Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

Ambil iktibar daripada insiden di Gaza

JAN 9 – Beberapa bulan yang lalu, ketika memaklumkan mengenai keinginan menjadi kolumnis dalam Malaysian Insider, penulis pernah menyatakan hasrat untuk tidak menukilkan sebarang penulisan politik.

Sebab utamanya, penulis merasakan sudah terlalu banyak pihak yang sudah berbuat demikian masing-masing tampil dengan pendapat dan kritikan tersendiri. Maka, penulis merasakan ada baiknya penulisan yang akan dinukilkan dalam kolum dwimingguan di Malaysian Insider difokuskan kepada isu-isu kemanusiaan dan isu yang dekat dengan hati penulis.

Bagaimanapun, serangan bertubi-tubi rejim Zionis ke atas Genting Gaza sejak 27 Disember 2008 lalu yang menyaksikan begitu ramai rakyat Palestin terkorban terutamanya kanak-kanak dan warga tua, amat menggamit perasaan penulis.

Atas rasa prihatin dan ‘solidarity’ dengan rakyat Palestin, penulis telah menukilkan pandangan berikut kepada pembaca untuk renungan kita bersama…..

Hujung minggu ini, genaplah dua minggu Israel melancarkan serangan ke atas Genting Gaza dengan alasan untuk melindungi rakyatnya daripada serangan roket pejuang Hamas.

Dan sehingga kini, tidak ada bayangan positif bahawa operasi ketenteraan yang diberi nama Operation Cast Lead akan dihentikan meskipun mendapat tekanan hebat daripada komuniti antarabangsa.

Pelbagai usaha diplomatik oleh negara-negara seperti Mesir, Libya dan Perancis giat dijalankan dalam usaha ‘memujuk’ Israel menghentikan serangan serta-merta dan mematuhi peraturan gencatan senjata.

Bagaimanapun, seperti kelazimannya, Israel terus berlagak dan meninggikan muka terhadap inisiatif sedemikian sambil menyatakan mereka akan mempertimbangkan inisiatif itu dalam tempoh terdekat.

Apakah lagi yang patut dipertimbangkan oleh Israel dalam menghentikan serangan ke atas Gaza? Ataupun langkah tersebut hanya sebagai menunjukkan kepada dunia bahawa Israel bukan calang-calang negara yang boleh diganggu-gugat malah sebuah kuasa besar dunia seperti AS pun terikut-ikut dengan rentaknya?

Masa semakin suntuk buat penduduk Palestin di Gaza yang terpaksa berhadapan dengan krisis makanan dan kemanusiaan yang semakin melarat. Apakah nilai nyawa rakyat Israel lebih berharga daripada rakyat Palestin? Bukankah di mata Tuhan, semua makhluk adalah sama? Di manakah keadilan yang sering dilaung-laungkan oleh Barat?

Bagi Israel, hanya mereka sahaja yang berhak bersuara dan membunuh rakyat lain. Sebarang tindakan oleh rakyat lain terhadap warganya pula dianggap sebagai jenayah keganasan yang tidak boleh dimaafkan dan harus ditangani dengan sekeras-kerasnya. Inikah keadilan namanya?

Ratusan penduduk Palestin yang tidak berdosa, ibarat kepingan domino menjadi korban sembelih rejim Zionis seolah-olah nyawa mereka tidak bernilai sesen pun. Paling menyayat hati, dilaporkan sejumlah 94 kanak-kanak sudah terkorban dalam operasi ini sekali gus menyanggah kenyataan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak bahawa operasi ini hanya mensasarkan pejuang Hamas.

Ketika menukilkan pandangan ini, angka korban kanak-kanak sudah meningkat kepada lebih 100 orang dan dijangka terus bertambah dari semasa ke semasa. Gambar-gambar mayat kanak-kanak Palestin yang berlumuran darah terpampang pada muka depan akhbar perdana tempatan sejak dua tiga hari lalu, cukup menggamit perasaan penulis.

Walaupun tidak pernah melalui apatah lagi merasai bahang peperangan, penulis amat dukacita dan menyifatkan tindakan rejim Israel itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali dalam konteks kemanusiaan. Apa gunanya saling bunuh-membunuh antara satu sama lain? Perbuatan membunuh hanya akan menyemarakkan lagi perasaan benci dalam diri seseorang. Sewajarnya punca kepada kemarahan rakyat Palestin wajar diatasi.

Masyarakat antarabangsa terus berputih mata dengan tragedi tersebut dan apa yang mereka mampu lakukan hanyalah sekadar mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan kejam Israel itu.

Dunia Islam dan negara-negara Arab seperti kelazimannya terus membisu dengan penderitaan rakyat Palestin. Sebaliknya, suara-suara bantahan dan tindakan begitu kuat bergema dari negara-negara kecil seperti Malaysia, Indonesia serta penduduk-penduduk Barat yang antipeperangan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula hanya mampu terduduk dan mengeluarkan kenyataan mendesak Israel menghentikan serangan ke atas Gaza. Namun kegagalan badan dunia itu untuk melakukan sesuatu yang konkrit dalam membantu Palestin, membuktikan bahawa badan dunia itu sudah tidak relevan lagi.

