang mengumpul dana kebajikan untuk membiayai pendidikan dan pemakanan kanak-kanak kurang upaya bertanya, "Abang ni Melayu ke? Saya ingatkan Cina. Bukan mixed?"
Ini bukan kali pertama saya ditanya soalan ini. Saya tidak tersinggung, tidak terperanjat. Dalam diam saya agak gembira, kerana saya mampu menjadi pemangkin seseorang itu mempersoalkan prejudisnya yang sering diperkukuh dakyah parti-parti politik kanan negara ini.
Dan kini Malaysia harus menyediakan dirinya untuk menyahut cabaran mencari cara berpolitik yang baharu dan melepaskan percaturan politik diwarnai ras dan agama, yang memecahbelahkan rakyat dengan permainan perasaan, yang berfikir hanya untuk faedah hari ini dan terus melupakan masa depan negara. Inilah cabaran kita, Malaysia, dan kita mampu melakukannya. Ingat, sebelum Obama berkata pada rakyat Amerika "Yes we can," kita di negara kecil ini sudah lama berkata, "Malaysia boleh."
Kembali pada cerita tadi. Bila ditanya lelaki muda itu saya bangsa apa, saya senang berkata, "bangsa Malaysia."






