Bahasa

75 peratus graduan IPT dapat kerja dalam tempoh enam bulan: Khaled

June 27, 2012

PUTRAJAYA, 27 Jun — Kajian Pengesanan Graduan 2011 mendapati 75 peratus graduan institusi pengajian tinggi (IPT) memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kajian yang bermula pada 2007 hingga 2011 itu juga menunjukkan berlaku peningkatan peratusan graduan yang mendapat kerja dalam tempoh berkenaan.

“Trend graduan universiti penyelidikan mendapat pekerjaan (termasuk bekerja, melanjutkan pengajian, menunggu penempatan pekerjaan, meningkatkan kemahiran) meningkat dari 71.3 peratus pada 2007 kepada 77.4 peratus tahun lepas,” katanya.

Bagi universiti komprehensif, angka meningkat daripada 67 peratus kepada 72.2 peratus manakala peratusan graduan universiti berfokus yang mendapat kerja pula meningkat kepada 74.2 peratus berbanding 69.8 peratus pada 2007.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan kementerian Datuk Omar Abd Rahman pada majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dan pelancaran Inisiatif Pembangunan bagi universiti penyelidikan Modal Insan antara kementerian dan Might-Meteor Advanced Manufacturing Sdn Bhd, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata MoU itu bertujuan meningkatkan keberkesanan pembangunan bakat negara dengan menubuhkan pangkalan data graduan bagi membolehkan kementerian menyalurkan data graduan kepada Might-Meteor.

Sementara itu, seramai 24 graduan IPT awam (IPTA) tempatan menerima sijil tamat kursus selama 16 bulan dalam program Leader Aerospace dan mereka kini kompeten dalam reka bentuk, analisis struktur dan keupayaan pembuatan komposit.

Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Operasi Advanced Manufacturing Institute Jasmin Baba berkata program itu bertujuan mewujudkan pemimpin teknologi masa depan dalam kalangan graduan IPTA tempatan bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan di syarikat berteknologi tinggi yang melabur di Malaysia.

Lima daripada mereka sudah mendapat pekerjaan di luar negara dan selebihnya bekerja dalam negara yang kebanyakannya sebagai jurutera, katanya pada siding akhbar kemudian.

“Antara universiti yang menyertai program ini ialah Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Malaya. Industri berpuas hati dengan bakat-bakat dari university tempatan ini,” katanya. — Bernama