63 tahun selepas penubuhannya di New York, peranan PBB kini hanya terbatas kepada mengeluarkan kenyataan dan meluluskan resolusi mengutuk konflik-konflik yang berlaku di negara-negara yang dimaksudkan.

Tidak banyak harapan yang boleh diberikan kepada PBB untuk mengatasi konflik di Palestin sebaliknya negara-negara Islam sendiri yang harus mengambil inisiatif untuk berbuat demikian.

Ke manakah perginya semangat persaudaraan dan comradeship yang dilaung-laungkan selama ini? Apakah kesemua 57 buah negara dalam Persidangan Negara Islam (OIC) dan dunia Arab tidak mampu menghalang sebuah negara kerdil seperti Israel daripada terus melakukan keganasan?

Hakikatnya, Israel begitu berani melakukan keganasan kerana adanya sokongan membabi-buta Amerika Syarikat. Bagi AS, apa yang salah boleh menjadi betul dan apa yang betul boleh dikatakan salah. Justeru, gesaan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad kelmarin bahawa jika setiap pihak mampu memainkan peranannya dengan baik, Palestin boleh diselamatkan amat benar sekali.

Kata Tun: “Jika terdapat kerajaan-kerajaan dunia yang takut untuk menyokong inisiatif ini, rakyat sebaliknya mempunyai kapasiti untuk berbuat demikian. Kita tidak boleh membiarkan diri kita diperkotak-katekkan. Walaupun sumbangan kita tidak seberapa, namun berkat kerjasama rakyat semua negara, ia boleh memberikan kesan yang efektif.’’

Kuasa-kuasa asing seperti AS dan Israel mungkin boleh bermegah-megah dengan kekuatan militer mereka namun kekuatan militer tidak mungkin dapat mematahkan semangat dan moral penduduk tempatan Palestin daripada terus menegakkan kebenaran dan keadilan.

Bagaimanapun, untuk menegakkan keadilan bukan semudah yang kita impikan. Kuasa-kuasa asing mempunyai versi tersendiri dalam menakrifkan definisi keadilan, begitu juga dengan negara-negara Islam.

Umum mengetahui, pemimpin-pemimpin negara Arab tidak bersatu dan lemah. Keadaan juga tidak terkecuali di Palestin. Pergelutan kuasa dan pengaruh antara Fatah dan Hamas memburukkan keadaan.

Atas nama untuk merebut kuasa dan pengaruh, mereka tidak sedar bahawa kuasa-kuasa asing seperti AS dan Israel hanya menunggu peluang untuk campur tangan dalam hal-ehwal negara itu. Yang menjadi mangsa dalam percaturan ini rakyat Palestin sendiri. Dalam dunia yang serba mencabar ini, siapa yang kuat dialah yang berkuasa.

Jadi, segala pujian berlapis-lapis kuasa-kuasa asing yang mengatakan bahawa sesebuah negara itu adalah rakan baiknya, itu hanya pada retorik sahaja. Apakah kedatangan AS ke Iraq semata-mata untuk membebaskan negara dan rakyat itu daripada pemerintahan kejam Saddam Hussein ataupun ada motif di sebaliknya?

Jawapannya mudah AS mahu menguasai bekalan minyak Iraq. Berpijaklah pada bumi nyata. Sikap mementingkan diri sendiri mengatasi segala-galanya. Ibarat kata orang, “everybody is for himself.’’

Demikianlah bahananya apabila sesebuah negara dan rakyatnya tidak bersatu dan berpecah-belah. Lihat apa yang terjadi sekarang? Kerana wujudnya perpecahan dalam negara Palestin, maka kuasa-kuasa asing tidak menghadapi sebarang masalah untuk menakluk Palestin.

Sehubungan itu, ada baiknya jika setiap rakyat di Malaysia tanpa mengira batasan kaum, agama mahupun kulit warna mengambil iktibar di sebalik tragedi kemanusiaan di Gaza. Apa yang menimpa Gaza dan penduduk-penduduknya satu hari nanti boleh menimpa negara kita jika rakyat kita tidak berwaspada dan berpecah-belah.

Agenda penjajahan yang dikatakan sudah berakhir selepas kemerdekaan sesebuah negara ternyata tidak benar. Setiap negara mempunyai kepentingan masing-masing. Semakin kuat sesebuah negara, maka semakin tinggilah bargaining power negara itu dalam landskap politik dunia.

Justeru, janganlah kita bersikap naif dan berfikiran bahawa penjajahan kuasa asing tidak akan berulang di negara ini. Penjajahan boleh kembali dalam pelbagai bentuk: ekonomi, budaya, mental dan psikologi.

Kita lihat kepada senario politik pasca Pilihan Raya Umum 12. Era politik pra dan pasca PRU 12 Era pasca PRU 12 diwarnai dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan. Isu-isu sensitif seperti isu agama dan bahasa dibangkitkan tanpa was-was dan tidak memikirkan sensitiviti kaum-kaum lain.

