72.3 peratus aduan diselesaikan Biro Pengaduan Awam
PUTRAJAYA, 12 Jun — Biro Pengaduan Awam (BPA), Jabatan Perdana Menteri, berjaya menyelesaikan 2,315 atau 72.3 peratus daripada 3,20l aduan yang diterima dalam suku pertama tahun ini bermula 1 Jan hingga 31 Mac.
BPA dalam kenyataannya hari ini berkata sebanyak 1,917 atau 59.9 peratus daripada aduan adalah terhadap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan persekutuan, manakala 1,284 atau 40.1 peratus mengenai agensi-agensi kerajaan negeri.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 1,413 atau 73.7 peratus aduan yang diterima untuk kementerian, jabatan dan agensi kerajaan persekutuan telah dapat diselesaikan.
“Di peringkat negeri, daripada jumlah 1,284 aduan yang diterima, 902 daripadanya atau 70.2 peratus juga dapat diselesaikan.
“Kerajaan negeri Selangor menerima aduan terbanyak, iaitu 239 aduan. Daripada jumlah tersebut, hanya 113 atau 47.3 aduan yang berjaya diselesaikan,” kata kenyataan itu.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terperinci dan terkini berkenaan penerimaan dan penyelesaian aduan BPA itu perlu melayari portal BPA di www.pcb.gov.my.
Menurut laman web BPA, orang ramai boleh membuat aduan jika tidak berpuas hati terhadap semua aspek pentadbiran kerajaan, termasuk agensi-agensi yang diswastakan dan institusi yang berbentuk monopoli.
Selain itu jabatan awam yang membekalkan keperluan awam yang dirasakan tidak adil, tidak mematuhi undang-undang dan peraturan yang sedia ada termasuk salah laku, penyelewengan, salahguna kuasa dan salah tadbir juga boleh diadukan.
Bagaimanapun aduan yang tidak boleh diterima adalah perkara-perkara di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Kira-kira Awam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Biro Bantuan Guaman, perkara berkenaan dasar kerajaan yang telah ditetapkan, masalah keluarga atau peribadi serta tuntutan sivil antara individu atau syarikat.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 1,413 atau 73.7 peratus aduan yang diterima untuk kementerian, jabatan dan agensi kerajaan persekutuan telah dapat diselesaikan.