Parti-parti pembangkang pula begitu ghairah mahu mengambil alih teraju kepemimpinan kerajaan pusat selepas menang 82 kerusi Parlimen. Kekalahan kerajaan di lima buah negeri menjadi sandaran kepada pembangkang kononnya kerajaan sudah hilang mandat di mata rakyat.

Siri demonstrasi jalanan untuk menuntut hak dan keadilan oleh pertubuhan-pertubuhan tertentu terus bergema hinggakan ia seolah-olah sudah menjadi satu budaya biasa di negara ini, walaupun hakikatnya adalah sebaliknya.

Para pemimpin baik dari kerajaan mahupun pembangkang terus bertikam lidah masing-masing untuk ingin menunjukkan kehebatan mereka. Tetapi apa yang tidak disedari mereka ialah lagi lama mereka bertikam lidah, maka secara tidak langsung ia melalaikan tanggungjawab mereka kepada memperjuangkan kebajikan rakyat.

Kitaran politik yang berbentuk ‘tit for tat’ ini tidak akan berkesudahan selagi salah satu daripada pihak terbabit beroleh kemenangan. Tanpa mengira ideologi dan perbezaan parti politik, kestabilan dan perpaduan yang berjaya dikecapi oleh Malaysia selama ini, perlulah dipertahankan oleh semua pihak kerana inilah satu-satunya formula terbaik untuk menghadapi musuh dari luar.

Kuasa-kuasa asing tidak akan berani untuk menggertak dan menjajah sesebuah negara jika negara berkenaan kuat dalam semua segi. Lihat sahaja kepada Iran. Oleh sebab pucuk kepemimpinan negara itu di bawah Presidennya, Mahmoud Ahmadinejad begitu agresif dan lantang dalam mengutuk Barat terutamanya AS, Washington dan Tel Aviv

sebaliknya berasa gusar. Gusar sehinggakan mereka cuba menggunakan apa sahaja taktik yang dihalalkan untuk menjatuhkan pemerintahan Ahmadinejad di Iran.

Itu sebabnya ada rasional mengapa pemimpin negara kita sering kali mengingatkan rakyat supaya bersatu-padu. Harus diingat, perpaduan yang dikecapi oleh Malaysia sejak sekian lama tidak datang bergolek begitu sahaja sebaliknya menuntut pengorbanan dan pemikiran jauh pemimpin-pemimpin terdahulu.

Jadi sebagai generasi rakyat Malaysia sekarang, adalah menjadi tanggungjawab untuk kita merealisasikan aspirasi pemimpin-pemimpin kemerdekaan terdahulu.

Kuasa-kuasa Barat boleh bermegah dengan kekuatan militernya tetapi mereka tidak mungkin dapat menyaingi kuasa rakyat yang merupakan komponen penting dalam pembentukan sesebuah negara. Iraq menjadi saksi kepada kuasa rakyat.

Walaupun pada awalnya, kedatangan AS dilihat sebagai wira kerana berjaya membebaskan rakyatnya dari pentadbiran zalim Saddam tetapi lama-kelamaan, sentimen itu berubah kepada perasaan meluat.

Ternyata, lima tahun selepas pendudukan AS di Iraq, dengan kecanggihan dan kekuatan militer sekali pun, tentera AS sudah gagal dalam misinya di Iraq. Lebih 4,000 askarnya terkorban manakala serangan berani mati walaupun telah berkurangan, terus berlaku.

Usaha untuk memerangi sikap biadap Israel dan AS sebenarnya tidak sukar. Persoalan paling penting, adakah semua negara Islam dan Arab bersedia mengetepikan perbezaan mereka untuk menghadapi ancaman ini? Juga, adakah setiap negara di rantau Arab mempunyai visi yang sama terhadap Palestin?

Di negara kita pula, usaha untuk membantu rakyat Palestin kini giat dipertingkatkan. Pelbagai cara seperti menganjurkan siri demonstrasi jalanan dan pemulauan barangan buatan sekutu terapat Israel iaitu AS telah diketengahkan.

Namun begitu, adalah menjadi harapan penulis agar kempen sedemikian rupa perlu dijalankan secara tuntas, menyeluruh dan konsisten. Janganlah menganjurkan demonstrasi atau pemulauan barangan secara bermusim.

Negara-negara kecil seperti Malaysia dan dunia Islam lain mungkin tidak dapat menyaingi kehebatan kuasa-kuasa Barat dari segi teknologi dan ketenteraannya, tetapi berbekalkan semangat perpaduan dan jati diri yang kental, nescaya kehebatan militer sehebat AS dan Israel belum tentu dapat menewaskan senjata ini yang bernama ‘perpaduan’.

Rakyat Malaysia cukup bertuah kerana negara ini sentiasa aman dan harmoni. Maka, rakyat seharusnya bersyukur di atas pemberian tersebut. Janganlah kita mengambil mudah dan take for granted suasana harmoni yang wujud sekarang. Mengekalkan keharmonian sesebuah negara mengambil masa yang cukup lama tetapi untuk merosakkannya, ia boleh berlaku dalam sekelip mata sahaja!

Comments (1)Add Comment

Write comment

busy
 

Sponsored Links